Sunday, November 16, 2014

QataRia -- Day 01

15 November 2014 – Sabtu

Aku ingat yang aku kunci jam pukul 6:30 pagi, tapi… haram~ tak jaga. Aku jaga kejap dalam mamai, padam alarm dan tidur balik. Sampailah Mama serbu bilik dan jerit, “Bangun! Subuh!” Aku terus terjaga dengar alarm komando Mama. Dalam mamai, aku ingat yang aku dah terlambat. Rupanya baru berlalu 4 minit je dari alarm yang aku set malam sebelumnya.

Aku jenis seorang yang kemas barang sekadar cukup keperluan untuk aku stay di satu tempat tu nanti. Kali ni, aku ke Doha selama 10 hari, tapi aku bawa baju hanya cukup untuk 5 hari je. Aku fikir, aku nak recycle baju yang aku bawa tu nanti. Habis mandi, terus basuh dan gantung dalam bilik air. Aku fikir aku mampu jimatkan space dalam luggage untuk barang-barang yang bakal aku beli di sana nanti. Harap begitulah apa yang dirancangkan.

Sampai di KLIA, check-in luggage semua dan tukar duit RM1000 ke matawang Qatar Riyal, aku ingat nak bersarapan kat Burger King je. Malangnya, kat Burger King KLIA tak menyediakan hidangan set sarapan. Jadi, aku beli set nugget yang disediakan bersama french fries dan air. Dari jauh, aku nampak kapalterbang yang bakal aku naiki. Emirates Airways. Tengok jam, lambat lagi nak berlepas. Koman-koman, aku ada dalam sejam setengah untuk berjalan-jalan dalam KLIA sebelum masuk ke dalam kapalterbang.

Tepat jam 11, depa dah announce panggil penumpang kapalterbang yang akan berlepas ke Dubai. Masuk je dalam kapalterbang, jumpa budak kecik mesra alam. Pandang je, senyum. Pandang je, senyum. Haih, letih! Comel sangat! Tak ada apa yang menarik sepanjang perjalanan selama hampir 7 jam tu. Mula-mula, aku baca buku yang aku bawa – novel Paper Town karya John Green. Lepas aku dah pening baca dalam gelap, aku pun layan cerita kat skrin. Tak ada cerita best sangat pun. Tak banyak seleksi macam aku pergi ke Doha pada musim lepas dengan Etihad Airways. Aku belek habis semua list yang ada, akhirnya aku layan Tom & Jerry. Bila dah habis, layan Ben 10 Omniverse, kemudian Gumball, lepas tu siri Community. Memang dah tahap bosan habis dah masa tu.

Bila sampai di Dubai Airport, sini mencabar sikit, aku jalan-jalan la lagi sementara nak tunggu jam 4:50 petang (jam 10 malam waktu Malaysia). Lepas tu, jumpa satu kedai buku ni. Agak menarik la pasal ada buku yang cambest untuk dibaca. Pusing-pusing-pusing-pusing, masuk bahagian buku kanak-kanak. Ah, pulak~ aku kenan dengan beberapa buku. Ada Fairy Tales, Nursery Rhymes, Bedtime Story… banyak lagi la koleksinya! Buku hardcover dan setebal novel Kelabu (aku tak tau nak refer buku apa lagi). Satu buku cuma 56 tapi dalam matawang Dirham. Aku dah gosok muka banyak kali. Money Exchange ada kat depan kedai tu je.

Ah, nak beli sekarang ke nanti?

Aku check wallet. Aku cuma ada RM70± je. Aku tak sure Ringgit-Dirham beza berapa, jadi aku abaikan dulu. Tapi time nak blah dari kedai tu memang aku dok toleh banyak kali gak la. Nampaknya, aku kena beli masa aku nak balik Malaysia nanti la. Harap-harap duit Qatar Riyal aku nanti ada banyak lebih.

Sekali lagi, aku makan french fries Burger King., sebab semua cafe yang terdekat jual sandwich yang gila bapak ah mahal. Tapi fries depa besar~ tak macam kat Malaysia. Aku dah mengah nak makan. Silap betul pergi order set besar. Memandangkan ada masa lagi sejam sebelum berlepas, aku hadapkan je.

Jam 4:50 dah. Kat sini peralihan waktu tak macam kat Malaysia. Nak kata macam Sabah-Sarawak pun tak, sebab Isyak masuk waktu pukul 6:30 petang (dalam jam 11:30 waktu Malaysia).

Lepas masuk kapalterbang, aku terus tidur. Mengantuk gila. Bila terjaga, dan-dan je waktu makan. Aku memang dah lapar gila dah! Roti dengan meatloaf tu memang selamat masuk dalam perut. Kacang dengan satu lagi sandwich keju aku rembat masuk dalam beg. Manalah tau nanti lapar (lagi). Sampai saja di Doha, check Visa, ambil luggage apa semua setel, terus ambil teksi untuk ke hotel yang dah di-book sebelum nak datang sini.

Al-Nakheel Hotel.

Aku memang dah penat habis masa sampai sini sebab kalau ikut waktu Malaysia, dah lewat malam dalam pukul 12 gitu. Dengan lenguh bontot dan kaki, aku gagahkan gak melangkah ke bilik aku yang berada di tingkat 4. Nasib ada lif. Sampai je, aku kemas barang mana yang patut di bilik air, di meja solek bagai, dan terus mandi. Rasa macam nak lena je kat dalam tub tu tapi aku takut aku lasak sangat (bajet macam tidur kat atas katil) pastu tenggelam lemas, jadi lepas mandi tu, terus baring.

1:30 pagi di Malaysia.
8:30 malam di Doha.

Saya dah penat.
Selamat malam, semua.

