Sunday, March 30, 2014

#SiriSembangRambang : Kuasa Log

Satu hari, tiga beradik datang ke kiosk aku...

Abang: Eh, kedai buku terpakai la!

Kakak: Kau ni suka betul eh baca novel ni...

Abang: Heh, kau macam tak kenal aku lak.

Adik: Akak tak suka novel ke?

Kakak: Tak.

Adik: Kenapa?

Kakak: Aku tak suka la susunan bab dalam novel tu... ada prolog la, dialog la, monolog, epilog, bagai... serabut otak aku!

Aku: (Budak ni tau ke tak semua 'log-log' yang dia sebut tu sebenarnya?)


p/s: Nasib baik budak tu tak sebut Kellog. Kalau tak, boleh la buat sarapan pagi esok. 

Tuesday, March 18, 2014

Cerpen: Pandang Pertama

Erry melabuhkan punggungnya di sofa lunyai yang terdapat di ruangan menunggu di luar studio. Kusyennya yang diletakkan sebagai alas duduk di sofa itu juga sudah kian terperosok ke dalam akibat kerap diduduk oleh ramai orang yang datang ke studio jamming tersebut.
Di sebelahnya pula, Pijan sedang duduk sambil menukar tali gitarnya.
"Wa~ cantik gitar kau!" puji Erry selepas meneguk air mineral yang baru dibeli di kaunter tadi.
Pijan tersenyum. "Ni gitar lama aku. Gitar paling first yang aku beli. Tu pun second-hand, tapi aku suka dengan gitar ni," cerita Pijan.
Erry meneguk sekali-dua air mineralnya dan bertanya, "Kenapa ek?"
"Sebab gitar ni aku beli dengan duit yang aku simpan sendiri. Masa tu aku still study sambil kerja jadi mekanik kat bengkel Pak Ya tu.” Pijan mendekatkan badannya kepada Erry, membiarkan gitarnya terbaring di atas ribanya. “Kau bayangkan eh, brader tu jual RM1000, aku bayar deposit RM300, lepas tu aku bayar monthly. RM100 sebulan, sampai langsai."
"Sanggup kau eh. Masa tu gaji kau berapa je. Larat pulak?"
"Kalau dah nak tu, sanggup je weh."
Walaupun Pijan tua 6 tahun dari Erry, namun mereka rapat seperti rakan sebaya. Mana taknya, disebabkan Pijan, minat Erry terhadap muzik makin menebal kerana Pijan telah banyak mengajar Erry tentang muzik, lebih-lebih lagi dalam bermain gitar.
Tiba-tiba, bahunya dilanggar oleh seorang lelaki yang baru saja keluar dari salah satu bilik studio. Di tangannya sarat dengan sebuah gitar dan juga mesin multi-effect.
“Sorry, bang. Tak sengaja.”
Erry sekadar mengangkat tangannya tanda ‘okey’.
Dilihatnya, lelaki itu mendapatkan seorang perempuan berdekatan kaunter dan memeluk pinggang perempuan itu.
‘Kalau kau nak jadi gitaris yang terbaik, kau kena ada awek!’ Tiba-tiba suara Pijan bergema dalam kepalanya ketika dia sedang bermenung. Pesanan yang pernah dilontarkan oleh Pijan satu masa dulu, semasa dia baru berjinak-jinak untuk belajar bermain muzik di dalam band.
Hai, syoknya kalau ada awek…
Erry memandang ke arah Pijan yang kembali tekun menukar tali gitarnya. Masih ada dua tali yang masih tidak dipasangkan lagi.
"Kau rasa, awek yang macamana sesuai dengan aku?"
Pijan menghentikan kerjanya dan menoleh pada Erry. "Dalam bab pilih awek, kau kena memilih. Tapi make sure kau pilih yang terbaik dan yang kau selesa. Jangan ikut orang, jangan yang tangkap muat. Nanti tak best."
