Wednesday, February 26, 2014

Cerpen: Butter Fly

Sofia dan Sufian adalah sepasang kembar yang berlainan rupa dan perangai. Sofia keluar awal 8 minit dari Sufian. Namun Sufian kerap kali menegaskan bahawa dialah yang paling tua, dialah abang kepada Sofia kerana dia percaya bahawa seorang abang atau kakak akan memberikan laluan kepada adiknya untuk keluar dahulu dari rahim ibunya. Ah, dasar orang yang tidak boleh terima kenyataan!
Satu hari, mereka keluar berjalan ke sebuah taman permainan. Debu-debu kelabu yang menjadi lantai taman itu dipijak dengan berhati-hati. Takut-takut terpijak besi tajam yang boleh melukakan kaki-kaki mereka. Minggu lalu, taman permainan itu habis musnah akibat terkena bedilan bom. Yang tinggal, cuma cebisan gelongsor dan pacakan tiang-tiang buaian.
Mereka berjalan sambil bersembang-sembang, buat menghilangkan sunyi. Sebuah beg kantung besar disandang di bahu masing-masing. Mereka mengimbau kenangan semasa mereka masih kecil waktu dulu. Di mana dunia masih aman dan tidak berperang dengan negara-negara lain. Kini, semua itu cuma kenangan. Sejarah. Semenjak perang terletus dua tahun lepas, mereka terpaksa hidup dalam keadaan yang daif dan sesak. Terpaksa pecah masuk rumah orang-entah-siapa, serta mencuri makanan di kedai serbaneka yang sudah ditinggalkan pemiliknya.
"Kau ada dengar radio pasal butter fly tu?" tanya Sufian setelah melabuhkan punggung ke atas kayu papan jongket.
"Ada. Kenapa?" jawab Sofia.
"Diorang kata butter fly tu keluarkan cecair manis. Aku teringin nak makan. Lama kita tak makan benda yang sedap-sedap. Asyik-asyik, kita kena makan..." Sufian memandang ke dalam beg kantungnya. "...baked beans, sardin, jagung tak pun cendawan dalam tin ni. Bosan la."
Sofia memandang tajam ke arah Sufian.
"Kenapa?" sergah Sufian.
"Kau tau kan diorang kata cecair tu bahaya! Kau tak dengar berita minggu lepas ke? Ada orang mati lepas makan benda tu," marah Sofia.
"Ala, makan sikit je. Bukan boleh mati pun," Sufian melawan.
"Suka hati kau la," kata Sofia dengan nada suara yang rendah. Seperti orang malas untuk turut campur.
Sofia lantas melangkah pergi meninggalkan Sufian terkulat-kulat di situ sebelum dia bangun dari duduknya dan mengejar langkah kakaknya itu.

