Wednesday, November 27, 2013

Cerpen: Mata Kuasa

Pernah tengok mata kucing yang mempunyai warna matanya yang berlainan? Sebelah warna biru, manakala yang sebelah lagi berwarna hijau atau mungkin warna oren, dan sebaliknya. Seperti mata kucing yang bernama Snow White milik penulis Jejaka Anggun, Shaz Johar tu. Dalam bahasa saintifik, ia dikenali sebagai heterochromia iridum. Kejadian pelik ini juga boleh berlaku pada manusia; samada kedua-dua mata berlainan warna, ataupun dalam salah satu atau kedua-dua anak mata mempunyai dua warna yang berbeza.
Dalam kes aku, aku mempunyai dua warna berbeza pada kedua-dua anak mata. Anak mataku yang berwarna coklat gelap ini mempunyai satu lagi lapisan warna ungu di tengahnya. Cantik, bukan? Simptom ini dipanggil central heterochromia. Tapi mata yang cantik inilah yang membuatkan aku terlalu berhati-hati dengan dunia sekelilingku semenjak aku ‘mendapatkannya’.
Semasa aku berusia 15 tahun, aku pernah mengalami kemalangan jalan raya. Seorang pemandu bas ekspres dengan bangangnya telah menukar lorong secara melulu membuatkan kereta yang dinaiki aku bersama ayah telah hilang kawalan dan melanggar besi palang divider. Kaca cermin tingkap yang pecah telah memasuki ke dalam mataku membuatkan aku mengalami kecederaan mata yang serius.
Namun, nasib aku baik. Beberapa hari aku terlantar di hospital dengan mata yang berbalut buta, aku didatangi doktor dengan satu berita baik. Ada penderma yang mahu mendermakan matanya kepadaku. Namun berita baik tersebut disambut dengan berita buruk, di mana rakan yang baru aku kenali semenjak aku dimasukkan ke wad tersebut telah meninggal dunia akibat leukemia.
Selepas beberapa hari pembedahan ke atas mataku berjaya dilakukan, balutan pada mata dibuka. Kini aku boleh melihat semula. 
“Buat masa ni, Cik Suzana rehat dulu. Dalam masa 24 jam, kalau tak ada apa-apa, Cik dah boleh pulang esok,” kata doktor yang merawatku itu dengan suara yang ramah sambil melemparkan senyum. 
Secara tiba-tiba, wajah doktor itu berubah menjadi bayangan yang memimikkan mukanya dengan wajah yang garang dan meninggikan suara memarahinya pula. 
‘Cepat-cepat sikit blah. Aku dah malas nak handle kes kau ni.’
Aku terkejut. Aku yakin aku melihat dan mendengar kata-kata doktor itu sebentar tadi. Kata-kata yang menghina diriku sebagai seorang pesakit. Lantas, aku menoleh memandang jururawat yang berada di sebelah kiriku pula.
Dengan muka yang menjengkelkan, bayangan jururawat itu bersuara, ‘Kau ni apehal pandang aku buat muka pelik ni?’
Mataku terkebil-kebil melihat jururawat tersebut. Aku menggelengkan kepalaku sedikit dan memandangnya semula. Jururawat itu mengukir senyum padaku.
Aku pantas menoleh semula kepada doktor. “Uh… okey.” Kepala terangguk secara teragak-agak dan tak langsung.
Doktor dan jururawat itu terus berlalu pergi.
‘Tidur! Rehat! Jangan nak panggil-panggil aku pulak nanti,’ kata bayangan jururawat itu lagi dengan matanya yang terjegil garang.
Aku membuntangkan mata, tidak percaya dengan apa yang aku lihat dan dengar. Jururawat itu menoleh padaku dan melemparkan senyum manis. 
Seakan mimpi ngeri. Namun aku biarkan saja.
Aku membaringkan tubuhku dan meletakkan kepala ke atas bantal. Semasa aku mengiringkan tubuhku ke kiri, aku terlihat kertas yang dilipat dan ditindih dengan botol mineral yang terletak di atas meja. Aku capai kertas itu. Di atasnya tertulis namaku. Cantik tulisannya. Aku buka dan aku baca. Ayat terakhir surat itu membuatkan aku mengetap bibirku.