Thursday, June 26, 2014

Cerpen: Rezeki Plat Kereta


Aku tahu, tak ada bersangkut-paut pun antara rezeki dengan plat kereta ni. Macam kau percaya nombor plat kereta yang kemalangan tu mampu membawa tuah kalau kau tikam nombor. Itu tahyul! Tak betul!
Pagi masa nak pergi kerja, masa tengah drive tu habis semua kereta (dan pemandunya) aku maki. Aku jadi macam cepat marah dan piss off semua benda masa tu.
Drive slow kat lane laju, tengok plat; Pahang.
Makan jalan orang pastu dah masuk lane baru reti nak bagi signal, tengok plat; Johor.
Keluar simpang melulu tak tengok kiri-kanan, tengok plat; Penang.
Masa nak cari parking, habis tiga kotak parking dia rembat, tengok plat; Terengganu.
Haih, geramnya aku!
Tapi siapa sangka kemarahan aku tu akan diredakan oleh sesuatu dari kurniaan Tuhan?
Satu hari suntuk aku asyik dapat sesuatu yang aku tak jangkakan. Masa tengah breakfast kat mapley, makan-minum aku tu dibayar oleh seseorang. Bukan makan benda mahal pun, takat megi goreng dengan segelas teh o' ais, bukan aku takleh nak bayar pun! Tapi mungkin niat orang tu nak bersedekah, nak pula bulan Ramadhan lagi beberapa hari nak tiba, jadi aku ucapkan jela 'terima kasih' walaupun tak tahu siapa yang bayar bil aku tu. Dah habis makan, aku pun masuk kerja.
Semasa kerja, agak pelik la sebab selalunya orang tak ramai yang lalu-lalang kat tingkat dua bangunan kompleks tu, melainkan kalau hari cuti umum atau cuti sekolah. Tapi dalam kesunyian tu, datang seorang perempuan yang membeli buku di kedai. Banyak dia beli. Lepas perempuan tu setel je bayar, datang lagi sorang perempuan, pun beli banyak jugak. Total semua sales mencecah RM300 pada tengahari tu. Jarang sekali kejadian macam ni berlaku pada hari biasa tapi ia terjadi pada hari ini! Bila dah petang, kau jangan nak tanya la berapa sale aku untuk haritu. Memang banyak. Boleh beli tudung Fareeda dua helai, you!
Mungkin ini rezeki aku. Aku senyum je.
Bila difikirkan semula, ni semua pasal aku jarang ingat kat Tuhan kot, lebih-lebih lagi bila time marah. Mungkin inilah caranya Tuhan mahu tunjukkan yang Dia selalu ada dekat dengan aku. Mungkin Tuhan nak aku terus bersyukur ke hadrat-Nya dan jangan pernah lupa kepada-Nya, sebab itulah dia turunkan rezeki dan ke-happy-an dalam bentuk macam ni. Harus bersangka baik walaupun buruk macamana sekali pun apa yang kita hadapi tu.
Masa nak balik, sampai je kat tempat aku parking kereta pagi tadi, tengok-tengok kereta aku kena double-park. Usha cermin depan, takde pulak namecard ke apa-apa untuk aku contact pemilik kereta tu. Pandang kiri-kanan-depan-belakang, takde siapa pun yang macam kisah dengan aku. Tanya abang kedai burger tu, kot-kot dia tau siapa pemilik kereta tu, dia angkat bahu sebab dia baru je sampai dan baru bukak kedai.
Sejam kemudian, seorang perempuan gedik sampai dengan langkah kaki yang macam nak terpeletok pasal pakai kasut high heel tinggi sangat. Tu la… tak reti pakai high heel, jangan pakai. Tengok aku, snickers buruk ni jela aku mampu sarung pun.
"Eh, lama ke tunggu? Sorry la. Pegi karok tadi..." kata perempuan gedik tu sambil picit butang unlock. Cit-cut! bunyinya.
Karok? Kau double park kereta aku, kau kata kau pergi karok?! Kat belakang Mydin tu banyak parking kosong, kau nak gak double park kereta aku?! #^%*&!
Tu semua sekadar dalam hati, yang aku buat cuma senyum dan jawab, “Heh, takpe.”
Hmm… double park kereta orang, tengok plat; Melaka.
Aku harap Tuhan ampunkanlah dosa-dosa aku maki-hamun semua orang harini. Ada hikmahnya ni... aku yakin.

Monday, June 09, 2014

#NanoBlock: Squirtle

Hai!

Sekali lagi, aku akan tunjukkan set Pokemon yang kedua. Squirtle, water gun attack!!

Name: Zenigame
Code: NBPM_004
Level 2 (over 120 pieces)

Next post, aku akan tunjukkan lagi satu set Pokemon sebelum kembali ke set muzik, orait?

Saturday, June 07, 2014

#NanoBlock: Charmender

Hai!

Jom jerit sama-sama, who's that Pokemon?

It's Charmender!

Name: Hitokage
Code: NBPM_002
Level 2 (over 120 pieces)

First time aku beli set Pokemon ni masa menepek kat Kinokuniya. Memang teruja sebab aku layan kartun ni dulu. Zaman Ash Ketchum dulu jela. Game dia pun layan. Seronok!

Next post, aku akan post set Pokemon yang lain pulak ;)

Friday, June 06, 2014

#NanoBlock: Grand Piano (White)

Hello!

Busy pulak minggu ni (sebenarnya agak letih sikit badan ni). Seperti yang dijanjikan, nah!

Name: Grand Piano (white)
Code: NBC_053
Level 2 (over 130 pieces)

Set ni pun boleh tahan mencabar. Ada block yang tak payah nak attach macam penutup piano tu. Takat letak gitu je.

Orait, next post. Aku nak kasi surprise sikit. Klu dia cuma 'who's that Pokemon?' je, malangnya tak bayang-bayang pulak nak tunjuk aih!

Wednesday, May 28, 2014

Book Review: #EmpatTigaRibu

Pergh~ lama gila tak review buku kat blog. Sekarang ni aku review kat Goodreads je terus. Tapi kali ni review special sikit sebab buku yang aku nak review ni buku yang diberi oleh Mama Ali. Terima kasih banyak-banyak, Mama Ali!


#EmpatTigaRibu -- seperti yang korang nampak papan tanda kat cover buku tu, buku ni berkisar tentang Kajang. Memori kehidupan, keluarga, cinta, lokasi -- semuanya berlaku kat Kajang.

Buku ni terbahagi kepada tiga bahagian: antologi cerpen, puisi dan catatan. Bagi yang menetap di Kajang ataupun yang tahu setiap ceruk di bandar Kajang, itu adalah bonus buat anda.

Untuk bahagian cerpen, aku rasa seperti berjalan di sekitar bandar Kajang je. Tempat-tempat yang disebut dalam cerpen adalah tempat familiar bagi aku. Tapi ada kekurangan sikit dalam 'mengimbau memori' buat pembaca yang dah lama menetap kat Kajang sebab takde tempat yang kami boleh berjalan di 'memory lane'. Aku terhibur dengan cerpen Budak 5 Tahun Dengan Cerita Naganya tulisan Ramlee sebab ia mengingatkan aku semasa aku kecik dulu, aku takut nak lalu kat jambatan belakang deret kedai berdekatan dengan Metro Plaza tu (masa tu Metro Plaza takde lagi dan ada pasar je) sebab aku selalu membayangkan naga (sebenarnya buaya tapi masa tu aku ingat naga dan buaya ni rupa sama) tengah dok berenang dalam sungai teh susu tu. Heh!

Ruangan puisi pula biasa-biasa saja. Lebih kepada luahan penulis kepada pembaca tentang apa yang mereka rasa. Baik, buruk. Cinta, benci. Mungkin ada yang menarik tapi aku masih rasakan ia adalah yang biasa saja.

Dalam ruangan catatan pula lebih kepada non-fiction. Cerita perihal kehidupan dan selok-belok di bandar Kajang yang mendedahkan apa yang best dan apa yang tak best bagi orang Kajang, juga orang non-Kajang! Ini adalah sesuatu yang menarik sebab sedikit-sebanyak cerita mereka mampu menceritakan pengalaman mereka semasa mereka berada di sini - Kajang.

Boleh dikatakan, penulis-penulis yang ada menyumbangkan idea dalam #EmpatTigaRibu ni masih fresh buat aku baca tulisan mereka. Semuanya first time aku baca tulisan mereka. Ada yang bagus, memang bagus. Ali Rafiq, Ramlee dan Elly Jalil adalah antara yang aku suka. Tak payah nak buat ayat belit-belit, mudah. See!