"Kau suggest la." Mata Erry melilau di sekitar ruangan menunggu di luar studio. Kelihatan seorang perempuan yang tebal make-upnya dengan gincu merah-mak-ngah tercalit pada bibirnya. Tangannya memegang leher gitar Stratocaster yang terdapat jalur merah-putih di badan dan dua-tiga bintang berwarna biru-kuning di kepala gitar. "Kalau macam tu?"
"Huih~ high maintenance tu. Kau larat ke nak jaga awek gitu?"
Erry terdiam. "Betul jugak tu. Gaji kita kerja kat kedai buku tu pun berapa je."
"Takpe. One day nanti kau sure dapat apa yang kau nak," pujuk Pijan, kemudian dia menyambung semula kerja memasang tali gitar.
Lantas, Erry mengetap giginya. Dia perlu cari satu yang sesuai untuk dirinya.
***
Pulang dari studio, Erry terus menghidupkan kuasa laptopnya dan duduk di hadapan skrin. Jarinya menggentel-gentel scroller pada mouse atas-bawah. Setiap ruangan sosial dimasuk, teman-teman ditanya buat dicarikan awek. Mana tahu ada yang masih tak punya, boleh dia mencuba, asal kena dengan caranya.
Namun, sia-sia. Banyak yang dia tak berkenan. Bila dah berkenan, tak mampu pula. Bak kata Pijan tadi, high maintenance!
Akhirnya, Erry mengeluh.
***
Selesai menyusun buku di rak yang ditetapkan mengikut genre masing-masing, Erry menghampiri Pijan yang sedang menampal sticker harga pada setiap buku di kaunter.
Sudah hampir 8 bulan mereka bekerja di kedai buku yang tidaklah besar seperti kedai Fofuler atau MP-Eh itu. Tapi mereka tetap berasa gembira bekerja di situ. Bila bosan, boleh baca buku.
"Aku rehat dulu tau. Kau ada nak kirim apa-apa tak untuk rehat kau nanti?" tanya Erry.
"Ermm, takpe la. Nanti aku kena turun gak. Nak keluarkan duit."
“Okey. Apa-apa hal, mesej la.” Erry terus berjalan keluar.
Namun, pada ketika Erry menoleh ke luar kedai, dia ternampak seorang perempuan. Tangannya menjinjing beg casing gitar berwarna hitam. Kelihatan perempuan itu meletakkan beg casing gitar itu ke atas meja mempamerkan gitarnya pada Ah Chong, tuan kedai peralatan muzik yang berada di seberang kedai buku, tempat Erry bekerja. Perempuan itu bersembang-sembang dengan Ah Chong.
Cantik. Badannya berlekuk dan lehernya yang panjang itu seperti memanggilnya untuk dia pegang dan melaga gigi di situ.
"Kau apehal tercegat kat situ lagi? Kata nak pi rehat?" sergah Pijan.
Erry tersentak. Lamunannya berkecai. Pantas dia menoleh pada Pijan.
"Bro, aku rasa aku dah jumpa awek. Cun sangat."
"Mana?" tanya Pijan, ingin tahu.
"Tu." Erry menudingkan jarinya ke arah kedai muzik milik Ah Chong itu.
Pijan mengecilkan mata. Fokus pada awek yang Erry maksudkan. "Kau sure ke nak yang macam tu?"
"Sure la! Awek macam tu la yang aku idam-idamkan selama ni. Simple tapi smart!" puji Erry.
"Heh, suka hati kau la. Asal kau okey, aku pun okey."
Pijan menyambung kerjanya menampal sticker pada buku semula. Manakala Erry menoleh semula ke arah kedai Ah Chong.
Perempuan yang membawa gitar itu tadi melambaikan tangannya pada Ah Chong dan berlalu pergi meninggalkan gitarnya di atas meja kaunter.
Erry mengambil kesempatan untuk mendekati Ah Chong.
"Helo, Chong! Amacam bisnes? Ada okey ka harini?" tanya Erry berbasa-basi.
"Macam biasa la. Okey-okey saja. Lu apa cerita?"