‘Guna elok-elok anugerah terbaru tu. Terima kasih jadi kawan yang baik pada hari-hari terakhir saya di sini.’ – Dina.

Aku memandang katil yang sepatutnya menempatkan Dina sebelum ini. Aku membayangkan tubuh Dina sedang terbaring di situ. Namun bayangan Dina itu tiba-tiba melemparkan senyuman kepadaku.
Badanku terangkat sedikit, terkejut memandang imaginasiku tiba-tiba berubah tanpa mengikut arahan fikiranku.
Bayangan Dina itu bangun dari pembaringan dan mendekatiku yang terkaku di katil. Tangannya membelai mukaku. 
‘Jaga elok-elok. Jangan guna untuk benda bukan-bukan. Yang penting, belajar untuk kawal kuasa tu’, pesan Dina sebelum menghilang selepas dia berjalan menembusi dinding bilik wad.
Selepas beberapa minit, baru aku dapat menghadam segala yang berlaku tadi. Perlahan-lahan, aku mengukir senyum ke arah Dina menghilang tadi. 
Terima kasih, Dina. 

***** 

Sejak dari itu, aku terpaksa membiasakan diriku dengan bayangan kata-kata hati orang sekeliling. Aku cuba untuk mengawal ‘kuasa’ itu. Aku cuba untuk menangani perasaan takut setiap kali bertembung dengan makhluk di sebalik hijab. Dalam surat arwah Dina ada tertulis bahawa kuasa itu boleh dikawal jika aku mampu memberikan tumpuan yang betul.
Guna bila perlu je, Sue. Guna bila perlu!, monolog ku seorang diri setiap kali aku terguna kuasa tersebut secara tidak sengaja.
Sedar tak sedar, sudah tiga tahun aku dapat anugerah luarbiasa ini. Kini aku sudah mampu mengawalnya. Hanya guna bila perlu saja.
Satu hari, aku didatangi seorang perempuan ketika aku sedang melepak seorang diri di sebuah mapley. Katanya dia bekerja sebagai private investigator. Dia menghulurkan kad namanya.
IDBW Investigations.
“Saya rasa macam pernah jumpa la Cik Norin ni…”
“Kat rumah Sheila haritu, ingat?” Perempuan itu pantas memotong kata-kataku.
Aku teringat seorang perempuan yang membebel-bebel bajunya terkena muntah hijau semasa dia tiba di rumah Mak Long Zati tempoh hari.
Aku mengangguk. “Oh... ada apa ye?” tanyaku.
“Awak nak kerja dengan kami tak?”
“Kerja apa?” Soalan dibalas dengan soalan.
Norin menegakkan badannya, mendekatkan diri denganku. Bibirnya mengukir senyum gatal.
“Saya tengok awak ni ada kebolehan untuk berkomunikasi dengan… benda tu.” Norin merendahkan suaranya pada akhir katanya.
“…So?”
To be frank, kami dalam IDBW Investigations ni cuma ambil kes paranormal.”
Aku tergelak kecil dengan kata-kata Norin.
Norin membuat muka kau-ni-nak-ke-tak-nak-kerja-ni pada aku.
‘Budak ni boleh gelak pulak… aku cakap betul-betul, dia ingat main-main la kot ni?’, kata bayangan Norin dengan lagak selamba.
Aku membuntangkan mata seluasnya. “So you memang cakap betul la ni?” Secara tidak sengaja, aku mempersoalkan kata-kata bayangan Norin sebentar tadi.
“Apa yang betulnya?” tanya Norin selepas dia menghirup air teh ais. “Jap, awak ni… boleh baca hati orang jugak ke?”
Aku terdiam.
Wow, that’s nice!” kata Norin sambil menepuk-nepuk bahuku. “So, nak kerja tak dengan kitorang?”
“Cuba bagi saya yakin sikit, kenapa saya perlu terima kerja dengan korang?”
In our team, we've got a shaman, a muscle-man, a werewolf and… a witch, that’s me!” jelas Norin dengan satu nafas, lagak seperti promoter mem-promote hasil jualan.
Aku tergamam. “Oh, ooookey.”
And if you masuk kerja dengan kitorang, team ni boleh jadi lagi power dengan adanya psychic, and that will be you.
Aku terdiam. Memikirkan apa yang molek dijadikan keputusan.
It’s okay kalau awak tak tau nak jawab apa sekarang. Bila-bila nanti datang la ke ofis kitorang. Alamat ada kat kad tu.”
Norin pantas menghirup airnya sehingga habis dan terus berdiri meninggalkan aku terpinga-pinga. Sekeping not RM10 ditindih dengan gelas minumannya tadi.
Kerja macam tu pun ada ka?
Aku ketawa kecil, tergeleng memikirkan ‘tawaran kerja’ tersebut dan terus duduk di mapley tersebut sebelum berlalu pergi setelah air sirap limau yang aku pesan kali kedua itu habis dihirup.