Bagi sesiapa yang nak beli buku ni boleh la datang ke Kedai Buku Mak Ali di Tingkat 2, Metropoint Kajang. Orait?

Tuesday, May 27, 2014

#NanoBlock: Violin

Hello!

Tak tau nak letak intro apa lagi. Layan jela set Violin ni pulak!

Name: Violin
Code: NBC_018
Level 2 (over 180 pieces)

Macam biasa, next post aku akan tunjukkan set Grand Piano pulak, eh!

Saturday, May 24, 2014

#NanoBlock: Drum Set

Hai!

Seperti yang dijanjikan, set yang seterusnya adalah Drum Set.

Name: Drum Set
Code: NBC_024
Level 2 (over 170 pieces)

Ni antara set yang agak mencabar sebab dalam satu set je ada beberapa pecahan kecil yang nak kena buat. Nak pulak masa aku pasang ni, aku masih baru je nak adapt dengan Nano Block. Agak menyumpah jugak la. Tapi korang tengok jela. Puas!

Set yang seterusnya, aku akan tunjukkan set Violin pulak okeh!

Friday, May 23, 2014

#NanoBlock: Synthesizer

Hai!

Kali ni, aku nak tunjuk set Nano Block yang kedua aku pasang. Aku beli set ni sama dengan set gitar yang aku post sebelum ni.

Name: Synthesizer
Code: NBC_038
Level 1 (over 130 pieces)

Next post, aku akan tunjuk set Drum Set lak, okey!

Tuesday, May 20, 2014

#NanoBlock - Electric Guitar (merah)

Hello!

Ini set Nano Block yang pertama yang aku beli beberapa bulan lepas. Memang seronok pasang ni. Lepas tu, aku rasa gian dan aku beli, beli, beli dan beli lagi.

 
Name: Electric Guitar (Red)
Code: NBC_037
Level: 2 (over 130 pieces)

Aku baru saja nak berjinak dengan benda ni. Gian rasanya dan aku dah start kumpul sikit-sikit.

So untuk kolum yang pertama ni, aku kasi set yang pertama dulu la. Lepas ni, aku akan masukkan yang lain pulak, okeh!

Friday, May 16, 2014

#SiriSembangRambang - Kau Budak Annoying

Satu hari, aku lepak dengan kawan aku. Masa nak balik tu, sempat kitorang singgah kat Speedmart. Aku beli air, dia beli makanan kucing. Banyak gila dia beli. So, kitorang pun pi kaunter, nak bayar. Kaunter cashier hanya satu je yang buka. Sampai giliran kitorang, dia letak makanan kucing, aku letak air botol. Belakang kitorang ada sorang akak dengan anak dia. Maybe dalam 3-4 tahun gitu la.

Budak: Hee... banyaknya daging!

Kawan aku pandang aku.

Kawan: Otak dia daging...

Budak: Tengok tu mak. Abang ni beli baaaanyaaak daging!

Budak tu usik-usik bungkusan makanan kucing kat atas kaunter.

Budak: Eh, ni bukan daging la. Ni makanan kucing! Banyaknya abang ni beli makanan kucing!!

Cashier tu senyum tengok budak tu.

Cashier: Pandainya dia~

Budak: Hehe.

Dengan selamba, kawan aku buat pandangan tajam kat diorang.

Kawan: Heh, memang pandai. Tapi menjengkelkan!

Terus semua kat situ senyap. Aku pun terdiam sebab setahu aku, kawan aku tu jenis pak lawak. Mungkin dia tengah buat lawak gelap kot, fikir aku.

Cashier: Nah, baki. Terima kasih.

Cashier tu hulur duit teragak-agak kat kawan aku tu. Terus kitorang keluar, tak pandang belakang dah.

Tuesday, April 08, 2014

#SiriSembangRambang - Membaca Amalan Budak Pandai?

Satu hari, sepasang couple (mungkin masih bersekolah, tak pun baru masuk kolej kot) datang usha-usha buku kat kiosk aku...

Girlfriend: Awak suka betul membaca kan?

Boyfriend: Ha'ah, kenapa?

Girlfriend: Selalu yang suka membaca ni budak-budak pandai je.

Boyfriend: Kenapa cakap camtu? Habis tu, awak yang tak suka membaca ni budak bodoh ke?

Girlfriend: .....

Aku syak girlfriend dia butthurt sebab lepas tu dia terus blah. Boyfriend dia terkedek-kedek mengejar.

Sunday, March 30, 2014

#SiriSembangRambang : Kuasa Log

Satu hari, tiga beradik datang ke kiosk aku...

Abang: Eh, kedai buku terpakai la!

Kakak: Kau ni suka betul eh baca novel ni...

Abang: Heh, kau macam tak kenal aku lak.

Adik: Akak tak suka novel ke?

Kakak: Tak.

Adik: Kenapa?

Kakak: Aku tak suka la susunan bab dalam novel tu... ada prolog la, dialog la, monolog, epilog, bagai... serabut otak aku!

Aku: (Budak ni tau ke tak semua 'log-log' yang dia sebut tu sebenarnya?)


p/s: Nasib baik budak tu tak sebut Kellog. Kalau tak, boleh la buat sarapan pagi esok. 

