Wednesday, December 25, 2013

Cerpen: Rahsia Dunia Sebelah

Hampir tiga jam Mona duduk di kerusi itu dengan badan yang menegak. Sambil itu, dia menulis pada kertas laporan dan kemudian dia melihat semula ke dalam mikroskop melalui lensa okuler. 
Mona lantas menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Dia menekup mukanya dan melepaskan keluhan berat. Dia termenung jauh. Di dalam hati, ingin saja dia menjerit sekuat hatinya untuk melepaskan tension.
Semenjak Mona perlu mengendali dalam membuat penyelidikan untuk mencari penawar penyakit genetik iaitu Lupus Eritematosus Sistemik atau dikenali sebagai SLE, Mona terasa dirinya dihempap dengan seketul batu besar di kedua-dua bahunya. Dia tahu pekerjaan ini sia-sia. Tak mungkin dia dapat menemui penawarnya. Semua orang tahu penyakit itu tiada ubatnya.
Mona mengeluh lagi. Dia memicit-micit kepalanya.
“Tak balik lagi, Mona?” sapa Revathy.
Mona menoleh ke arah Revathy yang sedang mengemas ruang kerjanya.
“Kejap lagi kot,” jawab Mona, ringkas.
“Balik la. Rehat. Kau ni kerja kuat sangat. Nanti sakit, susah,” tegur Revathy sambil menghampiri Mona. Tangannya menggapai bahu Mona.
Mona sekadar mengangguk kecil.
“Esok cuti, kan? Jangan risau la. Nanti kita mesti jumpa cara untuk dapatkan penawar penyakit ni.”
Revathy mengukir senyum. Diharapkan senyuman itu mampu membuatkan sahabatnya itu ceria semula walaupun sedikit.
“Aku balik dulu tau.”
Revathy berjalan semula ke mejanya dan mencapai beg tangannya.
Take care, Vathy.”
And you too.”
Revathy terus keluar dari bilik itu dan Mona kembali menyandar pada kerusi. Jam di tangan ditilik.
'Patutlah... dah nak pukul 10 malam rupanya.'
Mona lantas mengemas segala kertas laporan yang berselerak di atas meja. Beberapa slaid kaca yang diisi dengan pelbagai jenis spesimen itu diletakkan ke dalam piring petri. Kemudian, piring petri itu dimasukkan ke dalam peti sejuk untuk disimpan buat sementara.
Esok adalah hari cuti. Dan semua peralatan di dalam ruangan makmal mini itu perlu diperiksa. Suis mikroskop yang diguna tadi ditutup. Mona mencapai beg tangannya dan bergegas ke pintu keluar.

*****

Cuti hujung minggu kali ini, Atuk Husin datang ke rumah. Katanya ada sesuatu yang dia mahu ceritakan padanya. Sambil itu, bolehlah dia berjalan-jalan di kota Kuala Lumpur setelah hampir 50 tahun dia berpindah keluar dari hutan batu itu.
Selesai makan tengahari, Atuk Husin yang sedang duduk di ruang tamu itu memanggil Mona dengan suaranya yang mendatar.
“Ya, Atuk?”
Mona berjalan menghampiri Atuk Husin.
“Mari sini, Atuk ada benda nak bagitau.”
Mona duduk di sofa berhadapan dengan Atuk Husin. Dia hanya memerhati Atuk Husin dengan penuh tanda tanya.
“Haritu kau kata nak tolong orang sakit kan? Cari ubat untuk diorang, betul?” tanya Atuk Husin.
Mona hanya menjawab dengan anggukan perlahan.
“Atuk ada benda nak tunjuk kat kau. Tapi ingat, ni rahsia kita-kita je tau!” Atuk Husin memberi amaran keras walaupun suaranya kedengaran lembut.
Sekali lagi, Mona mengangguk.
Atuk Husin mengeluarkan buku jurnalnya dari beg yang dibawa. Diselak setiap helai satu persatu dan akhirnya dia berhenti. Dia menghulurkan jurnalnya pada Mona. Pada kertas yang sudah bertukar kekuningan itu tertulis formula kimia, nota-nota kecil dan lukisan sekuntum bunga yang pelik bentuk kelopaknya. Kelopaknya berlapis-lapis dan teksturnya kelihatan lembut jika dipegang. Lukisan itu juga diwarnakan agar ia kelihatan kemas dan mudah dikenali.
“Bunga apa ni, Atuk?”
“Atuk namakan bunga ni sebagai Kukka Sairaudet. Bunga ni boleh merawat penyakit yang kau cari tu. Tapi...”
Mona memandang Atuk Husin dengan perasaan ingin tahu.
“...kau kena usaha sikit. Atuk jumpa bunga ni pun, kebetulan. Masa tu, Atuk jalan-jalan ke situ. Kemudian, terjumpa. Disebabkan bentuk bunga ni Atuk tak pernah nampak, Atuk amek. Atuk kaji.”
Mona memandang Atuk Husin dengan tidak percaya akan cerita itu.
“Atuk ni dulu macam kau jugak. Tapi Atuk kaji bunga-bunga dan tumbuhan untuk dibuat ubat secara tradisional.”
Mona merebahkan pandangannya pada jurnal Atuknya.
“Tapi Atuk tak pernah bagitau pun?”
Atuk Husin tergelak kecil.
“Atuk terpaksa simpan rahsia ni. Tempat tu bukan kat dunia kita, tapi kat dunia ‘sebelah’ sana. Masa Atuk jumpa tempat tu dulu, Atuk muda lagi. Ayah kau pun kecik lagi,” cerita Atuk Husin lagi. “Kalau kau nak pergi ke sana, hati-hati. Dah jumpa nanti, jangan amek banyak-banyak. Cukup untuk bekalan kau buat penawar tu je, okay?” pesan Atuk Husin.
Mona mengukir senyum dan mengangguk perlahan.

