Thursday, October 31, 2013

Cerpen: Sumpah Elergi

Terik mentari pagi pada hari itu membuatkan Faiz bermandi peluh untuk ke tempat kerja. Sudahlah tiada teksi yang mahu berhenti ketika dia menahan kenderaan bermeter cekik darah itu, bas awam pula lambat melalui kawasan perumahannya. Habis sumpah seranah dilemparkan sepanjang dia berjalan turun dari bas tersebut.
Faiz sempat menyinggah ke sebuah kedai membeli roti sandwich berintikan tuna. Kemudian, dia sambung berjalan ke tempat kerja yang jauhnya cuma tinggal dalam 100 meter lagi sambil melantak roti sandwich yang dibeli tadi.
Sedang dia berjalan di laluan pejalan kaki itu, tiba-tiba kedengaran bunyi tayar berdecit.
Bam!
Kedengaran bunyi sesuatu dilanggar dengan kuat dan semerta sesuatu seperti pasir-pasir halus tercampak ke merata tempat. Salah seorang yang terkena adalah Faiz kerana dia berada betul-betul bersebelahan dengan kawasan kemalangan tersebut. Faiz terkejut ketika pasir halus itu tercampak mengenai mukanya.
"Cilaka! Siapa yang main baling-baling pasir pulak ni?" marah Faiz. Tangannya menggosok-gosok pipinya yang kotor dengan habuk pasir. Matanya melilau ke sekeliling. Mukanya jelas tidak berpuas hati. Saja mahu buat dia bertambah marah.
Bunyi yang bising riuh itu sekaligus membuatkan orang yang berdekatan di situ berhenti berjalan dan memandang ke arah tempat kemalangan. Sedikit demi sedikit, ada yang menghampiri ke situ untuk membantu. Pemandu kereta itu panik kerana dia telah melanggar orang.
"Haiya, itu orang main lintas tak pandang kiri-kanan!" beritahu pemandu Cina tersebut dengan gabra.
"Tapi apek, itu orang sudah takde la," kata seorang lelaki yang mahu membantu mangsa kemalangan tersebut. Tapi mangsa itu sudah hilang. "Yang ada cuma pasir je ni," tambah lelaki itu lagi.
"Pasir ar?" Pemandu Cina itu kebingungan. Dia memandang ke tempat orang yang dilanggar itu tadi. Betul kata lelaki itu, cuma ada kesan pasir. Banyak berselerakan di bawah keretanya. Di atas bonet dan cermin depannya juga mempunyai kesan pasir.
Dari jauh, Faiz hanya melihat saja kejadian itu, namun dia malas mahu turut campur. Dia tak mahu lambat ke tempat kerja. Lantas, dia menghayunkan langkahnya semula.

* * *

Tangga didaki satu persatu sehingga dia tiba di pejabatnya. Kemudian, dia menolak pintu itu dan menderu laju menuju ke tempat duduknya.
"Dey, Faiz! Apasal muka tu masam ja saya tengok?" tegur Mala.
Faiz cuma berdiam, malas untuk menjawab.
"Eh, apa benda kat pipi you tu?" Mala menuding jari lentiknya ke arah pipi kanan Faiz.
Pantas Faiz memegang pipinya. Kemudian, dia melihat tapak tangannya itu. Ada sedikit habuk pasir.
"Siot betul. Ada lagi pasir bangang ni?" geram Faiz.
"Macam mana boleh ada pasir kat muka you?"
"Tadi entah malaun mana entah pi campak pasir ni kat tengah-tengah jalan. Sampai terkena kat aku pulak. Bangang betul!" cerita Faiz. Suaranya bergetar kasar.
Kemudian, dia terus melangkah ke tandas.
Mala cuma menggeleng memandang Faiz.
"Ini laki, banyak short-tempered la," monolog Mala seorang diri.
Pintu tandas ditolak kasar. Faiz meluru masuk dengan mukanya yang masam mencuka. Pantas dia menghadap cermin di hujung sudut. Wajahnya ditatap. Ya, ada secalit pasir yang melepat di pipi kanannya. Kepala pili dipulas kasar, menderu air keluar mengalir dari muncung paip.
Kedua-dua telapak tangannya disatukan dan dia menadah air yang mengalir, kemudian disapukan ke seluruh mukanya. Mana tau ada kesan-kesan pasir halus yang masih melekat di mukanya itu lagi. Pipinya digosok-gosok sedikit.
Setelah berpuas hati kesan kasar berpasir di pipinya sudah hilang, Faiz menatap semula ke dalam cermin. kesan pasir sudah hilang, tapi ada kesan berwarna merah pula yang masih tidak hilang.
"Haduh! Amende la pulak merah-merah ni?"
Faiz menadah sedikit air dan digosok-gosok lagi pada kesan merah tadi, namun kesan itu masih juga tidak hilang. Akhirnya, Faiz mengalah.
"Siot betul! Dah la main campak-campak pasir, sampai tinggal kesan pulak ni hah!" bebel Faiz sambil membelek-belek wajahnya di depan cermin. "Ah, peduli la!"
Faiz memulas tutup kepala paip dengan kasar dan keluar dari tandas dengan perasaan yang tidak puas hati.