Tuesday, March 18, 2014

Cerpen: Pandang Pertama

Erry melabuhkan punggungnya di sofa lunyai yang terdapat di ruangan menunggu di luar studio. Kusyennya yang diletakkan sebagai alas duduk di sofa itu juga sudah kian terperosok ke dalam akibat kerap diduduk oleh ramai orang yang datang ke studio jamming tersebut.
Di sebelahnya pula, Pijan sedang duduk sambil menukar tali gitarnya.
"Wa~ cantik gitar kau!" puji Erry selepas meneguk air mineral yang baru dibeli di kaunter tadi.
Pijan tersenyum. "Ni gitar lama aku. Gitar paling first yang aku beli. Tu pun second-hand, tapi aku suka dengan gitar ni," cerita Pijan.
Erry meneguk sekali-dua air mineralnya dan bertanya, "Kenapa ek?"
"Sebab gitar ni aku beli dengan duit yang aku simpan sendiri. Masa tu aku still study sambil kerja jadi mekanik kat bengkel Pak Ya tu.” Pijan mendekatkan badannya kepada Erry, membiarkan gitarnya terbaring di atas ribanya. “Kau bayangkan eh, brader tu jual RM1000, aku bayar deposit RM300, lepas tu aku bayar monthly. RM100 sebulan, sampai langsai."
"Sanggup kau eh. Masa tu gaji kau berapa je. Larat pulak?"
"Kalau dah nak tu, sanggup je weh."
Walaupun Pijan tua 6 tahun dari Erry, namun mereka rapat seperti rakan sebaya. Mana taknya, disebabkan Pijan, minat Erry terhadap muzik makin menebal kerana Pijan telah banyak mengajar Erry tentang muzik, lebih-lebih lagi dalam bermain gitar.
Tiba-tiba, bahunya dilanggar oleh seorang lelaki yang baru saja keluar dari salah satu bilik studio. Di tangannya sarat dengan sebuah gitar dan juga mesin multi-effect.
“Sorry, bang. Tak sengaja.”
Erry sekadar mengangkat tangannya tanda ‘okey’.
Dilihatnya, lelaki itu mendapatkan seorang perempuan berdekatan kaunter dan memeluk pinggang perempuan itu.
‘Kalau kau nak jadi gitaris yang terbaik, kau kena ada awek!’ Tiba-tiba suara Pijan bergema dalam kepalanya ketika dia sedang bermenung. Pesanan yang pernah dilontarkan oleh Pijan satu masa dulu, semasa dia baru berjinak-jinak untuk belajar bermain muzik di dalam band.
Hai, syoknya kalau ada awek…
Erry memandang ke arah Pijan yang kembali tekun menukar tali gitarnya. Masih ada dua tali yang masih tidak dipasangkan lagi.
"Kau rasa, awek yang macamana sesuai dengan aku?"
Pijan menghentikan kerjanya dan menoleh pada Erry. "Dalam bab pilih awek, kau kena memilih. Tapi make sure kau pilih yang terbaik dan yang kau selesa. Jangan ikut orang, jangan yang tangkap muat. Nanti tak best."
"Kau suggest la." Mata Erry melilau di sekitar ruangan menunggu di luar studio. Kelihatan seorang perempuan yang tebal make-upnya dengan gincu merah-mak-ngah tercalit pada bibirnya. Tangannya memegang leher gitar Stratocaster yang terdapat jalur merah-putih di badan dan dua-tiga bintang berwarna biru-kuning di kepala gitar. "Kalau macam tu?"
"Huih~ high maintenance tu. Kau larat ke nak jaga awek gitu?"
Erry terdiam. "Betul jugak tu. Gaji kita kerja kat kedai buku tu pun berapa je."
"Takpe. One day nanti kau sure dapat apa yang kau nak," pujuk Pijan, kemudian dia menyambung semula kerja memasang tali gitar.
Lantas, Erry mengetap giginya. Dia perlu cari satu yang sesuai untuk dirinya.
***
Pulang dari studio, Erry terus menghidupkan kuasa laptopnya dan duduk di hadapan skrin. Jarinya menggentel-gentel scroller pada mouse atas-bawah. Setiap ruangan sosial dimasuk, teman-teman ditanya buat dicarikan awek. Mana tahu ada yang masih tak punya, boleh dia mencuba, asal kena dengan caranya.
Namun, sia-sia. Banyak yang dia tak berkenan. Bila dah berkenan, tak mampu pula. Bak kata Pijan tadi, high maintenance!
Akhirnya, Erry mengeluh.
***
Selesai menyusun buku di rak yang ditetapkan mengikut genre masing-masing, Erry menghampiri Pijan yang sedang menampal sticker harga pada setiap buku di kaunter.
Sudah hampir 8 bulan mereka bekerja di kedai buku yang tidaklah besar seperti kedai Fofuler atau MP-Eh itu. Tapi mereka tetap berasa gembira bekerja di situ. Bila bosan, boleh baca buku.
"Aku rehat dulu tau. Kau ada nak kirim apa-apa tak untuk rehat kau nanti?" tanya Erry.
"Ermm, takpe la. Nanti aku kena turun gak. Nak keluarkan duit."
“Okey. Apa-apa hal, mesej la.” Erry terus berjalan keluar.
Namun, pada ketika Erry menoleh ke luar kedai, dia ternampak seorang perempuan. Tangannya menjinjing beg casing gitar berwarna hitam. Kelihatan perempuan itu meletakkan beg casing gitar itu ke atas meja mempamerkan gitarnya pada Ah Chong, tuan kedai peralatan muzik yang berada di seberang kedai buku, tempat Erry bekerja. Perempuan itu bersembang-sembang dengan Ah Chong.
Cantik. Badannya berlekuk dan lehernya yang panjang itu seperti memanggilnya untuk dia pegang dan melaga gigi di situ.
"Kau apehal tercegat kat situ lagi? Kata nak pi rehat?" sergah Pijan.
Erry tersentak. Lamunannya berkecai. Pantas dia menoleh pada Pijan.
"Bro, aku rasa aku dah jumpa awek. Cun sangat."
"Mana?" tanya Pijan, ingin tahu.
"Tu." Erry menudingkan jarinya ke arah kedai muzik milik Ah Chong itu.
Pijan mengecilkan mata. Fokus pada awek yang Erry maksudkan. "Kau sure ke nak yang macam tu?"
"Sure la! Awek macam tu la yang aku idam-idamkan selama ni. Simple tapi smart!" puji Erry.
"Heh, suka hati kau la. Asal kau okey, aku pun okey."
Pijan menyambung kerjanya menampal sticker pada buku semula. Manakala Erry menoleh semula ke arah kedai Ah Chong.
Perempuan yang membawa gitar itu tadi melambaikan tangannya pada Ah Chong dan berlalu pergi meninggalkan gitarnya di atas meja kaunter.
Erry mengambil kesempatan untuk mendekati Ah Chong.
"Helo, Chong! Amacam bisnes? Ada okey ka harini?" tanya Erry berbasa-basi.
"Macam biasa la. Okey-okey saja. Lu apa cerita?"
"Takde apa la. Saja je datang, nak tanya something."
"Apa dia? Tanya, tanya."
"Awek yang tadi tu... yang datang sini tu siapa? Ni... gitar dia ke?" tanya Erry sambil memegang gitar yang masih terletak di meja kaunter. Jarinya bermain-main dengan tali gitar tersebut. “Macam power je? Saya rasa saya sudah fall in love la, Chong.”
"Itu amoi ka? Nama dia Suzie. Ada band, manyak power! Ramai sudah crush sama dia," cerita Ah Chong. Kemudian dia mendekatkan badannya pada Erry. Kepala didongak sedikit, mendekatkan mulutnya pada telinga Erry dan dia berbisik, "Lu suka sama dia ka?"
Erry tidak menjawab. Malah dia cuma tersengih saja.
***
Sudah beberapa hari Erry menahan. Kali pertama Erry terlihat sesuatu yang dia idamkan itu, dirinya seperti tak sabar untuk mendapatkannya. Hatinya seperti mahu keluar dan menyampaikan hajat yang terpendam itu. Dia mesti nekad untuk menghubungi gadis bernama Suzie pada malam ini.
Kertas kecil yang tercatit nombor henfon Suzie yang diberi oleh Ah Chong itu dikeluarkan dari celahan walletnya. Lama dia memandang cebisan kertas itu. Kemudian, dia mencapai henfon dan berkira-kira untuk menghubungi Suzie.
Tertera jam di skrin henfonnya. 01:18. Erry menekup henfon pada dadanya.
'Ah... mungkin dia dah tidur', fikir Erry.
Setelah beberapa saat, dia mengangkat semula henfonnya dan berkira-kira untuk menghantar SMS saja pada Suzie sebagai mukadimah.
- Hello! Saya Erry. Awak Suzie kan? Yg aritu dtg kat kedai Ah Chong tu? -
Pantas dia menekan butang 'send'. Tangannya sedikit menggigil. Terus dia mencampakkan henfon ke sisi.
Selepas hampir 20 minit dia termenung memandang kipas siling yang berpusing tahap kelajuan yang sederhana, henfonnya berbunyi - tanda SMS masuk.
Ketar tangannya makin menjadi. Bukan setakat takut, malah terlebih eksaited. Kandungan SMS dibaca.
- Ye saya? -
