Nama
aku Faisal. Aku baru saja habis menduduki peperiksaan SPM dua minggu lepas.
Sekarang, aku bekerja sementara di Kedai Serbaneka Pak Ali yang beroperasi 24
jam ala-ala 7-Eleven tu. Kedai ni kat area perumahan aku je, pergi pun takat berjalan kaki pun takde hal punya.
Kat
sini, kami bekerja bertiga saja – aku, Bro Mamu dengan Pak Ali sendiri.
Kadang-kadang, anak bujang Pak Ali pun ada datang untuk turut membantu kami. Okay
la kerja kat sini. Tak busy sangat, tak melenggang sangat. Siap sempat nak
bergurau lagi.
Namun
setelah seminggu lebih aku bekerja di sini, aku diarahkan untuk bekerja pada
syif malam. Agak teruja jugak sebab aku tak pernah lagi bekerja pada waktu
malam. Jadi pada hari itu, aku bersiap awal dan tiba di kedai Pak Ali tepat jam
11 malam – satu jam sebelum waktu kerja syif malam bermula. Terlebih eksaited
gamaknya.
Sementara
itu, aku melepet di dalam bilik stor yang terletak di belakang kedai. Sambil-sambil
itu, aku tolong Bro Mamu menyusun kotak-kotak dan stok jualan yang baru saja
tiba pada malam itu ke rak-rak yang tersedia ada di situ.
Sedang
aku berdiri megah sambil mencekak pinggang di depan rak yang tersusun stok-stok
baru itu, nama aku dipanggil.
“Sal?
Faisal!” panggil Bro Mamu.
Aku
pantas menoleh memandang Bro Mamu yang berdiri di muka pintu bilik stor. “Ye,
bang?”
“Dah pukul 12 ni. Aku nak check-out dah ni. Tapi sebelum tu, aku nak check apa
yang patut dulu sebelum balik. Kau leh stay kat kaunter kejap tak? Jaga depan,”
pinta Bro Mamu. Di tangannya terdapat beberapa helai kertas dan jarinya
terselit sebatang pen.
“Okey,
okey,” jawabku sambil mengangguk perlahan. Kemudian, aku berjalan keluar dari
bilik stor.
“Eh,
jap.” Bro Mamu menarik lenganku semasa aku melintasi di sebelahnya.
“Err…
kenapa, bang?” tanyaku dengan teragak-agak.
“Kau
betul okey kerja syif malam ni?” tanya Bro Mamu meminta kepastian.
Aku
memberikan senyuman dengan penuh keyakinan. “Okey la, bang. Jangan risau la.”
Aku menjempolkan ibu jariku – thumbs-up!
Bro
Mamu mengangguk dan terus berjalan masuk ke dalam bilik stor.
Tanpa
berlengah lagi, aku pantas melangkah ke kaunter depan yang menempatkan cash
register. Aku mengerlingkan mataku ke jam digital yang terpampang di atas meja
kaunter – 12:16.
Untuk
menghilang rasa bosan – sebab tak ada orang pada masa itu – jadi aku mencapai
sebuah komik di rak buku dan membacanya.
Selak,
selak, selak – tiba-tiba aku ternampak satu tangan kecil meletakkan satu bar
gula-gula Sugus perisa strawberi ke atas kaunter. Fuh, terkejut jugak la aku!
Setahu aku, selain aku dan Bro Mamu – memang tak ada sesiapa yang ada di dalam
kedai. Bunyi pintu ditolak pun tak dengar tadi.
Ah, mungkin aku dok syok baca
komik ni tadi sampai tak perasan ada orang dalam kedai kot.
Aku
cuba untuk bersangka baik. Jadi, aku pun berdiri untuk melihat siapa empunya
tangan itu tadi.
Seorang
budak perempuan berbangsa Cina – memakai gaun biru lembut berenda putih krim,
serta mengikat rambutnya gaya ponytail – dia berketinggian sama dengan kaunter itu
tersenyum ke arahku.
“Ini
je, dik?” tanyaku.
Budak
perempuan itu mengangguk.
“Seringgit
dua puluh sen.”
Budak
perempuan itu menghulurkan dua helai wang kertas. Aku mencapai wang kertas itu.
Aku memandang wang kertas itu dan mengeluh.
Kalau dia hulur duit Saidina, aku
boleh layan lagi. Tapi ni…
Kemudian,
aku memandang ke arah budak perempuan itu kembali.