* * *

Mata terarah pada skrin monitor. Jarinya pula pantas menari-nari di atas papan kekunci, menekan-nekan butang huruf dan simbol memasukkan data ke dalam sistem seperti yang ditugaskan. Kadang-kala, dia menyelak lembaran kertas yang ada diletakkan di sebelah kiri ruangan meja kerjanya. Dia perlu menyiapkan kerja ini sebelum keluar untuk rehat tengahari nanti, kalau boleh. Tak ada lah nanti dia kelam-kabut jika bosnya datang meminta.
Dalam ketekunannya, Faiz tidak menyedari sesuatu. Kadang-kala, tangannya mencuri masa untuk menggaru-garu kesan merah pada pipi kanannya itu. Kemudian, tangannya menggaru pada leher. Dan tidak lama selepas itu, dia menggaru lengannya pula.
"Oi, Faiz! Bos panggil kau pi masuk opis dia sekarang. Bawa sekali fail untuk meeting client dia kejap lagi tu, okeh?" laung suara Miza merangkap setiausaha bosnya itu.
"Ha, yelah," jawab Faiz separa menjerit tanpa mengalihkan matanya dari skrin monitor.
Setelah dia menekan butang 'Save' untuk menyimpan data yang telah dia buat setakat itu, dia terus berjalan menuju ke bilik bosnya, Encik Hamdan.
Pintu diketuk perlahan.
"Masuk!" Kedengaran suara Encik Hamdan sayup-sayup dari dalam.
Daun pintu ditolak dan perlahan-lahan dia berjalan masuk ke dalam. Sampai saja di hadapan Encik Hamdan yang sedang tekun membaca satu fail di tangannya itu, Faiz berhenti dan berdiri di situ.
"Ye, encik?"
Tangannya tergaru-garu pipinya.
"Ha, Faiz!" Encik Hamdan masih membaca fail. "Saya sebenarnya nak..." Encik Hamdan yang baru saja mahu meletakkan fail itu ke atas meja, kepelikan melihat muka Faiz. Kondisi wajahnya yang merah dan sudah ada kesan darah kering itu dipandang sehingga terkerut dahinya.
"Encik?" Faiz tergaru-garu lagi memandang Encik Hamdan.
"Aaa... kenapa dengan muka kamu tu, Faiz?" tanya Encik Hamdan.
"Muka? Kenapa pulak, encik?" Faiz memegang mukanya.
"Merah-merah muka tu. Ada yang dah luka kamu garu-garu agaknya tadi, sampai darah tu," beritahu Encik Hamdan.
'Darah?'
Faiz pantas melihat pada hujung jarinya. Memang ada kesan darah kering pada celahan kukunya.
'Macam mana aku tak perasan ni?'
'Bala apa pulak ni??'
Encik Hamdan menegakkan badannya, memandang dalam-dalam pekerjanya itu.
"Macam ni lah. Apa kata kamu amek MC harini. Pi jumpa doktor, amek ubat. Mana tau ada elergik apa-apa, takut nanti lagi teruk ni," saran Encik Hamdan.
"Eh, habis tu. Kerja ni?" Faiz menunjukkan fail yang dibawanya.
"Pasal kerja ni, kamu jangan risau. Nanti saya suruh Miza atau sesiapa tolong cover kamu untuk harini. Okay?"
Faiz cuma mengangguk dan akur dengan arahan Encik Hamdan. Dia sempat menoleh pada cermin menegak yang terletak di sudut ruang ofis Encik Hamdan sebelum dia keluar dari situ. Nafas dihembus kasar.
'Macam mana boleh jadi camni? Bangang betul la!'

