Friday, October 18, 2013

Friendly Stranger

Hujan lebat berserta guruh kilat dan angin kencang pada lewat petang hari itu membuatkan perancangan lelaki itu untuk mengisi perutnya musnah. Kaki lima bangunan kedai berlecak akibat tempias air hujan. Arus trafik pula menjadi perlahan membuatkan laluan kenderaan di celahan bangunan yang sempit itu menjadi lagi sesak.
Seorang perempuan sedang setia menunggu seseorang di restoran Starbucks. Matanya melilau ke tengah jalan. Lelaki itu perlahan-lahan mendekati kerusi kosong yang berada satu meja dengan perempuan itu.
“Boleh saya duduk sini?” tanya lelaki itu sambil menuding jarinya ke arah kerusi kosong itu.
Perempuan itu sekadar mengangguk. Pantas lelaki itu melabuhkan punggungnya di kerusi tersebut. Beg yang disandang di belakangnya diletakkan di ribanya.
“Lebat betul hujan ni ye. Dah sejam lebih, tak reda-reda lagi.” Lelaki itu bersuara, sekadar untuk memulakan bicara. Namun perempuan itu sekadar tersenyum dan mengangguk saja.
Mereka berdua membisu. Si perempuan mengeluarkan henfon dan menaip sesuatu, kemudian menyimpannya semula ke dalam poket seluar jeans. Si lelaki cuma termenung sebelum memecahkan sunyi di antara mereka berdua.
“Study lagi ke kerja?”
“Kerja. Kat sini jugak,” jawab perempuan itu.
Lelaki itu pula yang terangguk-angguk seperti burung belatuk.
Tak lama kemudian, datang seorang lelaki bercermin mata berbingkai petak besar berwarna hitam.
“Aku cari kau satu kompleks ni, kat sini kau melepak eh. Kata lapar,” kata lelaki itu dengan gaya seperti orang yang 'high' daun ketum.
“Kau tak nampak hujan lebat tu? Kalau dah lapar sangat, pi cari payung. Nanti kita boleh pi mapley depan tu,” perli lelaki itu.
“Cari payung? Okey.”
Kawan lelaki itu terus berlalu pergi.
Perempuan itu pula membuat muka blur memandang dua sekawan itu.
“Dia tu… pegi cari payung betul-betul ke?” tanya perempuan itu.
Lelaki itu tersenyum lebar sehingga menampakkan giginya.
“Dia tu lurus bendul sikit.”
“Oh…” Perempuan itu melopongkan mulutnya, kemudian dia ketawa kecil.
“Awak ni kerja part-time kat dalam kompleks ni?”
“Ha’ah,” jawab perempuan itu sepatah.
“Kerja mana?” tanya lelaki itu lagi.
“Kiosk jual buku.” Perempuan itu melemparkan senyum.
Lelaki itu memandang perempuan tersebut. Tubuh, muka, cara pemakaian… habis semua dijelajahinya.
“Tak study?”
“Dah habis. Sekarang nak tunggu degree pulak hujung tahun ni,” jelas perempuan itu.
Wajah lelaki itu berubah terkejut. “Degree? Umur awak berapa?”
“23.”
Wha—”
“Kenapa?”
“Saya ingatkan awak baru lepas SPM.”
Perempuan itu sekadar tertawa dengan kata-kata lelaki itu.
“Awak study apa dulu?”
“IT.”
“Eh, saya pun belajar IT. Tapi amek sijil jela. Awak lagi power, dah dapat diploma pun,” kata lelaki itu merendah diri.
“Belajar apa-apa pun, sama je. Asal minat tu ada, ye dak?”
Lelaki itu mengangguk sambil tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Kemudian, kawan lelaki itu tiba semula di meja mereka dan berkata, “Takde orang nak bagi kita payung. Aku ada jumpa kat kedai tu tapi kena bayar pulak.” Kawan lelaki itu menuding jarinya ke arah kedai serbaneka tidak jauh dari situ.  
“Takpe la kalau camtu. Meh duduk sini.”
