Wednesday, January 22, 2014

Kenapa Awak Hulur Duit Cara Orang Cina?

Selalunya kalau aku bercerita je mesti benda-benda fiksyen je kan? Kali ni aku nak cerita benda betul lak. Kejadian ni berlaku baru je petang tadi semasa aku sedang bekerja.

Bagi salesgirl/salesboy mesti ada jumpa macam-macam ragam customer. Ada yang pelik, ada yang menjengkelkan, ada gak yang biasa-biasa je. Tapi apa yang aku lalui hari ini, membuatkan aku rasa... entahlah!

Tengah dok melepet jaga kiosk sambil baca komik, datang la sorang pakcik ni. Datang usha-usha buku. Masa nak bayar tu - macam biasa la - dia letak buku kat kaunter dan aku kira. Dan perbualan kami berlaku lebih-kurang seperti dalam strip komik kat bawah ni...

...aku memang terdiam habis! Pakcik tu siap bagi lecture kat aku lagi.

"Kenapa awak ikut cara orang Cina?"
"Kita orang Melayu ada cara kita sendiri."
"Awak tau tak... (bla bla bla)... (masa ni aku dah tekan naik 'power-window' aku dari bebelan pakcik tu)."

Aku cuma tak faham, kenapa perkara yang macam tu pun boleh jadi isu. Dan aku tak tau pulak, nak hulur duit ni pun ada cara Cina, Melayu, India bagai. Hmm... entahlah.


