Wednesday, February 26, 2014

Cerpen: Butter Fly

Sofia dan Sufian adalah sepasang kembar yang berlainan rupa dan perangai. Sofia keluar awal 8 minit dari Sufian. Namun Sufian kerap kali menegaskan bahawa dialah yang paling tua, dialah abang kepada Sofia kerana dia percaya bahawa seorang abang atau kakak akan memberikan laluan kepada adiknya untuk keluar dahulu dari rahim ibunya. Ah, dasar orang yang tidak boleh terima kenyataan!
Satu hari, mereka keluar berjalan ke sebuah taman permainan. Debu-debu kelabu yang menjadi lantai taman itu dipijak dengan berhati-hati. Takut-takut terpijak besi tajam yang boleh melukakan kaki-kaki mereka. Minggu lalu, taman permainan itu habis musnah akibat terkena bedilan bom. Yang tinggal, cuma cebisan gelongsor dan pacakan tiang-tiang buaian.
Mereka berjalan sambil bersembang-sembang, buat menghilangkan sunyi. Sebuah beg kantung besar disandang di bahu masing-masing. Mereka mengimbau kenangan semasa mereka masih kecil waktu dulu. Di mana dunia masih aman dan tidak berperang dengan negara-negara lain. Kini, semua itu cuma kenangan. Sejarah. Semenjak perang terletus dua tahun lepas, mereka terpaksa hidup dalam keadaan yang daif dan sesak. Terpaksa pecah masuk rumah orang-entah-siapa, serta mencuri makanan di kedai serbaneka yang sudah ditinggalkan pemiliknya.
"Kau ada dengar radio pasal butter fly tu?" tanya Sufian setelah melabuhkan punggung ke atas kayu papan jongket.
"Ada. Kenapa?" jawab Sofia.
"Diorang kata butter fly tu keluarkan cecair manis. Aku teringin nak makan. Lama kita tak makan benda yang sedap-sedap. Asyik-asyik, kita kena makan..." Sufian memandang ke dalam beg kantungnya. "...baked beans, sardin, jagung tak pun cendawan dalam tin ni. Bosan la."
Sofia memandang tajam ke arah Sufian.
"Kenapa?" sergah Sufian.
"Kau tau kan diorang kata cecair tu bahaya! Kau tak dengar berita minggu lepas ke? Ada orang mati lepas makan benda tu," marah Sofia.
"Ala, makan sikit je. Bukan boleh mati pun," Sufian melawan.
"Suka hati kau la," kata Sofia dengan nada suara yang rendah. Seperti orang malas untuk turut campur.
Sofia lantas melangkah pergi meninggalkan Sufian terkulat-kulat di situ sebelum dia bangun dari duduknya dan mengejar langkah kakaknya itu.

***

Langkah diatur dengan berhati-hati apabila mereka masuk ke dalam semak tebal itu.
Untuk meneruskan hidup, mereka perlu mencari makanan sendiri, selain mengharapkan makanan yang diberi oleh pegawai-pegawai di base camp.
Sedang Sofia berjalan lebih dalam ke dalam semak itu, tiba-tiba dia menjumpai pokok pisang setinggi lebih kurang dua meter dan di pokok itu tergantung setandan pisang yang sudah menguning.
'Kalau aku bawak balik pisang ni ke base camp, sure diorang happy. At least, ada jugak makanan lain selain sup dan bubur tawar tu,' fikir Sofia.
Pisau yang terselit di pinggang ditarik keluar dan dia mengangkat pisau itu tinggi-tinggi agar dia dapat menetak batang tandan pisang itu.
Baru sekali tetakan, kedengaran suara Sufian memanggilnya.
"SOFIAAA!!!"
Tumpuan Sofia terganggu, namun ditolehkan juga kepalanya ke arah suara Sufian.
"Kenapa?" laung Sofia.
"Meh la sini jap!"
Sofia mendengus dan dia berjalan ke arah Sufian yang berada tidak jauh dari situ. Sampai di satu kawasan yang redup dipayungi sepohon pokok yang besar, Sofia berhenti. Kelihatan Sufian sedang bercangkung di bawah pokok itu.
"Apesal?"
Sufian yang masih duduk bercangkung itu menoleh sedikit dan menggamit Sofia untuk mampir dekat dengannya.
"Kau jangan nak main-main pulak. Jom, tolong aku potong tandan pisang kat sana."
"Sini la! Sedap la benda ni. Kau kena try."
Sofia berjalan mendekati Sufian.
"Apa benda tu?" tanya Sofia. Kepalanya terjulur ke kiri dan ke kanan untuk melihat 'benda sedap' yang dikatakan Sufian itu.
"Ni hah." Sufian bergerak ke tepi sedikit supaya Sofia dapat melihat benda yang maksudkan. Terdapat ketulan berbentuk segiempat seperti bentuk mentega dan sedikit cair di tepi-tepinya.
Sufian mencalit sedikit. Cecair likat itu bertali halus ketika Sufian mengangkat jarinya dan dijilat sedikit calitan di jarinya itu.
"Mmm... mmm... sedap! Manis dia... pergh! Kau kena try la," kata Sufian, teruja. Dia mencalit lagi dan disuapkan ke dalam mulutnya lagi.
"Kau jangan main makan je benda sedap camni. Mana tau racun ke apa, mana kita nak tau," Sofia memperingatkan Sufian.
Dia risau jika berlaku apa-apa yang tidak elok pada kembarnya itu. Nak-nak pula bila hidup di dunia pasca perang dunia seperti sekarang. Dia sajalah keluarga yang dia ada sekarang ini.
"Kalau kau tak nak, aku habiskan. Sedap ni! Rugi kalau dibiarkan camni je tau!" Sufian kembali menumpukan tumpuan dirinya pada cecair manis yang likat itu.
Sofia menjeling geram. Ketika dia memusingkan badannya untuk berjalan kembali ke pokok pisang tadi, dia terkaku. Matanya tertumpu pada sesuatu.
Seekor lalat gergasi sedang bertenggek di atas batu - dalam 3 meter dari Sofia - sambil memandangnya. Kepalanya terteleng-teleng ke kiri dan ke kanan. Sofia menguis kakinya pada lengan Sufian yang duduk membelakangkan lalat gergasi itu.
"Kau ni apesal main kuis-kuis orang ni?" marah Sufian kerana tindakan Sofia itu telah mengganggu dirinya untuk terus menjamah cecair manis itu.
"Tu... tu..." Suara Sofia cuma tersekat di rengkung.
Lalat gergasi itu sepertinya tidak berbahaya. Ia cuma memandang sekeliling dengan matanya yang besar itu. Kemudian, dia memusing-musingkan sedikit badannya dan - 'CRIIITTTT!!' - lalat gergasi itu telah 'membuang' sesuatu yang dia sangat kenal bentuknya. Dan lalat itu terus terbang meninggi meninggalkan mereka.
Cecair manis likat itu!
Sofia pantas menarik lengan Sufian dan bergegas mahu pergi dari situ.
"Eh, kau ni apesal? Tak nampak ke aku tengah ma--" Sufian terdiam ketika mereka melintasi cecair manis likat yang ditinggalkan oleh lalat gergasi tadi itu. "Eh? Ada lagi la!" kata Sufian dengan penuh keterujaan. Lalu dia merentap lengannya dari genggaman tangan Sofia dan duduk melutut di hadapan cecair manis likat itu.
"Kau jangan makan tu lagi, boleh tak?! Benda tu tak elok la!" marah Sofia. Dia berasa tidak sedap hati selepas dia melihat lalat gergasi dengan mata kepalanya sendiri.
Sufian mengabaikan kata-kata Sofia dan dia pantas mengeluarkan sebekas plastik lutsinar yang masih kosong dan dimasukkan ketulan yang likat itu ke dalam bekas itu. Bekas itu ditutup rapat dan dimasukkan semula ke dalam beg kantungnya.
"Serius aku rasa tak sedap hati tengok kau makan benda tu," luah Sofia sebelum dia berjalan keluar dari situ.

