Tuesday, September 04, 2012

Sempurna [Cerpen]

Semua orang nak jadi sempurna. 
Sempurna dari segi kecantikan diri. 
Sempurna dari segi kebersihan diri. 
Sempurna dari segi hati nurani. 
Sempurna dari segi cara kerja. 
Dan macam-macam lagi... 
Tapi tak ada siapa yang mampu sempurna dari semua segi. 
Kenapa? 
Macam biasa, ayat cliche manusia;
"Nobody is perfect".

Dalam hidup kita, ramai yang mahu kelihatan sempurna di mata pasangan masing-masing. Boleh dikatakan hampir 90% dalam diri kita, bila dah berpunya, mesti nak buat sehabis baik untuk menjadi sempurna. Dan pada ketika aku berfikir untuk menjadi sempurna, otak aku melayang pada kejadian setahun yang lepas.

Waktu tu, aku masih bekerja di Giant Shah Alam. Kerja sebagai seorang penjual di sebuah kiosk. Masa tu aku tak ada teman. Jadi aku banyak mengelamun memandang orang ramai yang datang berkunjung di situ. Ada yang gatal tangan sekadar mengusik barang-barang yang terdapat di kiosk. Tak kurang juga yang datang membeli dengan banyaknya.

Sudah sebulan lebih aku bekerja di situ, aku baru perasan... setiap hari dalam sekitar jam 10 pagi, pasti ada sepasang suami-isteri yang berumur lingkungan 60-an, yang aku tak tahu dari mana mereka datang, akan berjalan sekeliling dalam Giant Shah Alam sambil berpegangan tangan dan kerap berbual bersama.

'Sweet nya diorang...', getus hati kecil aku.

Ya, mereka sangat sweet. Bukan aku seorang saja yang kata begitu. Malah, pekerja di kiosk yang lain juga berkata begitu. Ramai yang mencemburui mereka.

Satu hari, mereka menghampiri aku. Sekadar bertanya tentang barangan yang aku jual. Aku perhati saja pasangan itu. Dari slanga English mereka, aku rasa mereka datang dari UK. Dan ya... mereka menetap di Malaysia sudah hampir setahun lebih kerana mereka merasakan Malaysia sempurna di mata mereka. Makanan, budaya, pergaulan pelbagai bangsa... kenapa aku tak rasa seperti apa yang mereka rasa? ......... Jadi aku hanya tersenyum mendengar jawapan jujur mereka.

Esoknya, mereka menghampiri aku lagi. Sekadar berbual kosong. Kata mereka, aku ni tak macam pekerja kiosk yang lain, selalu ada di kiosk dan selalu layan pelanggan dengan baik. Mereka hanya nampak luaran aku, dalaman aku? Aku tak sempurna sepertimana yang mereka nampak. Aku mengeluh, dan aku senyum. Mereka tergelak kecil, dan mereka berpegangan tangan. Erat. Aku cemburu.

'Bila aku akan dapat pasangan yang sebegitu gembira dengan aku... dan sanggup menerima aku seadanya? Yang memandang aku sempurna walaupun aku terlalu banyak kekurangan?' 

Selama hampir 40 tahun mereka bersama, aku nampak mereka masih seperti di kala mereka muda dahulu. Masih tersenyum ketika berbual bersama, ketawa bersama, berjalan menempuh hari tua bersama sambil berpegangan tangan seerat yang boleh.

Ketika ini, aku merindui Mama dan Abah. Kemanisan berumahtangga pasangan UK itu hampir sama dengan kemanisan rumahtangga Mama Abah. Mereka saling melengkapi antara satu sama lain agar ia kelihatan sempurna. Apa yang aku harapkan, pasangan aku mampu melengkapi diri aku agar kami saling sempurna...

Dan pada ketika aku berhenti mengelamun tentang kesempurnaan, aku kerling pada jam tepi meja. Dah pukul 8.00 malam dan aku masih tak mengerjakan solat Maghrib. Haih... macam mana aku nak jadi sempurna kalau solat pun tunggang-langgang?

No comments:

This is Hani