“Adik
ni ada duit ke tak sebenarnya ni? Jangan main-main la,” aku sedikit marah tapi
tidak meninggikan suaraku – masih kedengaran biasa-biasa saja – takut budak tu sentap.
Aku
menghulurkan kembali ‘wang kertas’ itu kepada budak perempuan itu semula.
“Tapi
saya ada duit tu je, bang,” jawab budak perempuan itu lagi.
Aku
mengeluh lagi, kemudian aku berjalan keluar dari ruangan kaunter dan berdiri di hadapan
budak perempuan itu. Aku menundukkan sedikit badanku.
“Adik…
ni bukan duit betul.” Aku menunjukkan ‘wang kertas’ yang diberikan tadi dan
melayangkan ia tepat di hadapan muka budak itu. “Ni duit yang orang dok bakar
untuk orang mati tu, adik tau tak?” Kemudian, aku menghulurkan lagi sekali
‘wang kertas’ itu kepada budak perempuan itu. “Mana parents adik? Mintak duit
kat diorang kalau betul adik nak gula-gula ni. Duit betul tau, bukan duit ni,”
pesanku lagi.
Budak
perempuan itu mengambil ‘wang kertas’nya itu dan memandangku dengan wajah yang
sayu. “Tapi parents saya yang bagi duit ni kat saya tadi…” Matanya bergenang
airmata.
Tiba-tiba,
kedengaran pintu kedai dibuka. “Melly? Kenapa lambat sangat ni?”
Budak
perempuan itu pantas menoleh ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya aku
melihat… budak itu menoleh ke belakang dengan lehernya yang berpusing 180
darjah!
“Shi—!”
Aku terus terjelepuk jatuh. Di depan ku – selain budak perempuan kepala-berpusing-180-darjah itu – berdiri seorang lelaki yang kepalanya
sudah hancur tersepai sehingga menampakkan isi otaknya!
“Apesal
lambat ni? Mama dah bebel tunggu lama sangat dalam kereta tu tau!” bebel lelaki
otak bersepai itu.
“Abang
ni… dia tak nak amek duit ni,” rengek budak perempuan itu – masih dengan
kepalanya yang dipusing 180 darjah itu.
“Faisal?
Kau okey ke tak ni?” tanya Bro Mamu setelah keluar dari bilik stor. Dia pantas menghampiri
dan cuba membantuku untuk kembali berdiri semula.
Aku
memang terdiam habis masa ni. Aku tengok budak perempuan dengan lelaki tu masih
ada kat depan mata ni tapi Bro Mamu ni macam rileks je. Dia nampak ke tak ada
dua hantu kat depan ni?
“Eh,
uncle! Ada yang boleh saya bantu?” tegur Bro Mamu.
Kepala
budak perempuan yang berpusing 180 darjah itu kembali dipusing menghadap ke
depan. Matanya memandang ke arah Bro Mamu.
Masa
ni, aku dah mula rasa pelik bertambah cuak didarabkan dengan takut. Walaupun
Bro Mamu dah tolong aku berdiri tadi, aku rasa macam nak tumbang lagi sekali
sebab dah terlalu takut dengan apa yang berlaku sekarang. Tapi, Bro Mamu –
dengan selambanya – telah berjalan
menghampiri budak kepala-berpusing-180-darjah dan lelaki otak bersepai tu.
“Sorry
la, uncle. Dia ni budak baru maa. Dia tak tau apa-apa tau. Jangan kasi dia
takut macam ni la,” kata Bro Mamu sambil menepuk-nepuk bahu lelaki otak
bersepai itu. Kemudian, dia beralih kepada budak perempuan itu semula. “Nak gula-gula
Sugus, kan?”
Budak
perempuan itu tersenyum manis dan mengangguk laju.
Bro
Mamu mengambil satu bar gula-gula Sugus perisa strawberi yang berada di atas
kaunter dan dihulurkan kepada budak perempuan tersebut. Budak itu pantas
menghulurkan ‘wang kertas’nya dan Bro Mamu mencapainya.
“Terima
kasih, Abang Mamu!” ucap budak perempuan itu dengan gembira dan dia terus
berjalan keluar dari kedai tersebut.
“Saya
pergi dulu haa,” kata lelaki otak bersepai itu. “Next time, tamau lambat-lambat
lagi okey? Nanti itu bini marah woo.” Dan dia terus berjalan keluar dari kedai
itu, meninggalkan aku yang sedang kebingungan dengan apa yang berlaku sebentar
tadi.