***

Malam itu, Sofia, Sufian dan beberapa orang yang duduk base camp itu berlonggok beramai-ramai di depan unggun api. Terdapat radio kecil yang menjadi penyampai berita terkini dunia. Begitulah mereka setiap hari, setiap malam.
Setelah penyampai radio menyampaikan keadaan semasa perang dunia, berita beralih pada berita amaran kepada penduduk dunia agar berhati-hati dengan serangga yang diberi nama 'butter fly' kerana najisnya yang berbentuk seperti mentega dan rasanya yang manis itu mampu membunuh manusia jika dimakan. Rupa butter fly itu juga diberitahu. Berbentuk seperti lalat tetapi bersaiz besar akibat terkena radiasi yang kuat membuatkan serangga itu berevolusi menjadi besar sehingga mencapai saiz seekor kucing dewasa.
Sofia tersentak. Info-info yang diberikan itu persis dengan apa yang dilihat siang tadi. Dia memandang Sufian yang sedang duduk tidak jauh darinya. Sofia yakin bahawa Sufian telah memakan najis butter fly itu. Dia juga yakin serangga gergasi itu adalah butter fly walaupun dia cuba untuk menafikannya.
Akhirnya, Sofia mengeluh dan tenggelam di dalam lamunannya sebelum terlena di kerusi malas itu.