*****

Mona menguakkan pintu makmal dengan perlahan. Dia masuk ke dalam diiringi dengan Revathy. Mereka meletakkan beg mereka di meja masing-masing. Sementara menunggu rakan sepasukan yang lain, mereka menghidupkan suis lampu, air-cond dan beberapa peralatan yang akan digunakan nanti.
“You ada apa plan tak weekend ni?” tanya Mona sebagai pembuka bicara pagi.
Mata Revathy terkelip-kelip, mulutnya diherot ke kiri dan ke kanan, cuba mengingatkan sesuatu.
“Mak aku nak datang rumah la weekend ni. Kenapa?”
Mona menggeleng perlahan. Niatnya adalah untuk mengajak Revathy mencari bunga Kukka Sairaudet itu bersama. Nampaknya, Mona terpaksa pergi seorang diri pada hujung minggu nanti.
“Tak ada apa la, Vathy. Tanya je.” Mona melemparkan senyum.
Revathy tergelak kecil.
You ni, Mona... ada-ada je.”

*****

Hari minggu kembali lagi. Setelah menyiapkan beberapa persediaan makan dan minum serta peralatan first-aid kit, Mona bergerak seawal pagi dan tiba di kaki Bukit Broga pada jam 6.30 pagi.
Setelah hampir satu jam dia memanjat Bukit Broga bersama sekumpulan pelajar yang juga kebetulan tiba di situ bersamanya, akhirnya dia tiba di puncak Bukit Broga. Sekumpulan pelajar tadi teruja kerana dapat melihat keindahan pagi di puncak bukit itu. Namun Mona punya rancangan lain.
Dia berjalan menghampiri laluan masuk ke kawasan hutan yang menghala ke Gunung Tok Wan. Dia memandang ke kiri dan ke kanan.
Tak ada orang.
Mona terus menyusur ke laluan lain, tidak mengikut laluan denai yang ada di situ.
Kata Atuk Husin, laluan masuk ke ‘dunia sebelah’ berada di antara Bukit Broga dan laluan masuk ke Gunung Tok Wan.
Mona mengikut lakaran peta yang dilukis oleh Atuk Husin tempoh hari. Diharapkan laluannya masih sama kerana ketika Atuk Husin pergi ke sana dulu adalah pada tahun 2012. Kini sudah tahun 2062.
Sedang Mona berjalan merentasi sebatang pokok besar, tiba-tiba jalan itu menembusi ke tanah lapang yang ditumbuhi lalang yang berwarna biru.
Mungkin ini ‘dunia sebelah’ yang Atuk Husin katakan.
Mona berjalan lagi mengikut peta. Ketika dia hampir dengan kawasan bunga yang dicari, Mona terkejut dan terlopong. Kawasan itu tidak seperti yang dikatakan oleh Atuk Husin. Namun tempat itu telah dibina beberapa pondok. Di sekitarnya juga tidak bersemak-samun seperti yang diceritakan Atuk Husin.
Sesusuk tubuh kurus tinggi menghampiri Mona. Bentuk wajahnya lonjong. Matanya di sebelah kanan seperti besar membengkak, manakala mata kirinya pula mengecil seperti buah ceri mengecut.
“Siapa kau?” tanya makhluk itu.
“M-Mo-Mona,” jawab Mona dengan suara yang bergetar.
“Aku Silmat. Sana itu Aivot dan yang itu pula Kasvot.” Silmat menuding jarinya pada dua rakannya.
Aivot adalah makhluk seperti manusia kerdil, namun kepalanya yang berlubang itu menampakkan bentuk otaknya yang berwarna kuning. Badannya pula kecil dan sedikit bongkok. Makhluk bernama Kasvot itu pula berbadan gempal bulat dan kulitnya mempunyai kesan tampal-tampal seperti Frankestein.
Lambat-lambat, dua makhluk yang bersembunyi itu keluar dan menghampiri mereka berdua.
“Jangan risau. Kami cuma pelik. Sebelum ni kami jarang melihat makhluk seperti kau berada di sini. Terakhir kali... mungkin berpuluh tahun dahulu. ”
“Ya, betul. Di sini, cuma kami bertiga saja.”
Mona memandang sekeliling. “Mana yang lain?”
“Kami lari dari kampung. Kampung kami telah diserang oleh makhluk jahat. Mereka mahu meluaskan jajahan mereka,” cerita Kasvot.
Mona mengangguk dan terdiam.
“Marilah kita ke pondok ku. Kita boleh makan-makan,” pelawa Kasvot.
“Ya, mari ke pondok ku. Kita boleh minum-minum,” pelawa Aivot.
“Ke pondok ku juga. Kita boleh bersuka-ria,” pelawa Silmat sambil berjoget menggoyangkan badannya.
Mona tertawa kecil melayan karenah ketiga-tiga makhluk pelik itu.
“Baiklah, baiklah.”
Ketiga-tiga makhluk tadi mengiringi Mona. Sampai di tanah lapang berhadapan sebuah pondok berwarna oren, mereka berhenti.
“Ini pondok aku, biar aku keluarkan makanan. Kita makan di sini.”
Kasvot pantas berlari masuk ke dalam pondoknya.
“Di sebelah sana itu pondok aku. Biar aku keluarkan minuman. Kita minum di sini.”
Aivot pula berlari masuk ke dalam pondoknya yang terletak bersebelahan dengan pondok Kasvot.
Mona memandang pada Silmat.
“Lepas makan dan minum nanti, kita boleh bersuka-ria!” kata Silmat sambil menggoyangkan badannya lagi.
Mona tertawa kecil dan mengukir senyum pada makhluk itu.