Selang
beberapa minit – setelah aku kembali normal dan stabil – aku menghampiri Bro
Mamu yang sedang menulis sesuatu pada buku log di kaunter.
“Bro,
benda tadi tu… betul-betul jadi ke apa?”
Dengan
muka yang serius Bro Mamu menjawab, “Benda apa?”
Lama
Bro Mamu merenungku dengan mata yang tajam dan wajah yang serius, membuatkan
aku berasa semakin cuak. Takkanlah Bro Mamu nak bikin flashmob malam-malam buta kat kedai serbaneka tepi jalan macam ni, dan
mangsanya hanya aku sorang je? Impossible~
“Pfftt~”
Bro Mamu melempiaskan tawanya. Selepas tawanya mereda, dia kembali menatapku.
Dengan suara yang merendah, dia berkata, “Kau kena kuatkan semangat kau bila
kerja syif malam kat sini. Yang tadi tu, keluarga Melly. Budak tu dengan family
dia mati eksiden dekat jalan depan sana lepas diorang singgah ke kedai ni. Apa
yang berlaku tadi tu, macam ulang-tayang apa yang berlaku kat diorang.”
Aku
mengangguk faham.
“Selain
tu, takde perkara lain ke?” mulut capoiku bertanya.
“Kau
tau kan tapak bangunan ni asalnya tanah bekas lombong?”
Aku
mereguk liur.
“Kalau
kau berani, kuatkan semangat kau, diorang buat kacau macam mana pun kau tak
layan, sure okey punya. Normal la kalau kau ada dengar pintu terbuka tapi takde
orang masuk tu.” Bro Mamu menguntumkan senyum. Sedikit-sebanyak membuatkan
kecuakkan ku semakin menghilang walaupun ketakutanku semakin membiak penuh
dalam diri.
“Okey
la.” Buku log ditutup dan diletakkan di laci bawah kaunter. “Abang balik dulu
la. Kalau rasa sunyi sangat, buat la apa-apa. Hujung blok ni kan ada kedai
makan, kalau lapar jangan lupa makan pulak,” pesan Bro Mamu panjang lebar.
Aku
mengangguk lagi. Kali ini, ditambah dengan sedikit ketar. Aku serius cuak kalau
apa-apa jadi kat aku lagi lepas ni.
Sejak
Bro Mamu melangkah keluar dari kedai, aku asyik terfikir: macam mana untuk aku
handle kalau terjadi lagi perkara seperti tadi? Koman-koman, aku masih ada 7
jam untuk habis syif kerja.
Aku
kembali membelek buku komik yang aku capai tadi. Selepas dibelek satu persatu
mukasurat, tiba-tiba terdengar seperti orang berbual serta kedengaran bunyi
pintu peti minuman dibuka dan ditutup beberapa kali.
Aku
cuba untuk menumpukan perhatianku pada pembacaan tapi setelah bunyi buka-tutup
peti minuman tu berhenti, kedengaran bunyi tin berlaga pula.
Takpe la. Korang shopping la
puas-puas. Aku nak baca komik kat sini.
Kemudian,
aku tak mendengar apa-apa lagi sebab aku sudah menyumbat telingaku dengan earphone – layan lagu sambil membaca komik – sehinggalah ada sesuatu yang menghentam atas meja kaunter dengan kuat sekali.
Aku
terkejut sampai tercampak buku komik yang dibaca dan terus berdiri. Aku memandang sesusuk tubuh yang tinggi dan besar
di hadapanku. Namun, ada sesuatu yang kurang di situ.
“Dik,
ada jual gam yang kuat tak?” tanya susuk tubuh besar itu.
Namun,
suaranya itu seperti berada di bawah.
Seperti betul-betul berada di atas meja kaunter itu. Aku terus menurunkan
pandanganku ke arah itu. Terdapat satu kepala di situ dan wajahnya mengukir
senyuman manis.
“Kemarin
abang beli selotep, tapi kepala abang dok asyik tercabut je. Boleh bagi gam UHU
ke gam gajah ke… kasi yang kuat sikit la. Mana tau boleh lekat lama sikit,” kata
kepala itu lagi.
Ketika
itu, bukan setakat kaki ni saja, tangan, badan, hati, jantung… semua rasa macam dah lemau semacam. Kejap lagi sure tumbang ni.
Haaah… nampaknya aku kena cari
kerja lain la lepas ni…
Dan
aku terus pengsan akibat ketakutan.
No comments:
Post a Comment