***

Tiga hari berlalu, selama itu juga Sofia dan Sufian kerap ke hutan semak itu untuk mencari makanan. Sofia mencari buah-buahan yang tumbuh meliar di dalam semak itu, manakala Sufian pula mengambil 'bekalan' cecair manis yang likat itu sebanyak yang mungkin. Dia menjadi semakin ketagih dengan makanan yang entah dari mana datang itu. (Sufian masih tidak tahu itu adalah najis butter fly yang semakin kecoh di berita-berita radio tempatan mahupun di radio luar).
Sedang Sufian bercangkung untuk menyauk ketulan cecair likat itu masuk ke dalam bekas plastik lutsinar yang dibawanya, tiba-tiba perutnya terasa sakit yang mencucuk pedih.
"Aaarrgghhh!" Sufian mengaduh. Tangannya memicit perutnya.
Sofia yang muncul di celahan semak sambil membawa beberapa bekas plastik yang diisi dengan cendawan hutan itu berlari ke arah Sufian.
"Kau apesal ni? Okey tak?" tanya Sofia setelah dia duduk bercangkung di sebelah Sufian yang masih terkerut menahan sakit.
"Entah la. Aku rasa perut aku sakit sangat ni," beritahu Sufian.
Lantas Sofia memegang perut Sufian. Tangannya dapat merasakan ada sesuatu bergerak di dalam perut Sufian. Dia mereguk liur dan cuba untuk menenangkan dirinya.
"Jom, kita balik. Kat sana ada paramedik, dorang boleh check kau nanti," saran Sofia.
Sufian terangguk-angguk. Dahinya habis lencun dengan peluh. Mukanya semakin berkerut menahan sakit yang maha pedih itu. Badannya dipapah oleh Sofia sehingga mereka tiba di base camp.
Penduduk yang melepak berdekatan dengan pintu masuk base camp itu pantas berlari menghampiri mereka dan turut membantu Sofia untuk memapah Sufian ke khemah paramedik.
Mereka semua kalut kerana sebelum ini Sufian kelihatan normal. Tiada tanda-tanda sakit yang serius. Itu yang membingungkan mereka.
Sufian dibaringkan ke atas katil yang kosong dan dia diperiksa oleh dua pegawai paramedik yang bertugas. Sofia hanya memandang Sufian yang sedang meracau kesakitan. Sedih dia melihat keadaan Sufian ketika itu.
"Jangan risau, Sofia. Mungkin dia keracunan makanan je tu. Bagi kami check apa yang kami mampu dulu, okey?" pujuk Joe merangkap ketua paramedik di situ.
Sofia mengangguk. Matanya mula bergenang dengan airmata.
Tiba-tiba, Sufian batuk teruk. Seminit, dua minit lamanya. Darah mula mengalir keluar dari mulutnya. Paramedik terdekat mengambil sehelai tuala bersih dan mengelap darah yang keluar dari mulutnya itu. Paramedik sempat menekup mulut Sufian dengan tuala. Selepas batuknya berhenti, paramedik itu terkejut dengan apa yang dilihat melekat pada kain tuala itu.
"Err... Joe?" panggil paramedik itu. "Aku rasa kau kena tengok ni."
Joe menghampiri rakannya itu. Sofia juga teragak-agak untuk mendekat. Di atas tuala itu, terdapat beberapa ketulan darah beku dan juga beberapa ekor lalat kecil di dalam takungan darah itu. Lalat-lalat itu masih lagi hidup. Setelah sayapnya mulai mengering dari basah darah, ia mula terbang ke udara. Raut wajah Joe menjadi tidak keruan. Lantas dia menoleh pada Sofia yang berada di sebelahnya.
"Awak bagitau saya apa yang dia makan 2-3 hari kebelakangan ni. Ini bukan keracunan makanan lagi ni, awak tau tak?" tanya Joe secara mendesak.
Mata Sofia sekejap memandang ke arah Sufian yang terlantar lemah, sekejap lagi dia memandang ke arah Joe dengan perasaan yang serba-salah. Beg kantung kepunyaan Sufian yang disandang dari tadi dihulurkan pada Joe.
"Dia ada kutip something kat dalam semak tak jauh dari sini beberapa hari ni," cerita Sofia.
Joe membuka tali beg kantung itu dan dikeluarkan sebekas kecil lutsinar yang diisi dengan ketulan cecair likat di dalamnya. Raut wajah Joe menegang, lantas dia menggeleng perlahan.
"Kau tau tak apa benda ni?" tanya Joe secara berbisik.
Sofia menggeleng.
"Ni..." Joe menuding jarinya pada bekas lutsinar itu. "...benda ni la yang tengah kecoh kat radio sekarang. Taik butter fly," jelas Joe masih dengan nada berbisik. "Haih, nampaknya benda tu dah ada kat dalam area kita. Kita kena bagi warning kat semua orang!"
"Habis tu, macam mana dengan dia sekarang? Takde ubat untuk pulihkan dia?" tanya Sofia dengan suara yang merendah dan sekat-sekat sedu.
Joe menggeleng. "Telur butter fly tu ada kat dalam najis yang dibuang tu. Ya, memang najis butter fly ni rasanya macam makan madu. Manis dan sedap seperti yang diberitahu oleh mangsa-mangsa sebelum ni. Jika seseorang tu dah makan najis tu, harapanlah. Benda yang dimakan akan jadi parasit dalam badan orang tu. Organ dalaman akan dijadikan makanan and tunggu masa jela," jelas Joe panjang-lebar.
Sofia memejamkan matanya rapat-rapat. Dia tahu peratusan Sufian untuk hidup adalah tersangat tipis. Hampir tiada disebabkan tiada peralatan atau vaksin yang boleh digunakan untuk menghapuskan parasit yang berada di dalam perut Sufian itu.
Dari jauh, Sofia memandang sayu pada Sufian dan dia melepaskan keluhan berat.

***

Keesokannya, tubuh badan Sufian semakin mengering dan kulitnya pula seperti orang yang mengalami bisul dan keradangan kulit yang serius. Darah mulai keluar dari lubang-lubang luka dan lubang itu dijadikan 'laluan' untuk parasit yang menumpang di dalam tubuh Sufian itu untuk terbang keluar.
Batuknya juga tidak henti-henti sejak malam tadi. Batuk berdarah yang bercampur dengan beberapa ekor lalat kecil itu membuatkan tekaknya menjadi semakin perit. Penat kelelahan untuk terus batuk.
Di sebelahnya, Sofia duduk menemani Sufian yang semakin nazak. Dia mengangkat kepalanya memandang Sufian yang batuknya kian menjadi-jadi.
"Joe? Joe!" panggil Sofia.
Terkedek-kedek Joe berlari ke arahnya.
Sofia terkaku melihat beberapa ekor lalat kecil keluar dari rongga-rongga tubuh Sufian. Mulut, telinga, hidung dan luka-lukanya. Semakin banyak!
"What the...?" Joe juga terpegun.
Batuk yang semakin menjadi-jadi itu membuatkan Sufian kelelahan. Pada nafas terakhirnya, dia seperti orang tersedak air dan dari mulutnya yang ternganga luas itu berbondong-bondong lalat kecil menderu keluar dari mulutnya. Mengosongkan ruang perutnya yang kian mengempis.
Sofia pantas berlari ke arah Joe dan mereka di dalam khemah paramedik itu semua terkaku melihat kejadian itu. Ada juga yang tertunduk bersembunyi di bawah katil, takut dari diserbu oleh serangga kecil itu.
Setelah serangga itu keluar dari khemah tersebut dan terbang menghilang ke ruang udara, Joe dan Sofia kembali menatap Sufian yang sudah kaku di atas katil. Tubuh Sufian mengering, hanya tinggal kulit dan tulangnya sahaja. Luka-luka kecil menjadi besar akibat dijadikan laluan untuk serangga parasit itu tadi keluar dari tubuhnya. Sofia melangkah perlahan, mendekati mayat Sufian. Dan dia terduduk di hujung katil, menangis semahunya.
Joe menghampiri Sofia dan menggosok-gosok bahunya. Cuba menenangkan gadis itu dari terus bersedih.

***

Senjata yang tersusun di atas meja itu diambil. Satu persatu diperiksa. Kondisi dan peluru semuanya dalam keadaan yang baik. Kemudian, dihulurkan kepada Joe. Sofia melemparkan senyum pada lelaki itu.
Hari ini, genap 900 hari mereka berperang dengan serangga gergasi bernama Butter Fly itu. Semenjak Sufian mati, mereka nekad untuk terus memerangi serangga parasit itu.
Sebelum ini, mereka telah ke Zon A dan Zon B untuk memusnahkan tempat serangga itu membiak secara berkumpulan. Kali ini mereka perlu ke Zon C di mana terdapat 'sarang utama' serangga Butter Fly tersebut.
Sofia mencapai flamethrower dan bersedia untuk memulakan operasi.
"Are you ready?" tanya Sofia dengan suara yang penuh yakin.
Terkelip-kelip satu baris ayat di skrin.