*****

Enam bulan sudah aku bekerja dengan IDBW Investigations. Dah bermacam-macam kes pelik dan misteri yang aku tangani bersama mereka. Dari kes El Chupacabra sesat, kemudian Mahmud hilang diculik oleh Damien untuk dijadikan ‘pahlawan’ di pentas Monster Fight. 
Hari ini, aku dipanggil oleh Detektif Rina untuk membantu seseorang. Dan seseorang itu adalah Ridhwan. Ini adalah kali pertama aku bertemu dengan Ridhwan. Wajah lelaki itu kelihatan kusut dan serabai dengan kumis yang tumbuh menebal di pipi, misai dan janggutnya pula tidak dicukur.
Lelaki itu duduk berhadapan dengan aku. Detektif Rina hanya berdiri di tengah-tengah di antara kami.
“Sekarang, kau boleh tanya apa je yang kau nak tanya. Aku yakin Suzana boleh tolong,” kata Detektif Rina kepada Ridhwan.
Detektif Rina berjalan keluar dari ruangan tersebut meninggalkan aku dengan Ridhwan berdua.
Suasana sunyi menyelubungi kami. Lama. Jadi aku mulakan bicara.
“Urm... hai?”
“Apa yang kau nampak kat aku?” tanya Ridhwan tanpa selindung.
“Huh?” Aku bingung. “Apa maksud kau?”
Ridhwan menegakkan badannya, mendekatkan sedikit badannya denganku.
“Aku dah mati sepatutnya. Aku dah tembak Ridhwan dulu. Dia mati dan sepatutnya aku pun mati dan hilang dari dunia ni. Sepatutnya aku tak wujud sekarang ni sebab Ridhwan kecik dah mati. Faham?”
Panjang lebar Ridhwan menerangkan masalahnya kepadaku.
Ya, aku masih ingat pada Ridhwan kecil yang dimaksudkan oleh Ridhwan itu walaupun aku tak pernah berkesempatan untuk berjumpa dengannya semasa dia masih hidup. Budak kecil malang itu ditembak di dadanya dan menyebabkan dia mati akibat pendarahan yang banyak.
“Meh, tangan.” Aku menghulurkan tanganku.
Ridhwan perlahan-lahan menghulurkan tangannya. Telapak tangan kami bersentuhan. Aku memejamkan mataku, lama. Dan kembali membukakan mataku semula. Aku dapat lihat persekitaranku seperti berada di dalam cermin. Semuanya terbalik. Susunan di dalam ruangan itu terbalik. Ejaan dan huruf semua terbalik. Kiri menjadi kanan, dan juga sebaliknya. Namun, tempat itu seperti sudah lama ditinggalkan. Dinding merekah dan ada beberapa rekahan sudah berlubang, menampakkan keadaan luar dari bangunan itu. Seperti kesan selepas berlakunya peperangan. 
“Kat mana aku sekarang ni?” Aku memandang sekeliling. “Kenapa tempat ni macam teruk semacam je?”
“Kau siapa?” Kedengaran suara lelaki yang aku sangat familiar dari arah belakang. Lalu, aku pusingkan badanku untuk melihat empunya suara. 
Alangkah terkejutnya aku apabila aku dapati empunya suara itu adalah “Fairuz!” walaupun dia kelihatan lebih tua dari yang aku kenal.
Fairuz memandangku pelik.
“Kau ni siapa?”