***

Langkah diatur dengan berhati-hati apabila mereka masuk ke dalam semak tebal itu.
Untuk meneruskan hidup, mereka perlu mencari makanan sendiri, selain mengharapkan makanan yang diberi oleh pegawai-pegawai di base camp.
Sedang Sofia berjalan lebih dalam ke dalam semak itu, tiba-tiba dia menjumpai pokok pisang setinggi lebih kurang dua meter dan di pokok itu tergantung setandan pisang yang sudah menguning.
'Kalau aku bawak balik pisang ni ke base camp, sure diorang happy. At least, ada jugak makanan lain selain sup dan bubur tawar tu,' fikir Sofia.
Pisau yang terselit di pinggang ditarik keluar dan dia mengangkat pisau itu tinggi-tinggi agar dia dapat menetak batang tandan pisang itu.
Baru sekali tetakan, kedengaran suara Sufian memanggilnya.
"SOFIAAA!!!"
Tumpuan Sofia terganggu, namun ditolehkan juga kepalanya ke arah suara Sufian.
"Kenapa?" laung Sofia.
"Meh la sini jap!"
Sofia mendengus dan dia berjalan ke arah Sufian yang berada tidak jauh dari situ. Sampai di satu kawasan yang redup dipayungi sepohon pokok yang besar, Sofia berhenti. Kelihatan Sufian sedang bercangkung di bawah pokok itu.
"Apesal?"
Sufian yang masih duduk bercangkung itu menoleh sedikit dan menggamit Sofia untuk mampir dekat dengannya.
"Kau jangan nak main-main pulak. Jom, tolong aku potong tandan pisang kat sana."
"Sini la! Sedap la benda ni. Kau kena try."
Sofia berjalan mendekati Sufian.
"Apa benda tu?" tanya Sofia. Kepalanya terjulur ke kiri dan ke kanan untuk melihat 'benda sedap' yang dikatakan Sufian itu.
"Ni hah." Sufian bergerak ke tepi sedikit supaya Sofia dapat melihat benda yang maksudkan. Terdapat ketulan berbentuk segiempat seperti bentuk mentega dan sedikit cair di tepi-tepinya.
Sufian mencalit sedikit. Cecair likat itu bertali halus ketika Sufian mengangkat jarinya dan dijilat sedikit calitan di jarinya itu.
"Mmm... mmm... sedap! Manis dia... pergh! Kau kena try la," kata Sufian, teruja. Dia mencalit lagi dan disuapkan ke dalam mulutnya lagi.
"Kau jangan main makan je benda sedap camni. Mana tau racun ke apa, mana kita nak tau," Sofia memperingatkan Sufian.
Dia risau jika berlaku apa-apa yang tidak elok pada kembarnya itu. Nak-nak pula bila hidup di dunia pasca perang dunia seperti sekarang. Dia sajalah keluarga yang dia ada sekarang ini.
"Kalau kau tak nak, aku habiskan. Sedap ni! Rugi kalau dibiarkan camni je tau!" Sufian kembali menumpukan tumpuan dirinya pada cecair manis yang likat itu.
Sofia menjeling geram. Ketika dia memusingkan badannya untuk berjalan kembali ke pokok pisang tadi, dia terkaku. Matanya tertumpu pada sesuatu.
Seekor lalat gergasi sedang bertenggek di atas batu - dalam 3 meter dari Sofia - sambil memandangnya. Kepalanya terteleng-teleng ke kiri dan ke kanan. Sofia menguis kakinya pada lengan Sufian yang duduk membelakangkan lalat gergasi itu.
"Kau ni apesal main kuis-kuis orang ni?" marah Sufian kerana tindakan Sofia itu telah mengganggu dirinya untuk terus menjamah cecair manis itu.
"Tu... tu..." Suara Sofia cuma tersekat di rengkung.
Lalat gergasi itu sepertinya tidak berbahaya. Ia cuma memandang sekeliling dengan matanya yang besar itu. Kemudian, dia memusing-musingkan sedikit badannya dan - 'CRIIITTTT!!' - lalat gergasi itu telah 'membuang' sesuatu yang dia sangat kenal bentuknya. Dan lalat itu terus terbang meninggi meninggalkan mereka.
Cecair manis likat itu!
Sofia pantas menarik lengan Sufian dan bergegas mahu pergi dari situ.
"Eh, kau ni apesal? Tak nampak ke aku tengah ma--" Sufian terdiam ketika mereka melintasi cecair manis likat yang ditinggalkan oleh lalat gergasi tadi itu. "Eh? Ada lagi la!" kata Sufian dengan penuh keterujaan. Lalu dia merentap lengannya dari genggaman tangan Sofia dan duduk melutut di hadapan cecair manis likat itu.
"Kau jangan makan tu lagi, boleh tak?! Benda tu tak elok la!" marah Sofia. Dia berasa tidak sedap hati selepas dia melihat lalat gergasi dengan mata kepalanya sendiri.
Sufian mengabaikan kata-kata Sofia dan dia pantas mengeluarkan sebekas plastik lutsinar yang masih kosong dan dimasukkan ketulan yang likat itu ke dalam bekas itu. Bekas itu ditutup rapat dan dimasukkan semula ke dalam beg kantungnya.
"Serius aku rasa tak sedap hati tengok kau makan benda tu," luah Sofia sebelum dia berjalan keluar dari situ.

***

Malam itu, Sofia, Sufian dan beberapa orang yang duduk base camp itu berlonggok beramai-ramai di depan unggun api. Terdapat radio kecil yang menjadi penyampai berita terkini dunia. Begitulah mereka setiap hari, setiap malam.
Setelah penyampai radio menyampaikan keadaan semasa perang dunia, berita beralih pada berita amaran kepada penduduk dunia agar berhati-hati dengan serangga yang diberi nama 'butter fly' kerana najisnya yang berbentuk seperti mentega dan rasanya yang manis itu mampu membunuh manusia jika dimakan. Rupa butter fly itu juga diberitahu. Berbentuk seperti lalat tetapi bersaiz besar akibat terkena radiasi yang kuat membuatkan serangga itu berevolusi menjadi besar sehingga mencapai saiz seekor kucing dewasa.
Sofia tersentak. Info-info yang diberikan itu persis dengan apa yang dilihat siang tadi. Dia memandang Sufian yang sedang duduk tidak jauh darinya. Sofia yakin bahawa Sufian telah memakan najis butter fly itu. Dia juga yakin serangga gergasi itu adalah butter fly walaupun dia cuba untuk menafikannya.
Akhirnya, Sofia mengeluh dan tenggelam di dalam lamunannya sebelum terlena di kerusi malas itu.