Saturday, January 18, 2014

Cerpen: Kerja Syif Malam

Nama aku Faisal. Aku baru saja habis menduduki peperiksaan SPM dua minggu lepas. Sekarang, aku bekerja sementara di Kedai Serbaneka Pak Ali yang beroperasi 24 jam ala-ala 7-Eleven tu. Kedai ni kat area perumahan aku je, pergi pun takat berjalan kaki pun takde hal punya.
Kat sini, kami bekerja bertiga saja – aku, Bro Mamu dengan Pak Ali sendiri. Kadang-kadang, anak bujang Pak Ali pun ada datang untuk turut membantu kami. Okay la kerja kat sini. Tak busy sangat, tak melenggang sangat. Siap sempat nak bergurau lagi.
Namun setelah seminggu lebih aku bekerja di sini, aku diarahkan untuk bekerja pada syif malam. Agak teruja jugak sebab aku tak pernah lagi bekerja pada waktu malam. Jadi pada hari itu, aku bersiap awal dan tiba di kedai Pak Ali tepat jam 11 malam – satu jam sebelum waktu kerja syif malam bermula. Terlebih eksaited gamaknya.
Sementara itu, aku melepet di dalam bilik stor yang terletak di belakang kedai. Sambil-sambil itu, aku tolong Bro Mamu menyusun kotak-kotak dan stok jualan yang baru saja tiba pada malam itu ke rak-rak yang tersedia ada di situ.
Sedang aku berdiri megah sambil mencekak pinggang di depan rak yang tersusun stok-stok baru itu, nama aku dipanggil.
“Sal? Faisal!” panggil Bro Mamu.
Aku pantas menoleh memandang Bro Mamu yang berdiri di muka pintu bilik stor. “Ye, bang?”
“Dah pukul 12 ni. Aku nak check-out dah ni. Tapi sebelum tu, aku nak check apa yang patut dulu sebelum balik. Kau leh stay kat kaunter kejap tak? Jaga depan,” pinta Bro Mamu. Di tangannya terdapat beberapa helai kertas dan jarinya terselit sebatang pen.
“Okey, okey,” jawabku sambil mengangguk perlahan. Kemudian, aku berjalan keluar dari bilik stor.
“Eh, jap.” Bro Mamu menarik lenganku semasa aku melintasi di sebelahnya.
“Err… kenapa, bang?” tanyaku dengan teragak-agak.
“Kau betul okey kerja syif malam ni?” tanya Bro Mamu meminta kepastian.
Aku memberikan senyuman dengan penuh keyakinan. “Okey la, bang. Jangan risau la.” Aku menjempolkan ibu jariku – thumbs-up!
Bro Mamu mengangguk dan terus berjalan masuk ke dalam bilik stor.
Tanpa berlengah lagi, aku pantas melangkah ke kaunter depan yang menempatkan cash register. Aku mengerlingkan mataku ke jam digital yang terpampang di atas meja kaunter – 12:16.
Untuk menghilang rasa bosan – sebab tak ada orang pada masa itu – jadi aku mencapai sebuah komik di rak buku dan membacanya.
Selak, selak, selak – tiba-tiba aku ternampak satu tangan kecil meletakkan satu bar gula-gula Sugus perisa strawberi ke atas kaunter. Fuh, terkejut jugak la aku! Setahu aku, selain aku dan Bro Mamu – memang tak ada sesiapa yang ada di dalam kedai. Bunyi pintu ditolak pun tak dengar tadi.
Ah, mungkin aku dok syok baca komik ni tadi sampai tak perasan ada orang dalam kedai kot.
Aku cuba untuk bersangka baik. Jadi, aku pun berdiri untuk melihat siapa empunya tangan itu tadi.
Seorang budak perempuan berbangsa Cina – memakai gaun biru lembut berenda putih krim, serta mengikat rambutnya gaya ponytail – dia berketinggian sama dengan kaunter itu tersenyum ke arahku.
“Ini je, dik?” tanyaku.
Budak perempuan itu mengangguk.
“Seringgit dua puluh sen.”
Budak perempuan itu menghulurkan dua helai wang kertas. Aku mencapai wang kertas itu. Aku memandang wang kertas itu dan mengeluh.
Kalau dia hulur duit Saidina, aku boleh layan lagi. Tapi ni…
Kemudian, aku memandang ke arah budak perempuan itu kembali.
“Adik ni ada duit ke tak sebenarnya ni? Jangan main-main la,” aku sedikit marah tapi tidak meninggikan suaraku – masih kedengaran biasa-biasa saja  takut budak tu sentap. 
Aku menghulurkan kembali ‘wang kertas’ itu kepada budak perempuan itu semula.
“Tapi saya ada duit tu je, bang,” jawab budak perempuan itu lagi.
Aku mengeluh lagi, kemudian aku berjalan keluar dari ruangan kaunter dan berdiri di hadapan budak perempuan itu. Aku menundukkan sedikit badanku.
“Adik… ni bukan duit betul.” Aku menunjukkan ‘wang kertas’ yang diberikan tadi dan melayangkan ia tepat di hadapan muka budak itu. “Ni duit yang orang dok bakar untuk orang mati tu, adik tau tak?” Kemudian, aku menghulurkan lagi sekali ‘wang kertas’ itu kepada budak perempuan itu. “Mana parents adik? Mintak duit kat diorang kalau betul adik nak gula-gula ni. Duit betul tau, bukan duit ni,” pesanku lagi.
Budak perempuan itu mengambil ‘wang kertas’nya itu dan memandangku dengan wajah yang sayu. “Tapi parents saya yang bagi duit ni kat saya tadi…” Matanya bergenang airmata.
Tiba-tiba, kedengaran pintu kedai dibuka. “Melly? Kenapa lambat sangat ni?”
Budak perempuan itu pantas menoleh ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya aku melihat… budak itu menoleh ke belakang dengan lehernya yang berpusing 180 darjah!
“Shi—!” Aku terus terjelepuk jatuh. Di depan ku – selain budak perempuan kepala-berpusing-180-darjah itu – berdiri seorang lelaki yang kepalanya sudah hancur tersepai sehingga menampakkan isi otaknya!
“Apesal lambat ni? Mama dah bebel tunggu lama sangat dalam kereta tu tau!” bebel lelaki otak bersepai itu.
“Abang ni… dia tak nak amek duit ni,” rengek budak perempuan itu – masih dengan kepalanya yang dipusing 180 darjah itu.