Erry tersenyum. Dia sempat menekupkan mukanya dengan bantal, menahan malunya sendiri walaupun hanya dia seorang saja di dalam bilik itu.
Setelah perasaannya kembali stabil, Erry kembali menatap skrin henfon dan menekan-nekan keypad - membalas SMS Suzie - sehinggalah mereka berdua berhenti ber-SMS. Erry terlena selepas tidak dapat menahan kantuknya.
***
Empat hari berlalu selepas sesi Erry dan Suzie berkenalan. Hari ini, Erry dan Pijan mengular sebentar ke kedai Ah Chong – macam biasa.
Erry mencapai gitar milik Suzie yang ditinggalkan di kedai Ah Chong itu dan diletakkan di ribanya. Satu persatu tali dipetik untuk tune semula keynya yang sedikit sumbang.
Di kaunter, Ah Chong duduk sambil membaca suratkhabar. Manakala Pijan hanya memandang Erry yang nampaknya semakin angau dengan awek yang dikejarnya itu.
"Lepas kau dapat awek ni, sure kawan-kawan lain jeles tengok kau punya. Dah la mantap, ye dak?" usik Pijan.
Erry tergelak kecil. "Mana ada mantap, Jan. Biasa-biasa jela."
Erry mengangkat gitar itu dari ribanya dan disandarkan pada besi stand yang terdapat di hujung sudut kedai. Gitar itu dipandang lama-lama, buat lepas rindu.
"Haiya, lu ni. Apa pasal pandang gitar tu ja? Rindu itu amoi ka?" giliran Ah Chong pula mengusik membuatkan Erry malu-malu untuk tersenyum.
"Saya dah tak sabar sangat la, Chong. Lama sangat saya cari yang perfect macam tu." Erry terdiam sebentar sebelum menyambung, "Esok dia nak jumpa saya."
"Wa~ tahniah! Tahniah! Lu manyak lucky la." Ah Chong mencapai tangan Erry dan digenggam erat. Nampak gembira sangat.
Erry dan Pijan tertawa melihat gelagat Ah Chong. Kemudian, Erry kembali memandang ke arah gitar itu. Semakin dia pandang gitar itu, semakin dia tidak sabar untuk berjumpa dengan Suzie. Seperti dia mahu terus bersama dengan gitar itu. Namun, dia harus bersabar.
Hatinya nekad. Dia mahu yang itu. Itu saja.
***
Seperti yang dijanjikan, Suzie datang berjumpa dengan Erry. Tapi dia datang terlebih awal dan dia harus menunggu lagi sepuluh minit untuk Erry menghabiskan waktu kerjanya.
Buat sementara waktu, Suzie berlegar-legar di dalam kedai buku tersebut. Mana tahu, ada buku yang menarik hatinya untuk dibeli.
Di dalam stor pula, Erry menjadi semakin gementar. Hari ini adalah harinya. Sebentar lagi adalah masa yang ditunggu-tunggukan selama ini.
"Chill, bro! Kau dapat awek harini, takkan nak takut macam ni?"
"Bukan takut, tapi terlebih eksaited sebenarnya." Erry berjalan ke hulu ke hilir di dalam stor itu bagi menghilangkan keterujaannya itu. "Kau sure ke tu sesuai dengan aku?"
"Kau sendiri dah selesa, kau sendiri yang rasa. Kau kata okey, itu yang kau nak, itu la yang kau pilih... ke kau ada pilihan yang lain?"
"Eh, mana ada,” nafi Erry. “Itu yang tetap kat hati aku. Aku pandang yang lain, yang tu gak hati ni nak."
"Kalau macam tu, kau keluar sekarang, pi jumpa dia. Lagi cepat kau selesaikan, lagi cepat level eksaited kau ni turun nanti."
"Okeh, okeh." Erry mengangkat ibu jarinya menandakan yang dia akan baik-baik saja nanti.
Dia keluar dari stor yang terletak di belakang kedai dan menghampiri Suzie yang berada di rak Self-Help.
"Awak ada nak beli apa-apa ke?" tanya Erry teragak-agak.
Suzie sedikit tersentak. "Eh, takde la." Dia mengukir senyum. "Dah habis kerja?"
Erry mengangguk, gugup.
"Jom!" ajak Suzie dan dia mengukir senyum lagi membuatkan Erry semakin tak keruan.
Mereka mula berjalan keluar dari kedai buku itu dan memasuki kedai Ah Chong. Dari jauh lagi, Erry nampak, Ah Chong sudah melemparkan senyuman paling lebar yang dia boleh ukir.
"Helo, Suzie! Lama tak nampak. Lu punya gitar talak siapa mau angkat lagi la. Lu datang sini mau angkat balik jual sendiri ka?" Belum sempat Suzie untuk menjawab soalannya, Ah Chong pantas menyergah Erry dengan, " Haiya, lu dah jumpa ini... apa lu orang panggil? Awek ar? Ha, awek! Apa pasal datang dating kat sini lagi?"
Erry terkerut dahi, manakala Suzie kebingungan.
"Bila masa pulak saya kata nak dating ni, Chong?"
"Bukan lu ada mintak contact number ini amoi Suzie haritu? Lu kata dah fall in love sama dia haritu."
Erry pantas melempiaskan tawanya. Suzie yang tidak tahu apa-apa itu tersenyum segan. Tak pasal-pasal dia diheret sama dalam salah faham Ah Chong.
"Memang la saya sudah fall in love, Chong. Tapi saya fall in love dengan tu ha..." Erry memuncungkan mulutnya ke arah gitar Suzie yang tersandar di besi stand gitar. "...dengan gitar tu."
Pijan datang menghampiri mereka bertiga seraya bertanya, "Amacam, Ry? Dah rasmi jadi awek ke belum?"
"Haiya, Pijan! Dia bukan mau ini amoi la. Dia mau itu gitar!” ngomel Ah Chong.
"Betul la, Chong. Gitar tu la awek yang dia nak," jelas Pijan yang dari awal sudah tahu niat sahabatnya itu mahu membeli gitar milik Suzie.
"Apa pasal panggil awek itu gitar? Kalau dia mau ini amoi, apa lu orang panggil?"
"Kalau dia mau Suzie ni, kami panggil dia girlfriend la," jelas Pijan.
Ah Chong buat muka tak puas hati. "Awek, girlfriend... sama jela," bebel Ah Chong.
"Lain value dia, Chong. Kalau lu mau tau, panggil 'girlfriend' lagi special and sopan sikit bunyinya kalau dibandingkan dengan 'awek'. Lebih-lebih lagi kalau perempuan tu comel macam dia ni," puji Erry secara tak langsung membuatkan pipi Suzie merona merah.
"Okey, okey. Dah. Korang settlekan la hal gitar ni," saran Pijan. "Aku nak sambung kerja," kata Pijan lagi sebelum dia kembali ke kedai buku, menyambung kerjanya.
Maka, urusan jual-beli pun berlangsung. Duit dan gitar bertukar tangan dan mereka pulang dengan hati yang puas. Segala yang terbeban kini hilang.
Cuma... Ah Chong. Dia masih tidak berpuas hati kerana dia ingat Erry sudah fall in love dengan Suzie, seperti yang dia bayangkan selama seminggu gitar itu berada di kedainya. Fikirnya, dia sudah berjaya menjadi Cupid. Hmm… stupid ada la!
“Apa la panggil awek. Tengok Mei Li, nama tu dengan body dia saja sudah matching!” bebel Ah Chong seorang diri selepas mereka berdua sudah hilang dari pandangan. Tangannya mengusap badan Mei Li – gitar Telecaster kesayangannya yang direka coraknya dan diwarna sendiri oleh Ah Chong – yang tergantung di dinding kedainya itu.
***
- Hey, busy malam ni? -
- Tak, kenapa? -
- Jom jamming? -
- Mana? -
- Tempat biasa. -
- Orait! -
***
Hubungan yang terbina secara tidak sengaja hanya kerana untuk membeli gitar dari seorang gadis bernama Suzie tidak berakhir di situ.
Beberapa hari selepas Erry membeli gitar dari Suzie, Suzie telah menghantar SMS.
- Hai! Macam mana gitar tu? Okey? -
Ketika itu, Erry baru saja selesai 'mengerjakan' awek barunya itu. Dia berasa sangat puas dengan performance yang diberi.
Sementara dia melepaskan lelah di sofa yang sama dia duduk dua minggu lepas, dia mencapai henfon dan SMS dibaca. Erry tersenyum secara tak langsung dan dia pantas membalas.
- Hai Suzie! Okey. Best sgt. Gitar tu pun ringan, leh la saya goreng power2 pasni :) -
- So leh la saya jamming dgn awak n the gang kan? -
- Sure. Leh je. U stay mana? -
Setelah mereka tahu yang mereka duduk satu kawasan perumahan - Suzie baru saja berpindah ke perumahan di situ sebulan lepas - jadi hubungan mereka menjadi semakin rapat. Hanya kerana muzik. Hanya kerana instrumen bernama gitar. Hanya kerana minat yang sama itu, mereka berkongsi, saling melengkapi apa yang kurang antara mereka.
Mungkin saja, berkat salah faham Ah Chong terhadap Erry dan Suzie itu telah menjadi kenyataan. Mungkin. Setidak-tidaknya, tindakan Ah Chong sebagai Cupid itu membuahkan hasilnya, tanpa dia sedar.