- PLEASE INSERT COIN(s) PLAYER ONE -

Tuesday, February 04, 2014

Cerpen: Kidal 2.0

Masa aku kecil-kecil dulu, aku adalah seorang yang kidal. Menulis, melukis, pegang sudu makan, korek hidung, cebok berak (eh, ini mestilah!) – semua aku gunakan tangan kiri.  
Semuanya bermula pada ketika Abah membelikan aku sebuah buku mewarna dan sekotak pensel warna berjenama apa entah. Yang aku ingat, pada kotak itu mempunyai kartun buaya aligator berwarna hijau dan dan aligator itu memeluk dua-tiga batang pensel sambil tersenyum. 
Semasa aku asyik mewarna, Abah menghampiri dan menegurku, "Eh, baby Abah ni kidal yek?" 
Aku memandang Abah dengan penuh tanda tanya, "Kidal? Apa tu, Abah?" 
"Kidal tu buat kerja guna tangan kiri," jawab Abah sambil mengusap ubun-ubun kepalaku. 
Aku cuma mengangguk – tak ingat aku terus faham atau tidak pada perkataan ‘kidal’ itu – dan aku menyambung mewarna semula. 
Beberapa tahun kemudian, aku dimasukkan ke sekolah Tadika untuk budak berumur 5 tahun. Di situ, aku berkenalan dengan ramai kawan baru. Apabila kelas pertama bermula, aku duduk belajar bersama rakan sekelas. 
Semuanya berjalan normal sehinggalah pada satu hari, cikgu menyuruh kami untuk mengajuk setiap perkataan yang dia tulis di papan putih. Kemudian, kami diajar bagaimana untuk menulis setiap huruf untuk perkataan tersebut. 
Aku masih ingat pada hari itu kami belajar untuk mengeja, menulis dan melukis gambar ayam dan bola.
Cikgu menyuruh kami membuka buku tulis dan menulis A-Y-A-M  dan B-O-L-A yang tertera di papan putih dan diulang-tulis sebanyak 10 kali setiap perkataan. Sambil itu, cikgu berjalan mengelilingi kami untuk membantu kami yang masih tidak faham dan tidak tahu untuk melukis. 
Sampai saja pada giliranku, kening cikgu terkerut. 
"Awak ni kidal ye?" tanya Cikgu Ummi.
Aku mengangguk. 
"Saya nak awak menulis guna tangan kanan, boleh? Tak elok guna tangan kiri ni," tegur Cikgu Ummi.
Ketika itu, semua rakan sekelasku memandangku seperti aku telah melakukan satu kesalahan besar di muka bumi ini. Aku mereguk liur. Perlahan-lahan, aku mengalihkan batang pensel dari tangan kiri ke tangan kanan. Dan aku mula menulis – buat pertama kalinya – menggunakan tangan kanan. 
Menggigil juga tanganku ketika itu. Aku dapat rasakan tanganku tidak cukup kuat untuk menggerakkan batang pensel dan menulis perkataan yang cikgu suruh itu. Apabila sudah selesai menulis sebaris, Cikgu Ummi memujiku “Bagus!” dan beralih ke rakanku yang lain pula. 
Fuh, berpeluh telapak tangan kanan aku! 
Aku berkira-kira untuk menulis menggunakan tangan kiri semula. Namun, apabila aku mahu mengalihkan pensel tersebut ke tangan kiri dan mula menulis, rakanku yang duduk di meja sebelahku menjerit. 
"Cikgu! Mira tulis tangan kiri, cikgu!" 
Ah, cilaka! Kaki report lah pula budak sebelah aku ni. 
Cikgu itu pantas menoleh ke arahku dan berkata, "Kan saya dah kata, belajar tulis guna tangan kanan." Suaranya kedengaran tegas. 
Sekali lagi, aku menjadi tumpuan kelas. Cikgu Ummi pula masih memandangku dengan matanya yang terjegil bulat. Selagi aku tidak menulis menggunakan tangan kanan, selagi itulah dia akan terjegil sebegitu. Tak penat ke?
Jadi, aku yang tidak berani untuk melawan ketika itu pun terus mencapai pensel menggunakan tangan kanan dan teruskan menulis. Begitulah kehidupan aku di tadika yang sering dimarah kerana menulis menggunakan tangan kiri.
Sampai saja di rumah, aku menghampiri Abah sambil membawa buku latihan bersama. Aku duduk di sebelah Abah yang sedang membuat kerjanya.
“Baby Abah harini okey tak belajar?” tanya Abah seperti selalunya.
Aku mengangguk sambil membuka buku mengeja dan mewarna itu.
“Abah…” panggilku.
“Hmm?”
“Salah ke menulis guna tangan kiri?” tanyaku inginkan jawapan dari Abah. 
Masa tu aku bengap lagi tentang betul-salah. Bagi aku – pada masa tu – kalau orang kata apa yang aku buat tu salah, maka masuk penjara la yang aku nanti. Aku jadi takut. 
Aku lihat Abah tersenyum dan mengusap ubun-ubunku. “Siapa cakap salah? Mana ada salah. Orang kidal ni unik,” beritahu Abah.
Aku menjadi keliru. Jadi aku menceritakan apa yang berlaku di tadika tadi. Abah tergelak dan berkata, “Takpe la. Baby belajar la menulis guna tangan kanan. Nanti boleh menulis guna dua-dua tangan. Penat tangan kiri, boleh guna tangan kanan pulak. Kalau orang kidal tu unik, orang yang boleh guna tangan kiri dan kanan untuk buat kerja ni luarbiasa, lebih dari unik!”
Aku mengangguk faham.
Selepas kejadian itu, aku masih lagi menulis menggunakan tangan kiri. Cuma kadang-kadang, aku belajar untuk membiasakan diri untuk menulis menggunakan tangan kanan sama. 
Selama setahun aku berada di tadika itu, akhirnya aku berpindah masuk ke tadika untuk umur 6 tahun pula. 
Semasa kelas bermula, seperti biasa, kami disuruh untuk menulis beberapa perkataan mudah untuk sesi mengeja dan menulis. 
Aku dengan yakinnya, menggunakan tangan kanan untuk menulis. Aku takut kalau-kalau Cikgu Zura itu marah jika aku menulis menggunakan tangan kiri seperti Cikgu Ummi dulu. Selesai giliranku, kini giliran rakan di meja sebelahku pula. Apa yang membuatkan aku terpegun, budak itu menulis menggunakan tangan kiri. Macam aku la weh! Namun, budak tersebut tidak dimarahi oleh Cikgu Zura.
Aku tersenyum lebar. Aku mula mencapai pensel dan mula menulis menggunakan tangan kiri semula. 
Ya, begitu asyik sekali apabila batang pensel itu bertemu dengan tangan kiri semula. Seperti Mario mendapat cendawan hijau. One life up!
Tapi disebabkan aku sudah mula pandai menggunakan tangan kanan untuk menulis, melukis, korek hidung, kecuali cebok berak, aku dapat rasakan yang aku ini lebih istimewa ketika itu. 
Aku menggunakan saranan Abah; apabila aku penat menulis menggunakan tangan kiri, aku sambung menulis menggunakan tangan kanan.
Kini aku sudah menjejakkan kakiku di sebuah kolej. Rakan-rakan sekelasku sering cemburu dengan kelebihanku yang boleh menggunakan kedua-dua tanganku untuk menulis. Terngiang-ngiang kata-kata Abah sewaktu aku tadika dulu. “Orang kidal ini unik. Kalau orang yang boleh guna tangan kiri dan kanan untuk buat kerja ni pula luarbiasa, lebih dari unik!”

