Tuesday, April 03, 2012

Dialog Monolog - Si Kucing Bubu

Aku cuma seekor kucing jalanan. Aku dipandang hina oleh tuan aku. Maksud aku, bekas tuan aku. Bulu aku cantik, tapi disebabkan kurap di badan aku akibat berebut ikan goreng dengan kucing belakang rumah, aku dibuang. Maka, berjalanlah aku seekor diri untuk mencari sesuap sisa makanan.

Aku bernasib baik. Kawan-kawan yang rapat dengan aku banyak memberikan aku semangat. Aku mengaku aku hanyut dalam diri sendiri. Aku melayan perasaan aku yang mahu jatuh dan tak mahu langsung untuk bangun. Aku juga tak mahu langsung memandang manusia lagi. Bagi aku, mereka semua kejam. Mahu kucing yang cantik-cantik saja. Konon pecinta kucing, kesian pada kucing terbiar. Pui! Manusia pentipu!

Akhirnya, aku mulai berkawan dengan seekor burung merpati. Bulunya lawa. Warna biru lagi. Aku kagum. Aku dan burung merpati berkawan rapat sejak dari itu. Aku gembira kerana sedikit-sebanyak burung merpati itu memberikan petunjuk manusia-manusia yang ada di sekelilingnya. Ada yang baik, ada yang gedik, ada yang kasar, ada yang pelik. Macam-macam ragam manusia!

Dan pada ketika itu, aku mulai tertarik pada seorang manusia. Seorang perempuan. Berumur dalam 20-an. Ramai kata dia comel. Tapi bagi aku, dia bukan setakat comel. Dia baik, manja, degil, dan kadang-kala sifatnya yang pelik itu membuatkan aku lebih tertarik padanya. Aku cuba mendekatinya. Dia usap kepalaku yang botak kerana lukaku dimamah kudis dan kurap.

"Kesiannya kat awak. Kita sapukan luka awak dengan ubat yek?" 

Dia terus mengangkat dan membawa aku ke satu tempat agar dia dapat mengubati luka aku yang semakin teruk. Walaupun pedih, aku tetap tahan kesakitan yang aku rasai itu. Aku mahu tatap muka dia puas-puas. Aku mahu bersama dia hingga akhir hayatku. Aku mahu tidur atas ribanya pabila aku sihat nanti. Aku cuma mahu bersama dia. Aku cuma mahu dia.

"Tak mau pergi main jauh-jauh tau. Lapar nanti balik sini. Nanti bila awak dah kenyang, kita boleh sapukan ubat lagi kat luka tu. Nanti bila dah sihat, mesti lagi handsome! Biar kita jaga awak, okay?" 

Kalaulah aku mampu bercakap, aku akan luahkan segala perasaan yang terbuku dalam hati ni. Gembira. Itu kesimpulan atas segala perasaan aku sekarang. Kini sudah hampir tiga bulan bersama dengan tuan yang baru. Aku masih kucing yang sama, yang masih berkawan dengan kucing-kucing yang rapat dengan aku dulu. Tak lupa juga pada burung merpati berbulu biru itu. Tuan aku tak kisah dengan kucing mana aku bergaul, asalkan waktu makan aku balik dan tidak bergaduh dengan kucing yang lain seperti sebelumnya. Luka di kepalaku juga sudah sembuh. Aku gembira sangat dengan tuan aku itu.

"Bubu.. makanan untuk awak malam ni. Habiskan tau, nanti baru dapat reward." 

Begitu la tuan aku setiap hari, setiap masa. Bila aku berkelakuan baik, dia akan berikan reward untuk aku. Aku pun tak tau apa itu 'reward' dalam bahasa kucing. Mungkin 'ciuman' sebab dia mesti cium aku setiap kali aku baik. Oh ya, nama aku yang baru adalah Bubu. Aku suka tuan aku. Aku suka dengan nama Bubu. Panggilan yang manja kan?

No comments:

This is Hani