Lelaki itu menarik kerusi kosong berdekatan dan disorong pada kawannya.
“Kau kata kau lapar tadi,” kata kawan lelaki itu.
“Aku leh tahan lagi,” jawab lelaki itu sambil mengeluarkan satu fail yang penuh dengan kertas kerja dan assignment.
Kawan lelaki itu mengangguk dan duduk diam di kerusinya. Mereka membisu semula.
Tak lama kemudian, kawan lelaki yang lurus bendul itu bersuara, “Kau tau ke camne nak buat assignment yang Cik Rohaya bagi tu?”
“Yang mana? Banyak dia bagi tadi,” tanyalelaki itu. Matanya masih meneliti kertas kerjanya.
Assignment coding Java tu.”
“Oh, yang tu! Aku dah buat tapi bila aku run asyik error je.”
Lelaki itu melepaskan keluh. Kemudian, lampu mentolnya menyala. Idea tiba-tiba muncul. Dia memandang ke arah perempuan yang duduk semeja dengannya.
Selesai saja perempuan itu menaip sesuatu di henfonnya, lelaki itu bersuara, “Tanya sikit boleh? Awak dulu ada belajar coding Java tak?”
Perempuan itu mengangguk. “Ada. Kenapa yek?”
“Kalau saya bagi awak tengok coding yang saya buat ni, awak boleh detectapa error kat coding tu tak? Secara manual la sebab saya print coding saya tu kat paper je ni,” lelaki itu menduga.
I’ll give a try.” Perempuan itu mengukir senyum.
Pantas lelaki itu menghulurkan lampiran kertas yang penuh dengan codingJava itu kepada perempuan yang baru dikenalinya tak sampai setengah jam itu.
Perempuan itu meneliti kertas tersebut. Tak lama kemudian, dia menghulurkan tangannya ke arah lelaki tersebut.
“Ada pen? Pensel ke?” pinta perempuan itu.
Lelaki itu terus menghulurkan pen yang memang ada bermain di tangannya sejak dari tadi itu kepada perempuan tersebut. Laju tangan perempuan itu menarikan mata pen di atas kertas itu.
“Nah, dah siap.” Perempuan itu melemparkan senyum manis sambil menghulurkan kertas itu. “Yang saya bulatkan tu nanti padam,” kata perempuan itu sambil menunjukkan kesalahan dengan mata pen. Kemudian, dihulurkan semula pen tersebut kepada lelaki itu.
“Wow, banyaknya!”
“Ingat, jangan salah letak semicolon. Dapat lecturer yang leceh, itu pun dia kasi tolak markah,” nasihat perempuan itu.
Bagi yang tidak tahu, simbol semicolon (;) banyak digunakan dalam kebanyakan bahasa pengaturcaraan. Salah letak, sistem boleh menjadi ralat atau error.
“Terima kasih ya!” ucap lelaki itu.
“Kau ni… aku dah kata check betul-betul. Buat malu je tanya orang. Tanya kat perempuan pulak tu,” kata kawan lelaki itu.
“Eh, kau ni. Aku tanya sebab aku tak tau. Kalau aku tak tanya, sampai habisdeadline assignment ni pun aku tak tau apa error kat coding tu.” Lelaki itu sempat menyelit kertas coding itu ke dalam failnya. “Apa kata kau pegi cari motor ke basikal ke… senang kita nak seberang ke mapley tu. Bising jela kat sini, bukan nak tolong aku buat assignment ni pun,” kata lelaki itu dengan nada bergurau.
“Basikal? Okey, okey.”
Kawan lelaki itu terus berdiri dan berlalu pergi lagi sekali untuk mencari basikal pula. Tindakannya yang pantas itu tidak sempat dipatahkan kawannya.
Perempuan yang sedari tadi hanya memerhati dua sekawan itu kini tersenyum menahan tawanya.
“Saya melawak je. Tapi dia pegi cari betul-betul pulak.” Lelaki itu sekadar menggelengkan kepalanya mengenangkan sahabatnya yang lurus bendul itu.
“Korang satu kelas ke?”