Wednesday, February 26, 2014

Cerpen: Butter Fly

Sofia dan Sufian adalah sepasang kembar yang berlainan rupa dan perangai. Sofia keluar awal 8 minit dari Sufian. Namun Sufian kerap kali menegaskan bahawa dialah yang paling tua, dialah abang kepada Sofia kerana dia percaya bahawa seorang abang atau kakak akan memberikan laluan kepada adiknya untuk keluar dahulu dari rahim ibunya. Ah, dasar orang yang tidak boleh terima kenyataan!
Satu hari, mereka keluar berjalan ke sebuah taman permainan. Debu-debu kelabu yang menjadi lantai taman itu dipijak dengan berhati-hati. Takut-takut terpijak besi tajam yang boleh melukakan kaki-kaki mereka. Minggu lalu, taman permainan itu habis musnah akibat terkena bedilan bom. Yang tinggal, cuma cebisan gelongsor dan pacakan tiang-tiang buaian.
Mereka berjalan sambil bersembang-sembang, buat menghilangkan sunyi. Sebuah beg kantung besar disandang di bahu masing-masing. Mereka mengimbau kenangan semasa mereka masih kecil waktu dulu. Di mana dunia masih aman dan tidak berperang dengan negara-negara lain. Kini, semua itu cuma kenangan. Sejarah. Semenjak perang terletus dua tahun lepas, mereka terpaksa hidup dalam keadaan yang daif dan sesak. Terpaksa pecah masuk rumah orang-entah-siapa, serta mencuri makanan di kedai serbaneka yang sudah ditinggalkan pemiliknya.
"Kau ada dengar radio pasal butter fly tu?" tanya Sufian setelah melabuhkan punggung ke atas kayu papan jongket.
"Ada. Kenapa?" jawab Sofia.
"Diorang kata butter fly tu keluarkan cecair manis. Aku teringin nak makan. Lama kita tak makan benda yang sedap-sedap. Asyik-asyik, kita kena makan..." Sufian memandang ke dalam beg kantungnya. "...baked beans, sardin, jagung tak pun cendawan dalam tin ni. Bosan la."
Sofia memandang tajam ke arah Sufian.
"Kenapa?" sergah Sufian.
"Kau tau kan diorang kata cecair tu bahaya! Kau tak dengar berita minggu lepas ke? Ada orang mati lepas makan benda tu," marah Sofia.
"Ala, makan sikit je. Bukan boleh mati pun," Sufian melawan.
"Suka hati kau la," kata Sofia dengan nada suara yang rendah. Seperti orang malas untuk turut campur.
Sofia lantas melangkah pergi meninggalkan Sufian terkulat-kulat di situ sebelum dia bangun dari duduknya dan mengejar langkah kakaknya itu.