***

Tiga hari berlalu, selama itu juga Sofia dan Sufian kerap ke hutan semak itu untuk mencari makanan. Sofia mencari buah-buahan yang tumbuh meliar di dalam semak itu, manakala Sufian pula mengambil 'bekalan' cecair manis yang likat itu sebanyak yang mungkin. Dia menjadi semakin ketagih dengan makanan yang entah dari mana datang itu. (Sufian masih tidak tahu itu adalah najis butter fly yang semakin kecoh di berita-berita radio tempatan mahupun di radio luar).
Sedang Sufian bercangkung untuk menyauk ketulan cecair likat itu masuk ke dalam bekas plastik lutsinar yang dibawanya, tiba-tiba perutnya terasa sakit yang mencucuk pedih.
"Aaarrgghhh!" Sufian mengaduh. Tangannya memicit perutnya.
Sofia yang muncul di celahan semak sambil membawa beberapa bekas plastik yang diisi dengan cendawan hutan itu berlari ke arah Sufian.
"Kau apesal ni? Okey tak?" tanya Sofia setelah dia duduk bercangkung di sebelah Sufian yang masih terkerut menahan sakit.
"Entah la. Aku rasa perut aku sakit sangat ni," beritahu Sufian.
Lantas Sofia memegang perut Sufian. Tangannya dapat merasakan ada sesuatu bergerak di dalam perut Sufian. Dia mereguk liur dan cuba untuk menenangkan dirinya.
"Jom, kita balik. Kat sana ada paramedik, dorang boleh check kau nanti," saran Sofia.
Sufian terangguk-angguk. Dahinya habis lencun dengan peluh. Mukanya semakin berkerut menahan sakit yang maha pedih itu. Badannya dipapah oleh Sofia sehingga mereka tiba di base camp.
Penduduk yang melepak berdekatan dengan pintu masuk base camp itu pantas berlari menghampiri mereka dan turut membantu Sofia untuk memapah Sufian ke khemah paramedik.
Mereka semua kalut kerana sebelum ini Sufian kelihatan normal. Tiada tanda-tanda sakit yang serius. Itu yang membingungkan mereka.
Sufian dibaringkan ke atas katil yang kosong dan dia diperiksa oleh dua pegawai paramedik yang bertugas. Sofia hanya memandang Sufian yang sedang meracau kesakitan. Sedih dia melihat keadaan Sufian ketika itu.
"Jangan risau, Sofia. Mungkin dia keracunan makanan je tu. Bagi kami check apa yang kami mampu dulu, okey?" pujuk Joe merangkap ketua paramedik di situ.
Sofia mengangguk. Matanya mula bergenang dengan airmata.
Tiba-tiba, Sufian batuk teruk. Seminit, dua minit lamanya. Darah mula mengalir keluar dari mulutnya. Paramedik terdekat mengambil sehelai tuala bersih dan mengelap darah yang keluar dari mulutnya itu. Paramedik sempat menekup mulut Sufian dengan tuala. Selepas batuknya berhenti, paramedik itu terkejut dengan apa yang dilihat melekat pada kain tuala itu.
"Err... Joe?" panggil paramedik itu. "Aku rasa kau kena tengok ni."
Joe menghampiri rakannya itu. Sofia juga teragak-agak untuk mendekat. Di atas tuala itu, terdapat beberapa ketulan darah beku dan juga beberapa ekor lalat kecil di dalam takungan darah itu. Lalat-lalat itu masih lagi hidup. Setelah sayapnya mulai mengering dari basah darah, ia mula terbang ke udara. Raut wajah Joe menjadi tidak keruan. Lantas dia menoleh pada Sofia yang berada di sebelahnya.
"Awak bagitau saya apa yang dia makan 2-3 hari kebelakangan ni. Ini bukan keracunan makanan lagi ni, awak tau tak?" tanya Joe secara mendesak.
Mata Sofia sekejap memandang ke arah Sufian yang terlantar lemah, sekejap lagi dia memandang ke arah Joe dengan perasaan yang serba-salah. Beg kantung kepunyaan Sufian yang disandang dari tadi dihulurkan pada Joe.
"Dia ada kutip something kat dalam semak tak jauh dari sini beberapa hari ni," cerita Sofia.
Joe membuka tali beg kantung itu dan dikeluarkan sebekas kecil lutsinar yang diisi dengan ketulan cecair likat di dalamnya. Raut wajah Joe menegang, lantas dia menggeleng perlahan.
"Kau tau tak apa benda ni?" tanya Joe secara berbisik.
Sofia menggeleng.
"Ni..." Joe menuding jarinya pada bekas lutsinar itu. "...benda ni la yang tengah kecoh kat radio sekarang. Taik butter fly," jelas Joe masih dengan nada berbisik. "Haih, nampaknya benda tu dah ada kat dalam area kita. Kita kena bagi warning kat semua orang!"
"Habis tu, macam mana dengan dia sekarang? Takde ubat untuk pulihkan dia?" tanya Sofia dengan suara yang merendah dan sekat-sekat sedu.
Joe menggeleng. "Telur butter fly tu ada kat dalam najis yang dibuang tu. Ya, memang najis butter fly ni rasanya macam makan madu. Manis dan sedap seperti yang diberitahu oleh mangsa-mangsa sebelum ni. Jika seseorang tu dah makan najis tu, harapanlah. Benda yang dimakan akan jadi parasit dalam badan orang tu. Organ dalaman akan dijadikan makanan and tunggu masa jela," jelas Joe panjang-lebar.
Sofia memejamkan matanya rapat-rapat. Dia tahu peratusan Sufian untuk hidup adalah tersangat tipis. Hampir tiada disebabkan tiada peralatan atau vaksin yang boleh digunakan untuk menghapuskan parasit yang berada di dalam perut Sufian itu.
Dari jauh, Sofia memandang sayu pada Sufian dan dia melepaskan keluhan berat.