*****

Aku duduk berhadapan dengan Fairuz. Fairuz di depan mataku ini kelihatan serius. Muka ketat macam getah spender baru beli. Mungkin sebab keadaan hidupnya yang sukar sejak perang nuklear itu berlaku yang membuatkan dia jadi sebegitu.
“Nora mana?”
Fairuz memandangku sekilas. Kemudian, dia kembali memandang ke hadapan, termenung.
“Ada,” jawabnya sepatah.
“Mana?” tanyaku sekali lagi.
Dia tak menjawab, malah dia mengepalkan tangannya dan menepuk-nepuk dadanya. Maka, fahamlah aku apa yang berlaku pada Nora.
Giliran aku pula menceritakan tujuan kedatanganku ke situ. Bagaimana aku ke situ, kenapa, sebab apa... semuanya. Aku juga menceritakan permasalahan yang berlaku pada Ridhwan.
“Ridhwan?” tanya Fairuz dengan matanya terjegil buntang.
“Ha’ah. Kenapa eh?”
“Kami hantar Ridhwan ke masa lalu. Kami nak ubah masa depan kami. Kami tak nak perang ni berlaku. Dah lapan bulan dia menghilang tapi kami masih macam ni,” cerita Fairuz berterus-terang. “Kami suruh dia balik ke masa lalu untuk bunuh adik dia, Maliki. Sebab Maliki tu la yang buat kami macam ni. Dia memberontak, jadi pengebom berani mati dan membunuh menteri-menteri besar termasuk presiden US dalam satu mesyuarat besar beberapa tahun lalu.” Fairuz mengeluh.
Aku terdiam mendengarkan cerita itu. Sebab itulah Ridhwan beriya-iya untuk membunuh adiknya sendiri selepas kembali dari masa depan.
“Tapi... Ridhwan terbunuh diri dia sendiri. Maksud Sue, dia bunuh Ridhwan kecik. Bukan Maliki,” ceritaku pula.
Fairuz memandangku dengan roman yang serius.
“Sepatutnya kalau Ridhwan terbunuh diri dia sendiri, mesti ada efek yang berlaku sekarang ni, walaupun perubahan tu kecik. Tapi macam takde apa yang jadi pun?” tambahku.
“Siapa aku kat dalam masa kau?” tanya Fairuz, masih dengan roman yang ketat.
Private investigator. Sebelum tu, kau penah jadi ahli gusti. Err, luchador? Macam tu la.”
Fairuz mendengus dan menyandarkan badannya ke dinding.
“Kenapa?” Aku memberanikan diri untuk bertanya.
“Aku teringin nak jadi luchador. Aku gak suka bidang siasatan ni, tapi tak pernah nak jadi,” luah Fairuz.
Aku pelik. Tak mungkinlah. Kalau aku menjalani hidup aku bekerja bersama Fairuz dalam IDBW Investigations, takkanlah dia tidak menjalani hidup yang sama?
“Jadi, kau tak pernah ada kawan dalam IDBW Investigations?”
Fairuz memandangku dengan pandangan tajam. “Kumpulan pemberontak mana pulak tu?”
“Eh, diorang bukan pemberontak! Diorang ni kawan-kawan kau. Sama-sama jadi investigator. Norin, Jimmy, Mahmud... tak kenal?” aku menduga.
Fairuz tertawa. “Mereka tu semua kawan-kawan aku. Business partner, tapi dulu la.” Dia melepaskan nafas panjang. “Sekarang aku tak tau diorang masih hidup lagi ke tak.”
Dia terdiam, aku pun terdiam. Habis kata-kata. Aku bingung sebenarnya. Kalau betul ini ‘masa depan’ kami, kenapa masa lalu kami amat berbeza?
Aku menoleh pada Fairuz. “Kau tak rasa dunia kita berbeza?”
“Maksud kau?”
“Kau tak pernah tengok Doctor Who ke?" 
"Doktor apa tu?" tanya Fairuz. 
"Doctor Who la... dia tu time traveler kat dalam siri TV. Jangan kata cerita tu tak wujud dalam dunia kau?" 
Fairuz membisu. 
"Kalau kau percaya pada time travel, mungkin kau juga percaya pada parallel world,” jawabku. “Sue syak Ridhwan tu dah tersilap masuk relung waktu. Dia sepatutnya masuk ke masa lalu dalam dunia korang, tapi dia tersasar dan termasuk ke dunia kami.”
“Boleh jadi...” Fairuz menggapai beg galasnya dan mengeluarkan botol air dan meneguk sedikit air. Dia menghulurkan padaku tapi aku mengangkat tangan, menolak pelawaannya. Kemudian, dia menyambung, “...gajet yang kami guna tu cuma prototaip yang masih tak siap lagi. Tu pun kami curi dari pameran yang ada pamerkan gajet terbaru. Kononnya boleh digunakan untuk kembali ke masa silam.”
Aku memandang lelaki itu dengan perasaan yang sangat kasihan. Dia perlu menjalani hidup ini sehingga habis nyawanya.
“Kau balik la ke dunia kau. Aku tau, benda ni takleh diubah dah. Ini adalah takdir kami,” luah Fairuz dengan nada kesal. Fairuz bangun berdiri dari duduknya dan menepuk-nepuk seluarnya yang kotor dengan habuk debu yang melekat. “Aku harap, dunia kau tak mengulangi apa yang berlaku kat dunia kami.”
Dia melangkah pergi dari situ. Sebelum dia keluar dari situ, dia sempat menoleh ke arahku. “Kau balik nanti, bagitau Ridhwan yang aku minta maaf sangat-sangat dengan apa yang berlaku. Aku harap dia boleh bina hidup baru kat sana.”
Aku mengangguk faham.
“Lagi satu aku nak tanya, apa nama aku time jadi luchador dulu?”
Aku tersenyum lucu. “Ultimo Rempitico.”
Fairuz terkerut dahinya. Kening kirinya terangkat sedikit. “Apesal buruk bebenor namanya tuh?” Kemudian, dia ketawa dan berlalu pergi setelah mengangkat tangannya.