* * *

Muka, leher dan tangannya habis diperiksa. Bajunya juga disuruh tanggal, mana tahu 'jajahan' gatal-gatal itu tadi semakin meluas. Kemudian, doktor itu kembali duduk di kerusinya. Duduk berhadapan dengan Faiz. Kertas laporan pesakit diconteng-conteng dengan tulisan yang rupanya seperti cacing kerawit tersimpul itu. Satu apa pun Faiz tidak faham, namun dipersetankan saja kerana 'penyakit'nya itu yang penting sekarang ini.
"Mungkin kamu ni ada silap makan dan membuatkan kulit awak naik merah-merah camni. Elergi pada makanan laut mungkin?"
"Saya ni mana ada pantang dalam makan pun, doktor."
"Habis tu? Habuk kayu? Pasir?"
'Pasir?'
Faiz teringat pada ketika dia tiba di ofis tadi. Pipinya ada kesan pasir. Tak lama kemudian, pipinya naik kesan merah. Selepas itu, dia mulai berasa gatal-gatal dan terus merebak di muka, leher dan lengannya. Dia pula terus menggaru kulitnya yang gatal tak henti-henti sehingga luka.
Namun fikirannya tak diungkapkan, Faiz terus tenggelam dan terdiam. Tahu-tahu saja, sekeping kertas dihulur.
"Saya akan bagi ubat krim, nanti kasi sapu kat tempat yang gatal-gatal dan yang ada kesan merah ruam tu. Ubat tahan sakit tu pula nanti makan bila perlu. Mana tau nanti tak tahan bisa-bisa gatal tu. Ha... yang ni pulak surat MC."
Slip kertas MC diambil dari tangan doktor. Punggung diangkat, kaki melangkah mahu keluar dari situ.
"Kalau makin teruk, datang sini balik. Okey?"
Faiz menoleh kepala ke arah doktor. "Ha... yelah," jawab Faiz acuh tak acuh. Dia sudah tak tahan dengan gatal-gatal badannya dan dia mahu pulang.

* * *

Remote TV dicapai dan punat 'on' dipicit. Terpampang kartun bangang CatDog di skrin TV.
Punggung dilabuhkan ke atas sofa dan ubat di dalam beg kertas itu ditabur ke atas meja. Ubat krim diambil dan dipulas dengan rakus. Tak tahan gatal-gatal walaupun sudah mandi bersih-bersih tadi.
Dengan bantuan cermin kecil yang dibawa turun tadi, Faiz menyapu ubat krim itu pada mukanya yang boleh dikatakan semakin teruk berbanding mukanya pada pagi tadi.
'Dah macam muka orang kena demam campak dah aku ni.'
Jari ditonyoh-tonyoh lagi pada ubat krim dan disapu pula pada leher dan tangannya. Badannya sudah naik kesan-kesan merah di beberapa bahagian. Geram saja dia melihat keadaan badannya ketika itu. Kalau dia tahu dari mana datangnya pasir tadi itu, memang dia mahu sumbat mulut orang itu dengan pasir seberapa banyak yang dia mahu. Sehingga dia puas!
Setelah selesai menyapu krim, Faiz berbaring sebentar di sofa sambil menonton TV. Baru lima minit, matanya asudah terkebil-kebil mengantuk. Perlahan-lahan, matanya terkatup. Lena.