*****

Semenjak Mona berada di ‘dunia sebelah’ ini, dia merasakan peralihan masa di situ beransur amat pantas. Tahu-tahu saja, hari sudah semakin gelap ketika dia selesai menjamu selera.
Dan kini, ketiga-tiga makhluk pelik itu sedang bersuka-ria sambil berdansa entah tarian apa dipersembahkan pada Mona. Mona sekadar bertepuk tangan memberikan rentak untuk mereka menari.
Tak lama kemudian, mereka berhenti dan duduk berhampiran dengan Mona.
“Begini la kami setiap hari. Kami bangun, cari makanan di hutan, kemudian kami makan dan setelah selesai, kami akan bersuka-ria sebelum kami masuk tidur,” kata Silmat.
Aivot dan Kasvot cuma mengangguk mengiyakan kata-kata Silmat.
“Kami sudah mahu tidur. Kalau kau mahu tidur, kau boleh baring di situ.” Kasvot menuding pada sebuah pondok kosong tidak berdinding berhampiran dengan tempat mereka duduk sekarang. “Pondok itu selalu kami buat untuk duduk melepaskan lelah setelah pulang dari hutan.”
Mona menoleh pada pondok tersebut dan mengangguk faham.
“Kamu semua tidur la. Mesti penat kan?”
Ketiga-tiga makhluk itu mengangguk dan mula bangun dari duduk. Mereka berjalan pulang ke pondok masing-masing untuk tidur.
Setelah mereka hilang di sebalik dinding pondok mereka, Mona melihat jam di tangan. Baru jam 12:15 pagi di dunia sebenar. Patutlah dia masih belum mengantuk. Mona mencapai beg galasnya dan mengeluarkan jurnal milik Atuk Husin. Dia menyelak halaman bunga Kukka Sairaudet.
Baik aku cari bunga ini sebelum mereka jaga. Nanti apa pulak kata mereka kalau aku tak ada kat pondok ni.  
Mona lantas bangun sambil memakai beg galasnya dan mula berjalan mengikut lakaran peta berpandukan lampu picit kecil yang dibawanya.

*****

Bunga Kukka Sairaudet yang berwarna merah keunguan sebesar bunga raya di atas bukit itu dilihat dengan mata yang penuh dengan sinar harapan. Pantas dia berlari mendekati pohon renek itu.
Dengan berpandukan peta lakaran Atuk Husin, kini Mona berjaya mencari penawar untuk penyakit SLE. Penyakit yang sedang dihidapi oleh ramai orang di Malaysia, bahkan di dunia samada mereka sedar atau tidak. Dia perlu menyelamatkan pesakit yang menderita penyakit itu. Dia tidak mahu penghidap penyakit SLE ini mati seperti ibunya yang meninggal ketika usia muda.
Disebabkan tahap imunisasi tubuh pesakit SLE adalah rendah, penyakit lain mampu menyerang mereka terutamanya pada organ buah pinggang dan hati.  
Beberapa kuntum bunga Kukka Sairaudet dipetik dan dimasukkan ke dalam bekas plastik. Mona juga sempat memotong sedikit batang pohon Kukka Sairaudet. Mungkin boleh dijadikan rentas untuk ditanam nanti. Setelah itu, Mona berjalan turun dari bukit kecil itu untuk pulang.