Jadi, jangan takut untuk menjadi sedikit pelik dari biasa sebab pelik itulah yang unik. Tapi jangan pelik yang melampau sangat. Nanti korang kena cop gila, aku tak tau. 

Wednesday, January 22, 2014

Kenapa Awak Hulur Duit Cara Orang Cina?

Selalunya kalau aku bercerita je mesti benda-benda fiksyen je kan? Kali ni aku nak cerita benda betul lak. Kejadian ni berlaku baru je petang tadi semasa aku sedang bekerja.

Bagi salesgirl/salesboy mesti ada jumpa macam-macam ragam customer. Ada yang pelik, ada yang menjengkelkan, ada gak yang biasa-biasa je. Tapi apa yang aku lalui hari ini, membuatkan aku rasa... entahlah!

Tengah dok melepet jaga kiosk sambil baca komik, datang la sorang pakcik ni. Datang usha-usha buku. Masa nak bayar tu - macam biasa la - dia letak buku kat kaunter dan aku kira. Dan perbualan kami berlaku lebih-kurang seperti dalam strip komik kat bawah ni...

...aku memang terdiam habis! Pakcik tu siap bagi lecture kat aku lagi.

"Kenapa awak ikut cara orang Cina?"
"Kita orang Melayu ada cara kita sendiri."
"Awak tau tak... (bla bla bla)... (masa ni aku dah tekan naik 'power-window' aku dari bebelan pakcik tu)."

Aku cuma tak faham, kenapa perkara yang macam tu pun boleh jadi isu. Dan aku tak tau pulak, nak hulur duit ni pun ada cara Cina, Melayu, India bagai. Hmm... entahlah.