*****

Ridhwan memandangku pelik. Mataku putih sepenuhnya dan kelihatan seperti ada cahaya terbias dari mata kuasaku. Dia ketakutan dengan apa yang berlaku. Dia cuba untuk melepaskan tangan yang kugenggam dari tadi tapi gagal. Lantas, dia duduk di situ menungguku ‘kembali’ dari dimensi lain.
Tanganku menggenggam tangannya lebih kuat dari tadi membuatkan Ridhwan menjadi cuak. Aku memejamkan mataku rapat dan membukanya semula. Mataku kembali normal. Aku nampak wajah Ridhwan sedikit berpeluh di dahi.
“Hai,” ucapku untuk meredakan kecuakkan Ridhwan.
“Err... kau okey ke?”
“Okey.” Aku melemparkan senyum. “Fairuz kirim salam. Maksud aku, Fairuz kat dunia asal kau kirim salam.”
“Apa maksud kau?”
Aku melepaskan genggaman tanganku dari tangannya. Aku berdehem beberapa kali dan aku mula menceritakan kesimpulan yang kami putuskan tentang kejadian yang berlaku pada Ridhwan.
Parallel world. Itulah alasan logik yang dapat kami simpulkan.
Ternyata itulah sebabnya kenapa Ridhwan masih lagi hidup walaupun dia telah menembak mati Ridhwan kecil dulu.
Seperti apa yang Fairuz katakan padaku, takdir masa lalu tak dapat kita ubah melainkan ikhtiar untuk masa depan. Kesilapan masa lalu harus ditebus dengan keinsafan dan kebaikan demi masa depan yang mampu memberikan kita kegembiraan.

*****


Selepas aku selesai menolong Ridhwan tempoh hari, aku baru teringat sesuatu. Dengan mata kuasaku ini, aku juga mampu masuk ke relung waktu ke dimensi lain rupanya... next time nak cuba lagi! 

4 comments:

Malaysia Tercinta said...

Menarik...tapi too long. Kena datang balik untuk sambung baca.

Hasnul Adin said...

ni akan ada sambungan ke camne ni?
berakhir disinikah?

:3

Hani Suraya said...

Malaysia Tercinta: Takpe. Take your time ;)

Hasnul Adin: Kira kena bikin The Adventure of Suzana ke apa ni lepas ni? Hehehe

Hasnul Adin said...

pon boleh. :)
mcm best je kalau sambung cerita ni.

haha

This is Hani