Masa aku kecil-kecil dulu, aku adalah seorang yang kidal.
Menulis, melukis, pegang sudu makan, korek hidung, cebok berak (eh, ini
mestilah!) – semua aku gunakan tangan kiri.
Semuanya bermula pada ketika Abah membelikan aku sebuah buku
mewarna dan sekotak pensel warna berjenama apa entah. Yang aku ingat, pada kotak
itu mempunyai kartun buaya aligator berwarna hijau dan dan aligator itu memeluk
dua-tiga batang pensel sambil tersenyum.
Semasa aku asyik mewarna, Abah menghampiri dan menegurku,
"Eh, baby Abah ni kidal yek?"
Aku memandang Abah dengan penuh tanda tanya, "Kidal? Apa
tu, Abah?"
"Kidal tu buat kerja guna tangan kiri," jawab Abah
sambil mengusap ubun-ubun kepalaku.
Aku cuma mengangguk – tak ingat aku terus faham atau tidak
pada perkataan ‘kidal’ itu – dan aku menyambung mewarna semula.
Beberapa tahun kemudian, aku dimasukkan ke sekolah Tadika
untuk budak berumur 5 tahun. Di situ, aku berkenalan dengan ramai kawan baru.
Apabila kelas pertama bermula, aku duduk belajar bersama rakan sekelas.
Semuanya berjalan normal sehinggalah pada satu hari, cikgu
menyuruh kami untuk mengajuk setiap perkataan yang dia tulis di papan putih.
Kemudian, kami diajar bagaimana untuk menulis setiap huruf untuk perkataan
tersebut.
Aku
masih ingat pada hari itu kami belajar untuk mengeja, menulis dan melukis
gambar ayam dan bola.
Cikgu menyuruh kami membuka buku tulis dan menulis A-Y-A-M dan B-O-L-A yang tertera di papan putih dan
diulang-tulis sebanyak 10 kali setiap perkataan. Sambil itu, cikgu berjalan
mengelilingi kami untuk membantu kami yang masih tidak faham dan tidak tahu
untuk melukis.
Sampai saja pada giliranku, kening cikgu terkerut.
"Awak ni kidal ye?" tanya Cikgu Ummi.
Aku mengangguk.
"Saya nak awak menulis guna tangan kanan, boleh? Tak
elok guna tangan kiri ni," tegur
Cikgu Ummi.
Ketika itu, semua rakan sekelasku memandangku seperti aku telah
melakukan satu kesalahan besar di muka bumi ini. Aku mereguk liur. Perlahan-lahan,
aku mengalihkan batang pensel dari tangan kiri ke tangan kanan. Dan aku mula
menulis – buat pertama kalinya – menggunakan tangan kanan.
Menggigil juga tanganku ketika itu. Aku dapat rasakan tanganku
tidak cukup kuat untuk menggerakkan batang pensel dan menulis perkataan yang cikgu
suruh itu. Apabila sudah selesai menulis sebaris, Cikgu Ummi memujiku “Bagus!”
dan beralih ke rakanku yang lain pula.
Fuh, berpeluh telapak tangan kanan aku!
Aku berkira-kira untuk menulis menggunakan tangan kiri
semula. Namun, apabila aku mahu mengalihkan pensel tersebut ke tangan kiri dan
mula menulis, rakanku yang duduk di meja sebelahku menjerit.
"Cikgu! Mira tulis tangan kiri, cikgu!"
Ah, cilaka! Kaki report lah pula budak sebelah aku ni.
Cikgu itu pantas menoleh ke arahku dan berkata, "Kan
saya dah kata, belajar tulis guna tangan kanan." Suaranya kedengaran
tegas.
Sekali
lagi, aku menjadi tumpuan kelas. Cikgu Ummi pula masih memandangku dengan
matanya yang terjegil bulat. Selagi aku tidak menulis menggunakan tangan kanan,
selagi itulah dia akan terjegil sebegitu. Tak penat ke?