* * *

Sedang asyik lena diulit mimpi, mimpinya itu diganggu oleh sesuatu. Sesuatu yang begitu... gatal! Faiz lantas terjaga dari tidur. Dia tergaru-garu rakus badannya seperti beruk. Habis lukanya berdarah-darah dek terkena bisa kukunya.
"Gatalnya!!!"
Dia mencapai ubat tahan sakit yang diberi doktor tadi. Dia membaca label pada plastik ubat.
-[ Dua tablet. Selepas makan. ]- 
"Ah, peduli apa aku. Tak tahan gatal."
Dia mengeluarkan ubat dari sampul plastik itu dan mengetik empat biji pil ubat berbentuk bulat itu keluar dari papannya. Pil itu terus dicampakkan ke dalam mulutnya dan Faiz pantas berjalan ke dapur untuk mengambil air masak. Dia meneguk air itu rakus.
Namun kegatalan pada kulitnya tidak berkurangan. Dia berlari pula ke bilik air. Pili shower diputar dan air pancur mengalir. Diharapkan kesejukan air pancur itu mampu mengurangkan gatal-gatal badan. Tanggapannya salah.
Faiz terus keluar dari bilik mandi dengan badannya yang masih basah lencun itu.
"Aku nak jumpa doktor tadi tu, aku nak tibai dia cukup-cukup. Makin teruk gatal-gatal ni. Bangsat betul!"
Langkah dihayun laju dan besar-besar. Dengan berbogel badan dan cuma berseluar pendek, Faiz terus keluar menapak ke klinik yang berada di kawasan rumah kedai di luar kawasan taman perumahannya.
Sampai di pondok pengawal, seorang lelaki 50-an membuat muka pelik sambil memandangnya.
"Eh, kau ni dah kenapa teruk sangat badan dengan muka tu?" tegur pakcik pengawal tersebut.
"Doktor kat klinik tu la. Entah ubat apa yang dia bagi tadi. Makin teruk pulak gatal-gatal ni. Kulit ni habis semua naik merah-merah," adu Faiz dengan nada yang tidak puas hati. Kasar sangat bunyinya.
Setelah Faiz semakin jauh dari situ, pakcik pengawal kembali menjalankan kerjanya semula. Kepalanya tergeleng-geleng melihat keadaan Faiz. Namun dia tak tahu untuk berbuat apa. Dia tahu anak muda itu bukan boleh dilayan sangat kepala angin dia itu. Tahu-tahu saja, kita pula yang dimarahkannya balik.
Sedang Faiz berjalan, badannya menjadi lebih gatal dari tadi. Dia berhenti sebentar. Menggaru-garu badannya lagi.
"Ish, gatal-gatal ni kan! Kurang ajar betul!"
Tak pasal-pasal, kegatalan pula dia marahkan.
Dalam marah, Faiz terus berjalan ke tengah jalan gelap tanpa melihat kiri-kanan.
HONNNNN!!!!
Sebuah kereta yang menyusur laju lantas membunyikan hon nyaring kepada Faiz. Tayar kereta berdecit.
Faiz menoleh ke arah bunyi hon tadi. "Babi punya kere-..."
BAMMM!!!!
Tubuh Faiz melayang. Namun berlaku perkara ganjil semasa dia dilanggar. Tubuhnya perlahan-lahan bertukar menjadi retak dan semerta berkecai menjadi habuk pasir halus.
Pemandu kereta itu tergamam. Dia cuma duduk di kerusinya memandang ke hadapan. Butir-butir pasir habis mengotori cermin hadapan keretanya.
"Apehal ni, encik? Tadi saya dengar bunyi kuat tadi?" tanya pakcik pengawal tadi yang terus bergegas ke situ setelah mendengar bunyi kuat di jalan itu.
"Err... saya pun tak tau. Tapi saya rasa saya ada langgar orang tadi," kata pemandu lelaki itu dengan suara ketarnya.
"Yeke?" Pantas pakcik pengawal itu pergi ke hadapan kereta untuk memeriksa mangsa kemalangan. Namun apabila dia berada di depan kereta lelaki itu, tidak ada seorang pun yang terbaring situ. Hatta, bangkai kucing atau anjing sekalipun.
"Takde pun?"
"Takde?" tanya pemandu itu setelah dia berani keluar dari perut keretanya. Dia juga turut bercangkung bersama dengan pakcik pengawal di depan keretanya. "Pelik? Tadi ada bunyi 'bam!' kemain kuat," kata pemandu itu keliru.
"Hmm... dah takde ni. Takpe la. Kamu mengelamun kot tadi. Kamu anggap je perkara ni tak pernah jadi. Senang."
Pemandu itu mengangguk dengan teragak-agak.
"Dah, pakcik nak sambung kerja pakcik. Kamu pegi jela. Entah-entah orang tu sempat lari ke apa kan," kata pakcik pengawal itu sebelum berlalu pergi. Pemandu itu masih duduk bercangkung di situ. Masih keliru dengan apa yang berlaku. Dia nampak jelas lelaki itu dilanggar dan kemudian... kemudian apa ya? Tadi dia begitu takut sehinggakan dia menutup matanya sambil menekan brek kecemasan.
Pemandu itu berdiri melihat pada bonet depan keretanya. Banyak pasir yang bersepah di situ. Lantas dia mengelap pasir itu bersih dengan menggunakan tangannya. Akibat terlalu kalut mahu membersihkan keretanya, habuk pasir itu telah memasuki matanya.
"Aduh!"
Cepat-cepat dia menggosok-gosok matanya yang pedih itu agar kembali okay. Dan dia terus masuk ke dalam keretanya. Enjin kereta dihidupkan semula dan dia memandu pergi dengan seribu satu persoalan di dalam kepalanya.

* * *

Pintu loker ditutup dan dia berjalan memasuki ke ruangan kerjanya yang berada bangunan kilang di bahagian hujung di sebelah dalam.
"Eh, apesal dengan mata kau tu, Mi? Merah semacam je aku tengok? Tak pegi check kat doktor ke?"
Lelaki yang dipanggil Mi atau Suhaimi itu menenyeh-nenyeh matanya yang gatal itu dengan belakang tangannya. Dia memandang rakannya itu dan tersenyum nipis. 
"Takde apa la weh. Terkena pasir je tadi ni." 

No comments:

This is Hani