Saturday, January 18, 2014

Cerpen: Kerja Syif Malam

Nama aku Faisal. Aku baru saja habis menduduki peperiksaan SPM dua minggu lepas. Sekarang, aku bekerja sementara di Kedai Serbaneka Pak Ali yang beroperasi 24 jam ala-ala 7-Eleven tu. Kedai ni kat area perumahan aku je, pergi pun takat berjalan kaki pun takde hal punya.
Kat sini, kami bekerja bertiga saja – aku, Bro Mamu dengan Pak Ali sendiri. Kadang-kadang, anak bujang Pak Ali pun ada datang untuk turut membantu kami. Okay la kerja kat sini. Tak busy sangat, tak melenggang sangat. Siap sempat nak bergurau lagi.
Namun setelah seminggu lebih aku bekerja di sini, aku diarahkan untuk bekerja pada syif malam. Agak teruja jugak sebab aku tak pernah lagi bekerja pada waktu malam. Jadi pada hari itu, aku bersiap awal dan tiba di kedai Pak Ali tepat jam 11 malam – satu jam sebelum waktu kerja syif malam bermula. Terlebih eksaited gamaknya.
Sementara itu, aku melepet di dalam bilik stor yang terletak di belakang kedai. Sambil-sambil itu, aku tolong Bro Mamu menyusun kotak-kotak dan stok jualan yang baru saja tiba pada malam itu ke rak-rak yang tersedia ada di situ.
Sedang aku berdiri megah sambil mencekak pinggang di depan rak yang tersusun stok-stok baru itu, nama aku dipanggil.
“Sal? Faisal!” panggil Bro Mamu.
Aku pantas menoleh memandang Bro Mamu yang berdiri di muka pintu bilik stor. “Ye, bang?”
“Dah pukul 12 ni. Aku nak check-out dah ni. Tapi sebelum tu, aku nak check apa yang patut dulu sebelum balik. Kau leh stay kat kaunter kejap tak? Jaga depan,” pinta Bro Mamu. Di tangannya terdapat beberapa helai kertas dan jarinya terselit sebatang pen.
“Okey, okey,” jawabku sambil mengangguk perlahan. Kemudian, aku berjalan keluar dari bilik stor.
“Eh, jap.” Bro Mamu menarik lenganku semasa aku melintasi di sebelahnya.
“Err… kenapa, bang?” tanyaku dengan teragak-agak.
“Kau betul okey kerja syif malam ni?” tanya Bro Mamu meminta kepastian.
Aku memberikan senyuman dengan penuh keyakinan. “Okey la, bang. Jangan risau la.” Aku menjempolkan ibu jariku – thumbs-up!
Bro Mamu mengangguk dan terus berjalan masuk ke dalam bilik stor.
Tanpa berlengah lagi, aku pantas melangkah ke kaunter depan yang menempatkan cash register. Aku mengerlingkan mataku ke jam digital yang terpampang di atas meja kaunter – 12:16.
Untuk menghilang rasa bosan – sebab tak ada orang pada masa itu – jadi aku mencapai sebuah komik di rak buku dan membacanya.
Selak, selak, selak – tiba-tiba aku ternampak satu tangan kecil meletakkan satu bar gula-gula Sugus perisa strawberi ke atas kaunter. Fuh, terkejut jugak la aku! Setahu aku, selain aku dan Bro Mamu – memang tak ada sesiapa yang ada di dalam kedai. Bunyi pintu ditolak pun tak dengar tadi.
Ah, mungkin aku dok syok baca komik ni tadi sampai tak perasan ada orang dalam kedai kot.
Aku cuba untuk bersangka baik. Jadi, aku pun berdiri untuk melihat siapa empunya tangan itu tadi.
Seorang budak perempuan berbangsa Cina – memakai gaun biru lembut berenda putih krim, serta mengikat rambutnya gaya ponytail – dia berketinggian sama dengan kaunter itu tersenyum ke arahku.
“Ini je, dik?” tanyaku.
Budak perempuan itu mengangguk.
“Seringgit dua puluh sen.”
Budak perempuan itu menghulurkan dua helai wang kertas. Aku mencapai wang kertas itu. Aku memandang wang kertas itu dan mengeluh.
Kalau dia hulur duit Saidina, aku boleh layan lagi. Tapi ni…
Kemudian, aku memandang ke arah budak perempuan itu kembali.
“Adik ni ada duit ke tak sebenarnya ni? Jangan main-main la,” aku sedikit marah tapi tidak meninggikan suaraku – masih kedengaran biasa-biasa saja  takut budak tu sentap. 
Aku menghulurkan kembali ‘wang kertas’ itu kepada budak perempuan itu semula.
“Tapi saya ada duit tu je, bang,” jawab budak perempuan itu lagi.
Aku mengeluh lagi, kemudian aku berjalan keluar dari ruangan kaunter dan berdiri di hadapan budak perempuan itu. Aku menundukkan sedikit badanku.
“Adik… ni bukan duit betul.” Aku menunjukkan ‘wang kertas’ yang diberikan tadi dan melayangkan ia tepat di hadapan muka budak itu. “Ni duit yang orang dok bakar untuk orang mati tu, adik tau tak?” Kemudian, aku menghulurkan lagi sekali ‘wang kertas’ itu kepada budak perempuan itu. “Mana parents adik? Mintak duit kat diorang kalau betul adik nak gula-gula ni. Duit betul tau, bukan duit ni,” pesanku lagi.
Budak perempuan itu mengambil ‘wang kertas’nya itu dan memandangku dengan wajah yang sayu. “Tapi parents saya yang bagi duit ni kat saya tadi…” Matanya bergenang airmata.
Tiba-tiba, kedengaran pintu kedai dibuka. “Melly? Kenapa lambat sangat ni?”
Budak perempuan itu pantas menoleh ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya aku melihat… budak itu menoleh ke belakang dengan lehernya yang berpusing 180 darjah!
“Shi—!” Aku terus terjelepuk jatuh. Di depan ku – selain budak perempuan kepala-berpusing-180-darjah itu – berdiri seorang lelaki yang kepalanya sudah hancur tersepai sehingga menampakkan isi otaknya!
“Apesal lambat ni? Mama dah bebel tunggu lama sangat dalam kereta tu tau!” bebel lelaki otak bersepai itu.
“Abang ni… dia tak nak amek duit ni,” rengek budak perempuan itu – masih dengan kepalanya yang dipusing 180 darjah itu.
“Faisal? Kau okey ke tak ni?” tanya Bro Mamu setelah keluar dari bilik stor. Dia pantas menghampiri dan cuba membantuku untuk kembali berdiri semula.
Aku memang terdiam habis masa ni. Aku tengok budak perempuan dengan lelaki tu masih ada kat depan mata ni tapi Bro Mamu ni macam rileks je. Dia nampak ke tak ada dua hantu kat depan ni?
“Eh, uncle! Ada yang boleh saya bantu?” tegur Bro Mamu.
Kepala budak perempuan yang berpusing 180 darjah itu kembali dipusing menghadap ke depan. Matanya memandang ke arah Bro Mamu.
Masa ni, aku dah mula rasa pelik bertambah cuak didarabkan dengan takut. Walaupun Bro Mamu dah tolong aku berdiri tadi, aku rasa macam nak tumbang lagi sekali sebab dah terlalu takut dengan apa yang berlaku sekarang. Tapi, Bro Mamu – dengan selambanya – telah  berjalan menghampiri budak kepala-berpusing-180-darjah dan lelaki otak bersepai tu.
“Sorry la, uncle. Dia ni budak baru maa. Dia tak tau apa-apa tau. Jangan kasi dia takut macam ni la,” kata Bro Mamu sambil menepuk-nepuk bahu lelaki otak bersepai itu. Kemudian, dia beralih kepada budak perempuan itu semula. “Nak gula-gula Sugus, kan?”
Budak perempuan itu tersenyum manis dan mengangguk laju.
Bro Mamu mengambil satu bar gula-gula Sugus perisa strawberi yang berada di atas kaunter dan dihulurkan kepada budak perempuan tersebut. Budak itu pantas menghulurkan ‘wang kertas’nya dan Bro Mamu mencapainya.
“Terima kasih, Abang Mamu!” ucap budak perempuan itu dengan gembira dan dia terus berjalan keluar dari kedai tersebut.
“Saya pergi dulu haa,” kata lelaki otak bersepai itu. “Next time, tamau lambat-lambat lagi okey? Nanti itu bini marah woo.” Dan dia terus berjalan keluar dari kedai itu, meninggalkan aku yang sedang kebingungan dengan apa yang berlaku sebentar tadi.
Selang beberapa minit – setelah aku kembali normal dan stabil – aku menghampiri Bro Mamu yang sedang menulis sesuatu pada buku log di kaunter.
“Bro, benda tadi tu… betul-betul jadi ke apa?”
Dengan muka yang serius Bro Mamu menjawab, “Benda apa?”
Lama Bro Mamu merenungku dengan mata yang tajam dan wajah yang serius, membuatkan aku berasa semakin cuak. Takkanlah Bro Mamu nak bikin flashmob malam-malam buta  kat kedai serbaneka tepi jalan macam ni, dan mangsanya hanya aku sorang je? Impossible~
“Pfftt~” Bro Mamu melempiaskan tawanya. Selepas tawanya mereda, dia kembali menatapku. Dengan suara yang merendah, dia berkata, “Kau kena kuatkan semangat kau bila kerja syif malam kat sini. Yang tadi tu, keluarga Melly. Budak tu dengan family dia mati eksiden dekat jalan depan sana lepas diorang singgah ke kedai ni. Apa yang berlaku tadi tu, macam ulang-tayang apa yang berlaku kat diorang.”
Aku mengangguk faham.
“Selain tu, takde perkara lain ke?” mulut capoiku bertanya.
“Kau tau kan tapak bangunan ni asalnya tanah bekas lombong?”
Aku mereguk liur.
“Kalau kau berani, kuatkan semangat kau, diorang buat kacau macam mana pun kau tak layan, sure okey punya. Normal la kalau kau ada dengar pintu terbuka tapi takde orang masuk tu.” Bro Mamu menguntumkan senyum. Sedikit-sebanyak membuatkan kecuakkan ku semakin menghilang walaupun ketakutanku semakin membiak penuh dalam diri.
“Okey la.” Buku log ditutup dan diletakkan di laci bawah kaunter. “Abang balik dulu la. Kalau rasa sunyi sangat, buat la apa-apa. Hujung blok ni kan ada kedai makan, kalau lapar jangan lupa makan pulak,” pesan Bro Mamu panjang lebar.
Aku mengangguk lagi. Kali ini, ditambah dengan sedikit ketar. Aku serius cuak kalau apa-apa jadi kat aku lagi lepas ni.
Sejak Bro Mamu melangkah keluar dari kedai, aku asyik terfikir: macam mana untuk aku handle kalau terjadi lagi perkara seperti tadi? Koman-koman, aku masih ada 7 jam untuk habis syif kerja.
Aku kembali membelek buku komik yang aku capai tadi. Selepas dibelek satu persatu mukasurat, tiba-tiba terdengar seperti orang berbual serta kedengaran bunyi pintu peti minuman dibuka dan ditutup beberapa kali.
Aku cuba untuk menumpukan perhatianku pada pembacaan tapi setelah bunyi buka-tutup peti minuman tu berhenti, kedengaran bunyi tin berlaga pula.
Takpe la. Korang shopping la puas-puas. Aku nak baca komik kat sini.
Kemudian, aku tak mendengar apa-apa lagi sebab aku sudah menyumbat telingaku dengan earphone  layan lagu sambil membaca komik  sehinggalah ada sesuatu yang menghentam atas meja kaunter dengan kuat sekali.
Aku terkejut sampai tercampak buku komik yang dibaca dan terus berdiri. Aku memandang sesusuk tubuh yang tinggi dan besar di hadapanku. Namun, ada sesuatu yang kurang di situ.
“Dik, ada jual gam yang kuat tak?” tanya susuk tubuh besar itu.
Namun, suaranya  itu seperti berada di bawah. Seperti betul-betul berada di atas meja kaunter itu. Aku terus menurunkan pandanganku ke arah itu. Terdapat satu kepala di situ dan wajahnya mengukir senyuman manis.
“Kemarin abang beli selotep, tapi kepala abang dok asyik tercabut je. Boleh bagi gam UHU ke gam gajah ke… kasi yang kuat sikit la. Mana tau boleh lekat lama sikit,” kata kepala itu lagi.
Ketika itu, bukan setakat kaki ni saja, tangan, badan, hati, jantung… semua rasa macam dah lemau semacam. Kejap lagi sure tumbang ni. 
Haaah… nampaknya aku kena cari kerja lain la lepas ni…
Dan aku terus pengsan akibat ketakutan. 