"Takde apa la. Saja je datang, nak tanya something."
"Apa dia? Tanya, tanya."
"Awek yang tadi tu... yang datang sini tu siapa? Ni... gitar dia ke?" tanya Erry sambil memegang gitar yang masih terletak di meja kaunter. Jarinya bermain-main dengan tali gitar tersebut. “Macam power je? Saya rasa saya sudah fall in love la, Chong.”
"Itu amoi ka? Nama dia Suzie. Ada band, manyak power! Ramai sudah crush sama dia," cerita Ah Chong. Kemudian dia mendekatkan badannya pada Erry. Kepala didongak sedikit, mendekatkan mulutnya pada telinga Erry dan dia berbisik, "Lu suka sama dia ka?"
Erry tidak menjawab. Malah dia cuma tersengih saja.
***
Sudah beberapa hari Erry menahan. Kali pertama Erry terlihat sesuatu yang dia idamkan itu, dirinya seperti tak sabar untuk mendapatkannya. Hatinya seperti mahu keluar dan menyampaikan hajat yang terpendam itu. Dia mesti nekad untuk menghubungi gadis bernama Suzie pada malam ini.
Kertas kecil yang tercatit nombor henfon Suzie yang diberi oleh Ah Chong itu dikeluarkan dari celahan walletnya. Lama dia memandang cebisan kertas itu. Kemudian, dia mencapai henfon dan berkira-kira untuk menghubungi Suzie.
Tertera jam di skrin henfonnya. 01:18. Erry menekup henfon pada dadanya.
'Ah... mungkin dia dah tidur', fikir Erry.
Setelah beberapa saat, dia mengangkat semula henfonnya dan berkira-kira untuk menghantar SMS saja pada Suzie sebagai mukadimah.
- Hello! Saya Erry. Awak Suzie kan? Yg aritu dtg kat kedai Ah Chong tu? -
Pantas dia menekan butang 'send'. Tangannya sedikit menggigil. Terus dia mencampakkan henfon ke sisi.
Selepas hampir 20 minit dia termenung memandang kipas siling yang berpusing tahap kelajuan yang sederhana, henfonnya berbunyi - tanda SMS masuk.
Ketar tangannya makin menjadi. Bukan setakat takut, malah terlebih eksaited. Kandungan SMS dibaca.
- Ye saya? -
Erry tersenyum. Dia sempat menekupkan mukanya dengan bantal, menahan malunya sendiri walaupun hanya dia seorang saja di dalam bilik itu.
Setelah perasaannya kembali stabil, Erry kembali menatap skrin henfon dan menekan-nekan keypad - membalas SMS Suzie - sehinggalah mereka berdua berhenti ber-SMS. Erry terlena selepas tidak dapat menahan kantuknya.
***
Empat hari berlalu selepas sesi Erry dan Suzie berkenalan. Hari ini, Erry dan Pijan mengular sebentar ke kedai Ah Chong – macam biasa.
Erry mencapai gitar milik Suzie yang ditinggalkan di kedai Ah Chong itu dan diletakkan di ribanya. Satu persatu tali dipetik untuk tune semula keynya yang sedikit sumbang.
Di kaunter, Ah Chong duduk sambil membaca suratkhabar. Manakala Pijan hanya memandang Erry yang nampaknya semakin angau dengan awek yang dikejarnya itu.
"Lepas kau dapat awek ni, sure kawan-kawan lain jeles tengok kau punya. Dah la mantap, ye dak?" usik Pijan.
Erry tergelak kecil. "Mana ada mantap, Jan. Biasa-biasa jela."
Erry mengangkat gitar itu dari ribanya dan disandarkan pada besi stand yang terdapat di hujung sudut kedai. Gitar itu dipandang lama-lama, buat lepas rindu.
"Haiya, lu ni. Apa pasal pandang gitar tu ja? Rindu itu amoi ka?" giliran Ah Chong pula mengusik membuatkan Erry malu-malu untuk tersenyum.