“Ha’ah. Semester ni jela. Dia satu hostel dengan saya time sekolah dulu.”
“Camne if kawan awak tu betul-betul dapat cari basikal tu?” tanya perempuan itu sekadar bergurau.
Lelaki itu terus melempiaskan tawanya. Tak dapat dia membayangkan kawannya itu menyorong basikal entah siapa-siapa di depannya nanti.
“Entah la… harap dia tak curi basikal pak guard kompleks ni jela.”
Mereka berdua melepaskan tawa bersama.
Ketika tawa mereka semakin mengendur, perempuan itu pantas mencapai tali beg silangnya dan disangkutkan pada bahunya.
Perempuan itu memandang pada lelaki itu. “Tunang saya dah sampai tu.” Dia pantas mengeluarkan payung dari sarungnya dan dibuka luas. “Kejap lagi reda la hujan ni. Takyah la cari payung ke basikal tu lagi. Cari makanan pulak.”
Lelaki itu sekadar ketawa dengan gurauan perempuan itu. Senyuman dilemparkan kepada lelaki itu dan dia terus berjalan ke arah kereta Kelisa yang berhenti tidak jauh dari situ.
Beberapa saat selepas kereta Kelisa itu berlalu pergi, kawan lelaki itu tiba dengan langkah yang perlahan, menghampiri lelaki itu.
“Tak jumpa basikal la. Mungkin orang yang datang sini dah tak naik basikal dah kot,” kata kawan lelaki itu dengan naïf.
Mungkin saja doa perempuan itu tadi dimakbulkan Tuhan. Hujan yang lebat itu secara tiba-tiba menjadi renyai. Angin yang bertiup tadi juga sudah surut. Kilat dan guruh juga sudah lama berhenti berdentum. Lelaki itu menguntumkan senyum.
“Takpe la weh.” Lelaki itu menoleh ke arah kawannya yang sedang berdiri di sebelahnya. Muka sahabatnya itu kebingungan.
“Tadi kau suruh aku cari macam-macam, nak redah hujan. Sekarang ni kau kata tak payah pulak. Takpe ke?”
“Kau tengok tu. Hujan dah reda pun. Kita nak redah sekarang pun boleh,” cadang lelaki itu.
“Takpe ke nak redah sekarang? Takyah pakai payung? Takyah naik basikal?” tanya kawan lelaki itu seperti budak-budak kecil meminta kepastian.
“Takyah. Kita lari je. Bukan jauh pun. Takat 5-6 langkah je tu.”
“5-6 langkah eh.”
Lelaki itu mengangguk dan terus berdiri. Beg diangkat dan disandangkan di belakang badan selepas fail dan buku yang dikeluarkan tadi dimasukkan semula ke dalam beg. Mereka terus memanjangkan langkah mereka untuk menyeberang jalan.
Sampai di bangunan bertentangan, kawan lelaki itu bersuara, “Kau kata 5-6 langkah je. Aku kira tadi terlebih 3 langkah, kenapa?”
“Eh, kau ni. Dah dapat redah hujan ni dah kira bagus tau.” Lelaki itu menepuk-nepuk bahu kawannya itu. “Jom, kita mencekik pulak. Lapar sangat dah ni.”
Kedua-dua orang sahabat itu terus berjalan ke mapley yang terletak di corner lot bangunan tersebut untuk mengisi perut.
Hujan lebat pada lewat petang itu akhirnya berhenti pada ketika jam hampir ke pukul 8 malam. Dua jam yang menyesakkan, tapi lelaki itu berhasil mendapatkan kawan yang mampu membantu dia menyelesaikan jawapan untuk assignment yang diberi oleh pensyarahnya walaupun dia tidak mengenali perempuan itu, hatta nama perempuan itu sendiri pun dia tak tahu.
Kadang-kadang, jadi stranger lagi bagus.
Lelaki itu tersenyum mengenangkan apa yang berlaku petang itu sambil menyuapkan sesudu nasi goreng pattaya ke dalam mulutnya. 

No comments:

This is Hani