***

Langkah diatur dengan berhati-hati apabila mereka masuk ke dalam semak tebal itu.
Untuk meneruskan hidup, mereka perlu mencari makanan sendiri, selain mengharapkan makanan yang diberi oleh pegawai-pegawai di base camp.
Sedang Sofia berjalan lebih dalam ke dalam semak itu, tiba-tiba dia menjumpai pokok pisang setinggi lebih kurang dua meter dan di pokok itu tergantung setandan pisang yang sudah menguning.
'Kalau aku bawak balik pisang ni ke base camp, sure diorang happy. At least, ada jugak makanan lain selain sup dan bubur tawar tu,' fikir Sofia.
Pisau yang terselit di pinggang ditarik keluar dan dia mengangkat pisau itu tinggi-tinggi agar dia dapat menetak batang tandan pisang itu.
Baru sekali tetakan, kedengaran suara Sufian memanggilnya.
"SOFIAAA!!!"
Tumpuan Sofia terganggu, namun ditolehkan juga kepalanya ke arah suara Sufian.
"Kenapa?" laung Sofia.
"Meh la sini jap!"
Sofia mendengus dan dia berjalan ke arah Sufian yang berada tidak jauh dari situ. Sampai di satu kawasan yang redup dipayungi sepohon pokok yang besar, Sofia berhenti. Kelihatan Sufian sedang bercangkung di bawah pokok itu.
"Apesal?"
Sufian yang masih duduk bercangkung itu menoleh sedikit dan menggamit Sofia untuk mampir dekat dengannya.
"Kau jangan nak main-main pulak. Jom, tolong aku potong tandan pisang kat sana."
"Sini la! Sedap la benda ni. Kau kena try."
Sofia berjalan mendekati Sufian.
"Apa benda tu?" tanya Sofia. Kepalanya terjulur ke kiri dan ke kanan untuk melihat 'benda sedap' yang dikatakan Sufian itu.
"Ni hah." Sufian bergerak ke tepi sedikit supaya Sofia dapat melihat benda yang maksudkan. Terdapat ketulan berbentuk segiempat seperti bentuk mentega dan sedikit cair di tepi-tepinya.
Sufian mencalit sedikit. Cecair likat itu bertali halus ketika Sufian mengangkat jarinya dan dijilat sedikit calitan di jarinya itu.
"Mmm... mmm... sedap! Manis dia... pergh! Kau kena try la," kata Sufian, teruja. Dia mencalit lagi dan disuapkan ke dalam mulutnya lagi.
"Kau jangan main makan je benda sedap camni. Mana tau racun ke apa, mana kita nak tau," Sofia memperingatkan Sufian.
Dia risau jika berlaku apa-apa yang tidak elok pada kembarnya itu. Nak-nak pula bila hidup di dunia pasca perang dunia seperti sekarang. Dia sajalah keluarga yang dia ada sekarang ini.
"Kalau kau tak nak, aku habiskan. Sedap ni! Rugi kalau dibiarkan camni je tau!" Sufian kembali menumpukan tumpuan dirinya pada cecair manis yang likat itu.
Sofia menjeling geram. Ketika dia memusingkan badannya untuk berjalan kembali ke pokok pisang tadi, dia terkaku. Matanya tertumpu pada sesuatu.
Seekor lalat gergasi sedang bertenggek di atas batu - dalam 3 meter dari Sofia - sambil memandangnya. Kepalanya terteleng-teleng ke kiri dan ke kanan. Sofia menguis kakinya pada lengan Sufian yang duduk membelakangkan lalat gergasi itu.
"Kau ni apesal main kuis-kuis orang ni?" marah Sufian kerana tindakan Sofia itu telah mengganggu dirinya untuk terus menjamah cecair manis itu.
"Tu... tu..." Suara Sofia cuma tersekat di rengkung.
Lalat gergasi itu sepertinya tidak berbahaya. Ia cuma memandang sekeliling dengan matanya yang besar itu. Kemudian, dia memusing-musingkan sedikit badannya dan - 'CRIIITTTT!!' - lalat gergasi itu telah 'membuang' sesuatu yang dia sangat kenal bentuknya. Dan lalat itu terus terbang meninggi meninggalkan mereka.
Cecair manis likat itu!
Sofia pantas menarik lengan Sufian dan bergegas mahu pergi dari situ.
"Eh, kau ni apesal? Tak nampak ke aku tengah ma--" Sufian terdiam ketika mereka melintasi cecair manis likat yang ditinggalkan oleh lalat gergasi tadi itu. "Eh? Ada lagi la!" kata Sufian dengan penuh keterujaan. Lalu dia merentap lengannya dari genggaman tangan Sofia dan duduk melutut di hadapan cecair manis likat itu.
"Kau jangan makan tu lagi, boleh tak?! Benda tu tak elok la!" marah Sofia. Dia berasa tidak sedap hati selepas dia melihat lalat gergasi dengan mata kepalanya sendiri.
Sufian mengabaikan kata-kata Sofia dan dia pantas mengeluarkan sebekas plastik lutsinar yang masih kosong dan dimasukkan ketulan yang likat itu ke dalam bekas itu. Bekas itu ditutup rapat dan dimasukkan semula ke dalam beg kantungnya.
"Serius aku rasa tak sedap hati tengok kau makan benda tu," luah Sofia sebelum dia berjalan keluar dari situ.

***

Malam itu, Sofia, Sufian dan beberapa orang yang duduk base camp itu berlonggok beramai-ramai di depan unggun api. Terdapat radio kecil yang menjadi penyampai berita terkini dunia. Begitulah mereka setiap hari, setiap malam.
Setelah penyampai radio menyampaikan keadaan semasa perang dunia, berita beralih pada berita amaran kepada penduduk dunia agar berhati-hati dengan serangga yang diberi nama 'butter fly' kerana najisnya yang berbentuk seperti mentega dan rasanya yang manis itu mampu membunuh manusia jika dimakan. Rupa butter fly itu juga diberitahu. Berbentuk seperti lalat tetapi bersaiz besar akibat terkena radiasi yang kuat membuatkan serangga itu berevolusi menjadi besar sehingga mencapai saiz seekor kucing dewasa.
Sofia tersentak. Info-info yang diberikan itu persis dengan apa yang dilihat siang tadi. Dia memandang Sufian yang sedang duduk tidak jauh darinya. Sofia yakin bahawa Sufian telah memakan najis butter fly itu. Dia juga yakin serangga gergasi itu adalah butter fly walaupun dia cuba untuk menafikannya.
Akhirnya, Sofia mengeluh dan tenggelam di dalam lamunannya sebelum terlena di kerusi malas itu.