“Faisal? Kau okey ke tak ni?” tanya Bro Mamu setelah keluar dari bilik stor. Dia pantas menghampiri dan cuba membantuku untuk kembali berdiri semula.
Aku memang terdiam habis masa ni. Aku tengok budak perempuan dengan lelaki tu masih ada kat depan mata ni tapi Bro Mamu ni macam rileks je. Dia nampak ke tak ada dua hantu kat depan ni?
“Eh, uncle! Ada yang boleh saya bantu?” tegur Bro Mamu.
Kepala budak perempuan yang berpusing 180 darjah itu kembali dipusing menghadap ke depan. Matanya memandang ke arah Bro Mamu.
Masa ni, aku dah mula rasa pelik bertambah cuak didarabkan dengan takut. Walaupun Bro Mamu dah tolong aku berdiri tadi, aku rasa macam nak tumbang lagi sekali sebab dah terlalu takut dengan apa yang berlaku sekarang. Tapi, Bro Mamu – dengan selambanya – telah  berjalan menghampiri budak kepala-berpusing-180-darjah dan lelaki otak bersepai tu.
“Sorry la, uncle. Dia ni budak baru maa. Dia tak tau apa-apa tau. Jangan kasi dia takut macam ni la,” kata Bro Mamu sambil menepuk-nepuk bahu lelaki otak bersepai itu. Kemudian, dia beralih kepada budak perempuan itu semula. “Nak gula-gula Sugus, kan?”
Budak perempuan itu tersenyum manis dan mengangguk laju.
Bro Mamu mengambil satu bar gula-gula Sugus perisa strawberi yang berada di atas kaunter dan dihulurkan kepada budak perempuan tersebut. Budak itu pantas menghulurkan ‘wang kertas’nya dan Bro Mamu mencapainya.
“Terima kasih, Abang Mamu!” ucap budak perempuan itu dengan gembira dan dia terus berjalan keluar dari kedai tersebut.
“Saya pergi dulu haa,” kata lelaki otak bersepai itu. “Next time, tamau lambat-lambat lagi okey? Nanti itu bini marah woo.” Dan dia terus berjalan keluar dari kedai itu, meninggalkan aku yang sedang kebingungan dengan apa yang berlaku sebentar tadi.
Selang beberapa minit – setelah aku kembali normal dan stabil – aku menghampiri Bro Mamu yang sedang menulis sesuatu pada buku log di kaunter.
“Bro, benda tadi tu… betul-betul jadi ke apa?”
Dengan muka yang serius Bro Mamu menjawab, “Benda apa?”
Lama Bro Mamu merenungku dengan mata yang tajam dan wajah yang serius, membuatkan aku berasa semakin cuak. Takkanlah Bro Mamu nak bikin flashmob malam-malam buta  kat kedai serbaneka tepi jalan macam ni, dan mangsanya hanya aku sorang je? Impossible~
“Pfftt~” Bro Mamu melempiaskan tawanya. Selepas tawanya mereda, dia kembali menatapku. Dengan suara yang merendah, dia berkata, “Kau kena kuatkan semangat kau bila kerja syif malam kat sini. Yang tadi tu, keluarga Melly. Budak tu dengan family dia mati eksiden dekat jalan depan sana lepas diorang singgah ke kedai ni. Apa yang berlaku tadi tu, macam ulang-tayang apa yang berlaku kat diorang.”
Aku mengangguk faham.
“Selain tu, takde perkara lain ke?” mulut capoiku bertanya.
“Kau tau kan tapak bangunan ni asalnya tanah bekas lombong?”
Aku mereguk liur.
“Kalau kau berani, kuatkan semangat kau, diorang buat kacau macam mana pun kau tak layan, sure okey punya. Normal la kalau kau ada dengar pintu terbuka tapi takde orang masuk tu.” Bro Mamu menguntumkan senyum. Sedikit-sebanyak membuatkan kecuakkan ku semakin menghilang walaupun ketakutanku semakin membiak penuh dalam diri.
“Okey la.” Buku log ditutup dan diletakkan di laci bawah kaunter. “Abang balik dulu la. Kalau rasa sunyi sangat, buat la apa-apa. Hujung blok ni kan ada kedai makan, kalau lapar jangan lupa makan pulak,” pesan Bro Mamu panjang lebar.
Aku mengangguk lagi. Kali ini, ditambah dengan sedikit ketar. Aku serius cuak kalau apa-apa jadi kat aku lagi lepas ni.
Sejak Bro Mamu melangkah keluar dari kedai, aku asyik terfikir: macam mana untuk aku handle kalau terjadi lagi perkara seperti tadi? Koman-koman, aku masih ada 7 jam untuk habis syif kerja.
Aku kembali membelek buku komik yang aku capai tadi. Selepas dibelek satu persatu mukasurat, tiba-tiba terdengar seperti orang berbual serta kedengaran bunyi pintu peti minuman dibuka dan ditutup beberapa kali.
Aku cuba untuk menumpukan perhatianku pada pembacaan tapi setelah bunyi buka-tutup peti minuman tu berhenti, kedengaran bunyi tin berlaga pula.
Takpe la. Korang shopping la puas-puas. Aku nak baca komik kat sini.
Kemudian, aku tak mendengar apa-apa lagi sebab aku sudah menyumbat telingaku dengan earphone  layan lagu sambil membaca komik  sehinggalah ada sesuatu yang menghentam atas meja kaunter dengan kuat sekali.
Aku terkejut sampai tercampak buku komik yang dibaca dan terus berdiri. Aku memandang sesusuk tubuh yang tinggi dan besar di hadapanku. Namun, ada sesuatu yang kurang di situ.
“Dik, ada jual gam yang kuat tak?” tanya susuk tubuh besar itu.
Namun, suaranya  itu seperti berada di bawah. Seperti betul-betul berada di atas meja kaunter itu. Aku terus menurunkan pandanganku ke arah itu. Terdapat satu kepala di situ dan wajahnya mengukir senyuman manis.
“Kemarin abang beli selotep, tapi kepala abang dok asyik tercabut je. Boleh bagi gam UHU ke gam gajah ke… kasi yang kuat sikit la. Mana tau boleh lekat lama sikit,” kata kepala itu lagi.
Ketika itu, bukan setakat kaki ni saja, tangan, badan, hati, jantung… semua rasa macam dah lemau semacam. Kejap lagi sure tumbang ni. 
Haaah… nampaknya aku kena cari kerja lain la lepas ni…
Dan aku terus pengsan akibat ketakutan. 

This is Hani