***

Keesokannya, tubuh badan Sufian semakin mengering dan kulitnya pula seperti orang yang mengalami bisul dan keradangan kulit yang serius. Darah mulai keluar dari lubang-lubang luka dan lubang itu dijadikan 'laluan' untuk parasit yang menumpang di dalam tubuh Sufian itu untuk terbang keluar.
Batuknya juga tidak henti-henti sejak malam tadi. Batuk berdarah yang bercampur dengan beberapa ekor lalat kecil itu membuatkan tekaknya menjadi semakin perit. Penat kelelahan untuk terus batuk.
Di sebelahnya, Sofia duduk menemani Sufian yang semakin nazak. Dia mengangkat kepalanya memandang Sufian yang batuknya kian menjadi-jadi.
"Joe? Joe!" panggil Sofia.
Terkedek-kedek Joe berlari ke arahnya.
Sofia terkaku melihat beberapa ekor lalat kecil keluar dari rongga-rongga tubuh Sufian. Mulut, telinga, hidung dan luka-lukanya. Semakin banyak!
"What the...?" Joe juga terpegun.
Batuk yang semakin menjadi-jadi itu membuatkan Sufian kelelahan. Pada nafas terakhirnya, dia seperti orang tersedak air dan dari mulutnya yang ternganga luas itu berbondong-bondong lalat kecil menderu keluar dari mulutnya. Mengosongkan ruang perutnya yang kian mengempis.
Sofia pantas berlari ke arah Joe dan mereka di dalam khemah paramedik itu semua terkaku melihat kejadian itu. Ada juga yang tertunduk bersembunyi di bawah katil, takut dari diserbu oleh serangga kecil itu.
Setelah serangga itu keluar dari khemah tersebut dan terbang menghilang ke ruang udara, Joe dan Sofia kembali menatap Sufian yang sudah kaku di atas katil. Tubuh Sufian mengering, hanya tinggal kulit dan tulangnya sahaja. Luka-luka kecil menjadi besar akibat dijadikan laluan untuk serangga parasit itu tadi keluar dari tubuhnya. Sofia melangkah perlahan, mendekati mayat Sufian. Dan dia terduduk di hujung katil, menangis semahunya.
Joe menghampiri Sofia dan menggosok-gosok bahunya. Cuba menenangkan gadis itu dari terus bersedih.

***

Senjata yang tersusun di atas meja itu diambil. Satu persatu diperiksa. Kondisi dan peluru semuanya dalam keadaan yang baik. Kemudian, dihulurkan kepada Joe. Sofia melemparkan senyum pada lelaki itu.
Hari ini, genap 900 hari mereka berperang dengan serangga gergasi bernama Butter Fly itu. Semenjak Sufian mati, mereka nekad untuk terus memerangi serangga parasit itu.
Sebelum ini, mereka telah ke Zon A dan Zon B untuk memusnahkan tempat serangga itu membiak secara berkumpulan. Kali ini mereka perlu ke Zon C di mana terdapat 'sarang utama' serangga Butter Fly tersebut.
Sofia mencapai flamethrower dan bersedia untuk memulakan operasi.
"Are you ready?" tanya Sofia dengan suara yang penuh yakin.
Terkelip-kelip satu baris ayat di skrin.


- PLEASE INSERT COIN(s) PLAYER ONE -

No comments:

This is Hani