"Saya dah tak sabar sangat la, Chong. Lama sangat saya cari yang perfect macam tu." Erry terdiam sebentar sebelum menyambung, "Esok dia nak jumpa saya."
"Wa~ tahniah! Tahniah! Lu manyak lucky la." Ah Chong mencapai tangan Erry dan digenggam erat. Nampak gembira sangat.
Erry dan Pijan tertawa melihat gelagat Ah Chong. Kemudian, Erry kembali memandang ke arah gitar itu. Semakin dia pandang gitar itu, semakin dia tidak sabar untuk berjumpa dengan Suzie. Seperti dia mahu terus bersama dengan gitar itu. Namun, dia harus bersabar.
Hatinya nekad. Dia mahu yang itu. Itu saja.
***
Seperti yang dijanjikan, Suzie datang berjumpa dengan Erry. Tapi dia datang terlebih awal dan dia harus menunggu lagi sepuluh minit untuk Erry menghabiskan waktu kerjanya.
Buat sementara waktu, Suzie berlegar-legar di dalam kedai buku tersebut. Mana tahu, ada buku yang menarik hatinya untuk dibeli.
Di dalam stor pula, Erry menjadi semakin gementar. Hari ini adalah harinya. Sebentar lagi adalah masa yang ditunggu-tunggukan selama ini.
"Chill, bro! Kau dapat awek harini, takkan nak takut macam ni?"
"Bukan takut, tapi terlebih eksaited sebenarnya." Erry berjalan ke hulu ke hilir di dalam stor itu bagi menghilangkan keterujaannya itu. "Kau sure ke tu sesuai dengan aku?"
"Kau sendiri dah selesa, kau sendiri yang rasa. Kau kata okey, itu yang kau nak, itu la yang kau pilih... ke kau ada pilihan yang lain?"
"Eh, mana ada,” nafi Erry. “Itu yang tetap kat hati aku. Aku pandang yang lain, yang tu gak hati ni nak."
"Kalau macam tu, kau keluar sekarang, pi jumpa dia. Lagi cepat kau selesaikan, lagi cepat level eksaited kau ni turun nanti."
"Okeh, okeh." Erry mengangkat ibu jarinya menandakan yang dia akan baik-baik saja nanti.
Dia keluar dari stor yang terletak di belakang kedai dan menghampiri Suzie yang berada di rak Self-Help.
"Awak ada nak beli apa-apa ke?" tanya Erry teragak-agak.
Suzie sedikit tersentak. "Eh, takde la." Dia mengukir senyum. "Dah habis kerja?"
Erry mengangguk, gugup.
"Jom!" ajak Suzie dan dia mengukir senyum lagi membuatkan Erry semakin tak keruan.
Mereka mula berjalan keluar dari kedai buku itu dan memasuki kedai Ah Chong. Dari jauh lagi, Erry nampak, Ah Chong sudah melemparkan senyuman paling lebar yang dia boleh ukir.
"Helo, Suzie! Lama tak nampak. Lu punya gitar talak siapa mau angkat lagi la. Lu datang sini mau angkat balik jual sendiri ka?" Belum sempat Suzie untuk menjawab soalannya, Ah Chong pantas menyergah Erry dengan, " Haiya, lu dah jumpa ini... apa lu orang panggil? Awek ar? Ha, awek! Apa pasal datang dating kat sini lagi?"
Erry terkerut dahi, manakala Suzie kebingungan.
"Bila masa pulak saya kata nak dating ni, Chong?"
"Bukan lu ada mintak contact number ini amoi Suzie haritu? Lu kata dah fall in love sama dia haritu."
Erry pantas melempiaskan tawanya. Suzie yang tidak tahu apa-apa itu tersenyum segan. Tak pasal-pasal dia diheret sama dalam salah faham Ah Chong.
"Memang la saya sudah fall in love, Chong. Tapi saya fall in love dengan tu ha..." Erry memuncungkan mulutnya ke arah gitar Suzie yang tersandar di besi stand gitar. "...dengan gitar tu."