Jadi,
aku yang tidak berani untuk melawan ketika itu pun terus mencapai pensel
menggunakan tangan kanan dan teruskan menulis. Begitulah
kehidupan aku di tadika yang sering dimarah kerana menulis menggunakan tangan
kiri.
Sampai saja di rumah, aku menghampiri Abah sambil membawa
buku latihan bersama. Aku duduk di sebelah Abah yang sedang membuat kerjanya.
“Baby Abah harini okey tak belajar?” tanya Abah seperti
selalunya.
Aku mengangguk sambil membuka buku mengeja dan mewarna itu.
“Abah…” panggilku.
“Hmm?”
“Salah ke menulis guna tangan kiri?” tanyaku inginkan jawapan
dari Abah.
Masa tu aku bengap lagi tentang betul-salah. Bagi aku – pada masa tu – kalau orang kata apa yang aku buat tu salah, maka masuk penjara la yang aku nanti. Aku jadi takut.
Aku lihat Abah tersenyum dan mengusap ubun-ubunku. “Siapa
cakap salah? Mana ada salah. Orang kidal ni unik,” beritahu Abah.
Aku menjadi keliru. Jadi aku menceritakan apa yang berlaku di
tadika tadi. Abah tergelak dan berkata, “Takpe la. Baby belajar la menulis guna
tangan kanan. Nanti boleh menulis guna dua-dua tangan. Penat tangan kiri, boleh
guna tangan kanan pulak. Kalau orang kidal tu unik, orang yang boleh guna
tangan kiri dan kanan untuk buat kerja ni luarbiasa, lebih dari unik!”
Aku mengangguk faham.
Selepas kejadian itu, aku masih lagi menulis menggunakan
tangan kiri. Cuma kadang-kadang, aku belajar untuk membiasakan diri untuk
menulis menggunakan tangan kanan sama.
Selama setahun aku berada di tadika itu, akhirnya aku
berpindah masuk ke tadika untuk umur 6 tahun pula.
Semasa kelas bermula, seperti biasa, kami disuruh untuk
menulis beberapa perkataan mudah untuk sesi mengeja dan menulis.
Aku dengan yakinnya, menggunakan tangan kanan untuk menulis.
Aku takut kalau-kalau Cikgu Zura itu marah jika aku menulis menggunakan tangan
kiri seperti Cikgu Ummi dulu. Selesai giliranku, kini giliran rakan di meja
sebelahku pula. Apa yang membuatkan aku terpegun, budak itu menulis menggunakan
tangan kiri. Macam aku la weh! Namun, budak tersebut tidak dimarahi oleh Cikgu Zura.
Aku tersenyum lebar. Aku mula mencapai pensel dan mula
menulis menggunakan tangan kiri semula.
Ya, begitu asyik sekali apabila batang pensel itu bertemu
dengan tangan kiri semula. Seperti Mario
mendapat cendawan hijau. One life up!
Tapi disebabkan aku sudah mula pandai menggunakan tangan
kanan untuk menulis, melukis, korek hidung, kecuali cebok berak, aku dapat
rasakan yang aku ini lebih istimewa ketika itu.
Aku menggunakan saranan Abah; apabila aku penat menulis
menggunakan tangan kiri, aku sambung menulis menggunakan tangan kanan.
Kini aku sudah menjejakkan kakiku di sebuah kolej. Rakan-rakan
sekelasku sering cemburu dengan kelebihanku yang boleh menggunakan kedua-dua
tanganku untuk menulis. Terngiang-ngiang kata-kata Abah sewaktu aku tadika
dulu. “Orang kidal ini unik. Kalau orang yang boleh guna tangan kiri dan kanan
untuk buat kerja ni pula luarbiasa, lebih dari unik!”
Jadi, jangan takut untuk menjadi sedikit pelik dari biasa
sebab pelik itulah yang unik. Tapi jangan pelik yang melampau sangat. Nanti korang kena cop gila, aku tak tau.
No comments:
Post a Comment