Wednesday, December 25, 2013

Cerpen: Rahsia Dunia Sebelah

Hampir tiga jam Mona duduk di kerusi itu dengan badan yang menegak. Sambil itu, dia menulis pada kertas laporan dan kemudian dia melihat semula ke dalam mikroskop melalui lensa okuler. 
Mona lantas menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Dia menekup mukanya dan melepaskan keluhan berat. Dia termenung jauh. Di dalam hati, ingin saja dia menjerit sekuat hatinya untuk melepaskan tension.
Semenjak Mona perlu mengendali dalam membuat penyelidikan untuk mencari penawar penyakit genetik iaitu Lupus Eritematosus Sistemik atau dikenali sebagai SLE, Mona terasa dirinya dihempap dengan seketul batu besar di kedua-dua bahunya. Dia tahu pekerjaan ini sia-sia. Tak mungkin dia dapat menemui penawarnya. Semua orang tahu penyakit itu tiada ubatnya.
Mona mengeluh lagi. Dia memicit-micit kepalanya.
“Tak balik lagi, Mona?” sapa Revathy.
Mona menoleh ke arah Revathy yang sedang mengemas ruang kerjanya.
“Kejap lagi kot,” jawab Mona, ringkas.
“Balik la. Rehat. Kau ni kerja kuat sangat. Nanti sakit, susah,” tegur Revathy sambil menghampiri Mona. Tangannya menggapai bahu Mona.
Mona sekadar mengangguk kecil.
“Esok cuti, kan? Jangan risau la. Nanti kita mesti jumpa cara untuk dapatkan penawar penyakit ni.”
Revathy mengukir senyum. Diharapkan senyuman itu mampu membuatkan sahabatnya itu ceria semula walaupun sedikit.
“Aku balik dulu tau.”
Revathy berjalan semula ke mejanya dan mencapai beg tangannya.
Take care, Vathy.”
And you too.”
Revathy terus keluar dari bilik itu dan Mona kembali menyandar pada kerusi. Jam di tangan ditilik.
'Patutlah... dah nak pukul 10 malam rupanya.'
Mona lantas mengemas segala kertas laporan yang berselerak di atas meja. Beberapa slaid kaca yang diisi dengan pelbagai jenis spesimen itu diletakkan ke dalam piring petri. Kemudian, piring petri itu dimasukkan ke dalam peti sejuk untuk disimpan buat sementara.
Esok adalah hari cuti. Dan semua peralatan di dalam ruangan makmal mini itu perlu diperiksa. Suis mikroskop yang diguna tadi ditutup. Mona mencapai beg tangannya dan bergegas ke pintu keluar.