*****

Sampai saja di di tanah lapang, kelihatan tiga makhluk pelik itu sedang berdiri sambil menoleh ke arah Mona.
“Mana kau pergi?” tanya Aivot dengan suara mendatar.
“Tak ke mana. Jalan-jalan,” jawab Mona, cuba untuk menyembunyi gentarnya.
“Kau pergi ke atas bukit itu, ya?” tuduh Kasvot.
Mona terdiam. Tuduhan Kasvot ada benarnya.  
“Apa kau buat kat sana? Curi bunga kami, ya?”
Suara Silmat meninggi membuatkan Mona tersentak.
“Kalau kau nak tahu, makhluk jahat yang telah memusnahkan kampung kami tu serupa dengan kau. Habis pokok-pokok ditumbangkan. Tanah habis diratakan. Habis segala tumbuhan di kampung kami satu masa dulu dirobek rakus. Dan kini... bunga kami pula yang mahu mereka curi? Mereka harus mendapat pembalasan!”
“Ya, segala kejahatan mereka akan dibalas. Segala bencana telah mereka hadapi. Tanah runtuh, banjir lumpur... hah! Dasar makhluk jahat!” marah Aivot.
“Kita mesti bunuh dia!” Kasvot mencelah. Tangannya mencapai senjata berbentuk seperti sabit.
Damn it!
Mona terundur beberapa langkah.
“Kejar dia!” arah Silmat. Dia juga mencapai senjata berbentuk seperti lembing.
Tanpa teragak-agak, Mona terus memecut langkah seribu. Dia berlari ke arah lapangan lalang biru di atas bukit itu. Dia sempat menoleh ke belakang. Tiga makhluk pelik itu masih mengejar Mona dan sedang berlari mendaki bukit itu sedaya-upaya mereka.
Mona pantas memasuki celahan pokok, tempat di mana menjadi sempadan hijab antara dunia mereka dan dunia manusia. Dia terus berlari beberapa langkah sebelum dia terhenti untuk mengecap nafas dan menoleh lagi ke belakang.
Selepas Mona ghaib di sebalik celahan pokok di sempadan, ketiga-tiga makhluk itu berhenti mengejar. Mereka memandang Mona dengan pandangan yang tidak puas hati. Lantas, Silmat menuding jarinya ke arah Mona.
“Kau ingat Mona! Kami bersumpah sekiranya ada makhluk seperti kau mampir ke mari untuk bunga sakti kami, kami akan bunuh mereka!”
Suara Silmat bergema sehingga ke dunia nyata.
Mona sekadar memandang mereka dan kembali berjalan keluar dari situ. Jam di tangan ditilik. Pukul 6 petang. Mungkin sempat untuk dia turun dari Bukit Broga sebelum waktu Maghrib. Dalam lelah nafasnya, Mona berhati-hati menuruni kawasan itu bersama beberapa pengunjung yang lain.

*****

Setelah hampir 30 tahun berlalu, penyelidik-penyelidik di pelusuk dunia kini sedang giat memperluaskan penyediaan penawar dari bunga Kukka Sairaudet. Rentasan tunas yang dibawa pulang dahulu kini baru berbunga. Ya, satu proses yang agak lama.
Walaupun Mona telah menemui bahan penawar penyakit itu, tak mungkin Mona akan memberikan info keberadaan asal bunga Kukka Sairaudet itu. Nak-nak pula selepas tiga makhluk pelik itu bersumpah untuk membunuh jika ada manusia datang ke dunia mereka lagi.
Jika mereka dapat tahu, mungkin dunia makhluk bertiga itu akan dijajah, seterusnya dimusnahkan lagi semata-mata nafsu kita sebagai manusia yang hanya tahu mementingkan diri kita sendiri. Tengok saja di sekeliling kita. Tanah baru dibuka tapi pembangunannya terlalu rakus sehingga menjejas ekosistem tanah.

Jadi, Mona telah tekad di dalam dirinya. Rahsia bunga itu akan dia simpan rapi hingga ke hujung nyawanya. 

1 comment:

Hasnul Adin said...

menarik.

tapi makhluk 3 ekor tu, mesra betul. haha.

This is Hani