Sunday, December 15, 2013

Satu Waktu Dulu: Xilofon

Satu waktu dulu, semasa aku berumur sekitar 2-3 tahun, aku ada satu alat muzik kesayangan dan alat muzik itu adalah alat muzik yang pertama yang aku miliki. Ia adalah sebuah xilofon.

Walaupun cuma model mini berserta dengan gambar-gambar kartun haiwan pada setiap papan kekunci xilofon berwarna oren itu, namun aku tetap menghargai pemberian Mama dan Abah. Setiap hari, aku pasti mengetuk kekunci xilofon itu mengikut rentak bunyi yang -pada ketika itu- aku rasa sedap didengar. Abang aku pula banyak mengajarku memainkan beberapa lagu mudah yang dipelajarinya semasa di kelas piano. Aku menjadi teruja bermain lagu-lagu tersebut di hadapan Mama dan Abah bila masa aku sudah pandai memainkan lagu tersebut dengan sendiri.

Setelah hampir setahun usia xilofon tersebut, plat-plat besi pada kekunci xilofon tersebut mulai berkarat. Bunyinya pun semakin sumbang. Mama dan Abah mendesak agar aku membuang alat muzik mainan itu dan nanti akan dibelikan ganti. Aku tak mahu! Aku tetap mahu terus bermain xilofon yang itu. Tak mahu yang lain. Jadi, Mama dan Abah mengambil keputusan untuk membuang xilofon kesayanganku itu secara senyap-senyap ketika aku sedang tidur.

Bangun pagi keesokan harinya, aku terus mencari xilofon oren kesayanganku itu. Semasa sedang bersarapan, di atas meja terdapat sebuah xilofon. Tapi itu bukan xilofon milikku...

"Ni Mama Abah belikan yang baru. Yang lama tu kita buang, okey? Dah rosak dah tu," pujuk Mama.

Aku terdiam sambil memandang xilofon berwarna merah yang masih baru itu. Plastiknya pun tidak dikoyakkan lagi. Kemudian, aku menangis semahunya. Dalam hati, aku menjerit, 'Nak xilofon oren tu! Nak xilofon oren tu!' tapi tak terluah. Aku cuma mahu menangis saja.

Bila aku fikirkan sekarang, kesian Mama dan Abah kena pujuk aku masa itu... mereka membeli yang baru agar aku dapat bermain xilofon itu semula. Namun, mereka tidak tahu sesuatu. Sesuatu yang aku tak pernah luahkan pada mereka pada waktu itu. Aku cuma mahukan sebuah xilofon berwarna oren yang mempunyai gambar kartun haiwan di setiap papan kekuncinya. Bukan yang kosong tak bercorak seperti xilofon berwarna merah itu!

No comments:

This is Hani