***

Tiga hari berlalu, selama itu juga Sofia dan Sufian kerap ke hutan semak itu untuk mencari makanan. Sofia mencari buah-buahan yang tumbuh meliar di dalam semak itu, manakala Sufian pula mengambil 'bekalan' cecair manis yang likat itu sebanyak yang mungkin. Dia menjadi semakin ketagih dengan makanan yang entah dari mana datang itu. (Sufian masih tidak tahu itu adalah najis butter fly yang semakin kecoh di berita-berita radio tempatan mahupun di radio luar).
Sedang Sufian bercangkung untuk menyauk ketulan cecair likat itu masuk ke dalam bekas plastik lutsinar yang dibawanya, tiba-tiba perutnya terasa sakit yang mencucuk pedih.
"Aaarrgghhh!" Sufian mengaduh. Tangannya memicit perutnya.
Sofia yang muncul di celahan semak sambil membawa beberapa bekas plastik yang diisi dengan cendawan hutan itu berlari ke arah Sufian.
"Kau apesal ni? Okey tak?" tanya Sofia setelah dia duduk bercangkung di sebelah Sufian yang masih terkerut menahan sakit.
"Entah la. Aku rasa perut aku sakit sangat ni," beritahu Sufian.
Lantas Sofia memegang perut Sufian. Tangannya dapat merasakan ada sesuatu bergerak di dalam perut Sufian. Dia mereguk liur dan cuba untuk menenangkan dirinya.
"Jom, kita balik. Kat sana ada paramedik, dorang boleh check kau nanti," saran Sofia.
Sufian terangguk-angguk. Dahinya habis lencun dengan peluh. Mukanya semakin berkerut menahan sakit yang maha pedih itu. Badannya dipapah oleh Sofia sehingga mereka tiba di base camp.
Penduduk yang melepak berdekatan dengan pintu masuk base camp itu pantas berlari menghampiri mereka dan turut membantu Sofia untuk memapah Sufian ke khemah paramedik.
Mereka semua kalut kerana sebelum ini Sufian kelihatan normal. Tiada tanda-tanda sakit yang serius. Itu yang membingungkan mereka.
Sufian dibaringkan ke atas katil yang kosong dan dia diperiksa oleh dua pegawai paramedik yang bertugas. Sofia hanya memandang Sufian yang sedang meracau kesakitan. Sedih dia melihat keadaan Sufian ketika itu.
"Jangan risau, Sofia. Mungkin dia keracunan makanan je tu. Bagi kami check apa yang kami mampu dulu, okey?" pujuk Joe merangkap ketua paramedik di situ.
Sofia mengangguk. Matanya mula bergenang dengan airmata.
Tiba-tiba, Sufian batuk teruk. Seminit, dua minit lamanya. Darah mula mengalir keluar dari mulutnya. Paramedik terdekat mengambil sehelai tuala bersih dan mengelap darah yang keluar dari mulutnya itu. Paramedik sempat menekup mulut Sufian dengan tuala. Selepas batuknya berhenti, paramedik itu terkejut dengan apa yang dilihat melekat pada kain tuala itu.
"Err... Joe?" panggil paramedik itu. "Aku rasa kau kena tengok ni."
Joe menghampiri rakannya itu. Sofia juga teragak-agak untuk mendekat. Di atas tuala itu, terdapat beberapa ketulan darah beku dan juga beberapa ekor lalat kecil di dalam takungan darah itu. Lalat-lalat itu masih lagi hidup. Setelah sayapnya mulai mengering dari basah darah, ia mula terbang ke udara. Raut wajah Joe menjadi tidak keruan. Lantas dia menoleh pada Sofia yang berada di sebelahnya.
"Awak bagitau saya apa yang dia makan 2-3 hari kebelakangan ni. Ini bukan keracunan makanan lagi ni, awak tau tak?" tanya Joe secara mendesak.
Mata Sofia sekejap memandang ke arah Sufian yang terlantar lemah, sekejap lagi dia memandang ke arah Joe dengan perasaan yang serba-salah. Beg kantung kepunyaan Sufian yang disandang dari tadi dihulurkan pada Joe.
"Dia ada kutip something kat dalam semak tak jauh dari sini beberapa hari ni," cerita Sofia.
Joe membuka tali beg kantung itu dan dikeluarkan sebekas kecil lutsinar yang diisi dengan ketulan cecair likat di dalamnya. Raut wajah Joe menegang, lantas dia menggeleng perlahan.
"Kau tau tak apa benda ni?" tanya Joe secara berbisik.
Sofia menggeleng.
"Ni..." Joe menuding jarinya pada bekas lutsinar itu. "...benda ni la yang tengah kecoh kat radio sekarang. Taik butter fly," jelas Joe masih dengan nada berbisik. "Haih, nampaknya benda tu dah ada kat dalam area kita. Kita kena bagi warning kat semua orang!"
"Habis tu, macam mana dengan dia sekarang? Takde ubat untuk pulihkan dia?" tanya Sofia dengan suara yang merendah dan sekat-sekat sedu.
Joe menggeleng. "Telur butter fly tu ada kat dalam najis yang dibuang tu. Ya, memang najis butter fly ni rasanya macam makan madu. Manis dan sedap seperti yang diberitahu oleh mangsa-mangsa sebelum ni. Jika seseorang tu dah makan najis tu, harapanlah. Benda yang dimakan akan jadi parasit dalam badan orang tu. Organ dalaman akan dijadikan makanan and tunggu masa jela," jelas Joe panjang-lebar.
Sofia memejamkan matanya rapat-rapat. Dia tahu peratusan Sufian untuk hidup adalah tersangat tipis. Hampir tiada disebabkan tiada peralatan atau vaksin yang boleh digunakan untuk menghapuskan parasit yang berada di dalam perut Sufian itu.
Dari jauh, Sofia memandang sayu pada Sufian dan dia melepaskan keluhan berat.

***

Keesokannya, tubuh badan Sufian semakin mengering dan kulitnya pula seperti orang yang mengalami bisul dan keradangan kulit yang serius. Darah mulai keluar dari lubang-lubang luka dan lubang itu dijadikan 'laluan' untuk parasit yang menumpang di dalam tubuh Sufian itu untuk terbang keluar.
Batuknya juga tidak henti-henti sejak malam tadi. Batuk berdarah yang bercampur dengan beberapa ekor lalat kecil itu membuatkan tekaknya menjadi semakin perit. Penat kelelahan untuk terus batuk.
Di sebelahnya, Sofia duduk menemani Sufian yang semakin nazak. Dia mengangkat kepalanya memandang Sufian yang batuknya kian menjadi-jadi.
"Joe? Joe!" panggil Sofia.
Terkedek-kedek Joe berlari ke arahnya.
Sofia terkaku melihat beberapa ekor lalat kecil keluar dari rongga-rongga tubuh Sufian. Mulut, telinga, hidung dan luka-lukanya. Semakin banyak!
"What the...?" Joe juga terpegun.
Batuk yang semakin menjadi-jadi itu membuatkan Sufian kelelahan. Pada nafas terakhirnya, dia seperti orang tersedak air dan dari mulutnya yang ternganga luas itu berbondong-bondong lalat kecil menderu keluar dari mulutnya. Mengosongkan ruang perutnya yang kian mengempis.
Sofia pantas berlari ke arah Joe dan mereka di dalam khemah paramedik itu semua terkaku melihat kejadian itu. Ada juga yang tertunduk bersembunyi di bawah katil, takut dari diserbu oleh serangga kecil itu.
Setelah serangga itu keluar dari khemah tersebut dan terbang menghilang ke ruang udara, Joe dan Sofia kembali menatap Sufian yang sudah kaku di atas katil. Tubuh Sufian mengering, hanya tinggal kulit dan tulangnya sahaja. Luka-luka kecil menjadi besar akibat dijadikan laluan untuk serangga parasit itu tadi keluar dari tubuhnya. Sofia melangkah perlahan, mendekati mayat Sufian. Dan dia terduduk di hujung katil, menangis semahunya.
Joe menghampiri Sofia dan menggosok-gosok bahunya. Cuba menenangkan gadis itu dari terus bersedih.

***

Senjata yang tersusun di atas meja itu diambil. Satu persatu diperiksa. Kondisi dan peluru semuanya dalam keadaan yang baik. Kemudian, dihulurkan kepada Joe. Sofia melemparkan senyum pada lelaki itu.
Hari ini, genap 900 hari mereka berperang dengan serangga gergasi bernama Butter Fly itu. Semenjak Sufian mati, mereka nekad untuk terus memerangi serangga parasit itu.
Sebelum ini, mereka telah ke Zon A dan Zon B untuk memusnahkan tempat serangga itu membiak secara berkumpulan. Kali ini mereka perlu ke Zon C di mana terdapat 'sarang utama' serangga Butter Fly tersebut.
Sofia mencapai flamethrower dan bersedia untuk memulakan operasi.
"Are you ready?" tanya Sofia dengan suara yang penuh yakin.
Terkelip-kelip satu baris ayat di skrin.


- PLEASE INSERT COIN(s) PLAYER ONE -

This is Hani