Aku dapat rasakan dunia berkocak. Kuat! Laju dan pantas. Seketika, ia perlahan. Dan kemudian, ia laju semula. Apa ni? Kenapa boleh jadi begitu? Keadaan sekeliling mula dinaiki air bah. Aku dan beberapa rakan yang lain turut tenggelam. Kami lemas.. lemas! Aku cepat-cepat menarik nafas sedalam-dalamnya. Dan terus menutup mata.
Apabila aku pasti yang aku sudah sepenuhnya tenggelam, aku buka mata perlahan-lahan. Keadaan sungguh gelap. Aku nampak rakan-rakanku yang lain berenang ke arah satu punca cahaya. Aku yakin itu jalan keluar. Gegaran yang membuatkan dunia berkocak tadi masih dirasai. Ya, ia semakin pantas dan kuat. Bila gegaran ini kan berakhir?
Aku dapat rasakan punca cahaya itu mampu memberhentikan gegaran ini. Aku yakin. Rakan-rakanku yang lain juga percaya begitu. Kami terus berenang. Sepantas yang mungkin. Dan apabila kami sudah keluar melalui sumber cahaya tersebut, aku dapat rasakan gegaran tersebut sudah pun berhenti. Senyap dan sunyi. Kami semua lega, tapi kami perlu teruskan berenang untuk menyelamatkan diri.
Sedang kami mencari tempat yang selamat, aku menemui satu tempat perlindungan. Tapi ia hanya cukup untuk satu saja. Sedangkan kami semua hampir beratus ribu, dan mungkin berpuluh juta. Aku menoleh ke belakang. Aku nampak ada yang sedang berenang laju ke arah yang sama. Aku perlu berenang lebih laju jika mahu selamat.
Sampai saja di permukaan tempat perlindungan itu, aku terus mengorek lubang yang memuatkan aku masuk ke dalamnya. Aku korek, dan aku cuba untuk lolos ke dalam. Dan kembali mengorek apabila ia seperti tidak muat tubuhku. Akhirnya, aku berjaya!
Aku nampak wajah hampa rakan-rakanku yang lain. Maafkan aku. Aku juga mahu teruskan hidup. Aku mahu lihat dunia luar. Aku mahu membentuk diri aku yang sendiri. Bukan diri yang seperti batang taugeh ni!
Beberapa hari kemudian, aku lihat rakan-rakan seperjuanganku mati satu persatu. Maka, tinggallah aku sendirian dan akhirnya dibuai mimpi indah. Kadang-kala, aku terjaga mendengar suara dari luar yang mendendangkan lagu-lagu indah. Pernah juga aku mendengar alunan zikir dan ayat al-Quran. Sungguh mengasyikkan.
Apabila aku sudah besar sedikit, aku tiada kawan untuk bermain. Jadi aku hanya mampu menendang dinding-dinding lembut yang mengelilingi aku. Dan seketika kemudian, akan kedengaran tawa halus dari luar. Suara yang sama aku dengar setiap hari.
Sampai masanya, waktu untuk aku keluar dari tempat ini. Aku menemui cahaya lagi. Ya, aku perlu menuju ke cahaya itu seorang diri kini. Tiada lagi rakan seperjuangan seperti dulu. Keluar saja dari tempat itu, aku lihat ada ramai orang yang menyambutku. Aku takut. Siapa mereka ini? Jadi aku menangis sekuat-kuatnya.
Setelah badan ku sudah dilap bersih, salah seorang dari mereka membawaku pada seorang bidadari yang cantik. Dia tersenyum. Dan dia mula mencium dahi lembut ku. Dia terus berkata-kata dengan bahasa yang aku masih tidak faham. Tapi aku kenal suara itu. Suara itulah yang aku dengar setiap hari. Tangan itulah yang mengusap dinding lembut tempat aku selalu tendang dulu ketika aku bosan. Dialah bidadari aku sepanjang hidupku nanti.
Dua puluh dua tahun kemudian, aku masih membentuk dan mencari diri aku. Aku baru mampu mencari sinar bahagia buat bidadariku. Walaupun aku tidak berada di sisinya kini, aku teramat rindu padanya. Apa yang si bidadari itu sedang buat? Sedang tidur ke? Sedang menonton TV ke? Baru siang tadi aku menghubunginya. Rindu ini takkan terhakis walau sikit pun. Kerana aku teramat sayang pada sang bidadari, ibu ku...
No comments:
Post a Comment