Pijan datang menghampiri mereka bertiga seraya bertanya, "Amacam, Ry? Dah rasmi jadi awek ke belum?"
"Haiya, Pijan! Dia bukan mau ini amoi la. Dia mau itu gitar!” ngomel Ah Chong.
"Betul la, Chong. Gitar tu la awek yang dia nak," jelas Pijan yang dari awal sudah tahu niat sahabatnya itu mahu membeli gitar milik Suzie.
"Apa pasal panggil awek itu gitar? Kalau dia mau ini amoi, apa lu orang panggil?"
"Kalau dia mau Suzie ni, kami panggil dia girlfriend la," jelas Pijan.
Ah Chong buat muka tak puas hati. "Awek, girlfriend... sama jela," bebel Ah Chong.
"Lain value dia, Chong. Kalau lu mau tau, panggil 'girlfriend' lagi special and sopan sikit bunyinya kalau dibandingkan dengan 'awek'. Lebih-lebih lagi kalau perempuan tu comel macam dia ni," puji Erry secara tak langsung membuatkan pipi Suzie merona merah.
"Okey, okey. Dah. Korang settlekan la hal gitar ni," saran Pijan. "Aku nak sambung kerja," kata Pijan lagi sebelum dia kembali ke kedai buku, menyambung kerjanya.
Maka, urusan jual-beli pun berlangsung. Duit dan gitar bertukar tangan dan mereka pulang dengan hati yang puas. Segala yang terbeban kini hilang.
Cuma... Ah Chong. Dia masih tidak berpuas hati kerana dia ingat Erry sudah fall in love dengan Suzie, seperti yang dia bayangkan selama seminggu gitar itu berada di kedainya. Fikirnya, dia sudah berjaya menjadi Cupid. Hmm… stupid ada la!
“Apa la panggil awek. Tengok Mei Li, nama tu dengan body dia saja sudah matching!” bebel Ah Chong seorang diri selepas mereka berdua sudah hilang dari pandangan. Tangannya mengusap badan Mei Li – gitar Telecaster kesayangannya yang direka coraknya dan diwarna sendiri oleh Ah Chong – yang tergantung di dinding kedainya itu.
***
- Hey, busy malam ni? -
- Tak, kenapa? -
- Jom jamming? -
- Mana? -
- Tempat biasa. -
- Orait! -
***
Hubungan yang terbina secara tidak sengaja hanya kerana untuk membeli gitar dari seorang gadis bernama Suzie tidak berakhir di situ.
Beberapa hari selepas Erry membeli gitar dari Suzie, Suzie telah menghantar SMS.
- Hai! Macam mana gitar tu? Okey? -
Ketika itu, Erry baru saja selesai 'mengerjakan' awek barunya itu. Dia berasa sangat puas dengan performance yang diberi.
Sementara dia melepaskan lelah di sofa yang sama dia duduk dua minggu lepas, dia mencapai henfon dan SMS dibaca. Erry tersenyum secara tak langsung dan dia pantas membalas.
- Hai Suzie! Okey. Best sgt. Gitar tu pun ringan, leh la saya goreng power2 pasni :) -
- So leh la saya jamming dgn awak n the gang kan? -
- Sure. Leh je. U stay mana? -
Setelah mereka tahu yang mereka duduk satu kawasan perumahan - Suzie baru saja berpindah ke perumahan di situ sebulan lepas - jadi hubungan mereka menjadi semakin rapat. Hanya kerana muzik. Hanya kerana instrumen bernama gitar. Hanya kerana minat yang sama itu, mereka berkongsi, saling melengkapi apa yang kurang antara mereka.
Mungkin saja, berkat salah faham Ah Chong terhadap Erry dan Suzie itu telah menjadi kenyataan. Mungkin. Setidak-tidaknya, tindakan Ah Chong sebagai Cupid itu membuahkan hasilnya, tanpa dia sedar.

This is Hani