*****

Cuti hujung minggu kali ini, Atuk Husin datang ke rumah. Katanya ada sesuatu yang dia mahu ceritakan padanya. Sambil itu, bolehlah dia berjalan-jalan di kota Kuala Lumpur setelah hampir 50 tahun dia berpindah keluar dari hutan batu itu.
Selesai makan tengahari, Atuk Husin yang sedang duduk di ruang tamu itu memanggil Mona dengan suaranya yang mendatar.
“Ya, Atuk?”
Mona berjalan menghampiri Atuk Husin.
“Mari sini, Atuk ada benda nak bagitau.”
Mona duduk di sofa berhadapan dengan Atuk Husin. Dia hanya memerhati Atuk Husin dengan penuh tanda tanya.
“Haritu kau kata nak tolong orang sakit kan? Cari ubat untuk diorang, betul?” tanya Atuk Husin.
Mona hanya menjawab dengan anggukan perlahan.
“Atuk ada benda nak tunjuk kat kau. Tapi ingat, ni rahsia kita-kita je tau!” Atuk Husin memberi amaran keras walaupun suaranya kedengaran lembut.
Sekali lagi, Mona mengangguk.
Atuk Husin mengeluarkan buku jurnalnya dari beg yang dibawa. Diselak setiap helai satu persatu dan akhirnya dia berhenti. Dia menghulurkan jurnalnya pada Mona. Pada kertas yang sudah bertukar kekuningan itu tertulis formula kimia, nota-nota kecil dan lukisan sekuntum bunga yang pelik bentuk kelopaknya. Kelopaknya berlapis-lapis dan teksturnya kelihatan lembut jika dipegang. Lukisan itu juga diwarnakan agar ia kelihatan kemas dan mudah dikenali.
“Bunga apa ni, Atuk?”
“Atuk namakan bunga ni sebagai Kukka Sairaudet. Bunga ni boleh merawat penyakit yang kau cari tu. Tapi...”
Mona memandang Atuk Husin dengan perasaan ingin tahu.
“...kau kena usaha sikit. Atuk jumpa bunga ni pun, kebetulan. Masa tu, Atuk jalan-jalan ke situ. Kemudian, terjumpa. Disebabkan bentuk bunga ni Atuk tak pernah nampak, Atuk amek. Atuk kaji.”
Mona memandang Atuk Husin dengan tidak percaya akan cerita itu.
“Atuk ni dulu macam kau jugak. Tapi Atuk kaji bunga-bunga dan tumbuhan untuk dibuat ubat secara tradisional.”
Mona merebahkan pandangannya pada jurnal Atuknya.
“Tapi Atuk tak pernah bagitau pun?”
Atuk Husin tergelak kecil.
“Atuk terpaksa simpan rahsia ni. Tempat tu bukan kat dunia kita, tapi kat dunia ‘sebelah’ sana. Masa Atuk jumpa tempat tu dulu, Atuk muda lagi. Ayah kau pun kecik lagi,” cerita Atuk Husin lagi. “Kalau kau nak pergi ke sana, hati-hati. Dah jumpa nanti, jangan amek banyak-banyak. Cukup untuk bekalan kau buat penawar tu je, okay?” pesan Atuk Husin.
Mona mengukir senyum dan mengangguk perlahan.

*****

Mona menguakkan pintu makmal dengan perlahan. Dia masuk ke dalam diiringi dengan Revathy. Mereka meletakkan beg mereka di meja masing-masing. Sementara menunggu rakan sepasukan yang lain, mereka menghidupkan suis lampu, air-cond dan beberapa peralatan yang akan digunakan nanti.
“You ada apa plan tak weekend ni?” tanya Mona sebagai pembuka bicara pagi.
Mata Revathy terkelip-kelip, mulutnya diherot ke kiri dan ke kanan, cuba mengingatkan sesuatu.
“Mak aku nak datang rumah la weekend ni. Kenapa?”
Mona menggeleng perlahan. Niatnya adalah untuk mengajak Revathy mencari bunga Kukka Sairaudet itu bersama. Nampaknya, Mona terpaksa pergi seorang diri pada hujung minggu nanti.
“Tak ada apa la, Vathy. Tanya je.” Mona melemparkan senyum.
Revathy tergelak kecil.
You ni, Mona... ada-ada je.”

*****

Hari minggu kembali lagi. Setelah menyiapkan beberapa persediaan makan dan minum serta peralatan first-aid kit, Mona bergerak seawal pagi dan tiba di kaki Bukit Broga pada jam 6.30 pagi.
Setelah hampir satu jam dia memanjat Bukit Broga bersama sekumpulan pelajar yang juga kebetulan tiba di situ bersamanya, akhirnya dia tiba di puncak Bukit Broga. Sekumpulan pelajar tadi teruja kerana dapat melihat keindahan pagi di puncak bukit itu. Namun Mona punya rancangan lain.
Dia berjalan menghampiri laluan masuk ke kawasan hutan yang menghala ke Gunung Tok Wan. Dia memandang ke kiri dan ke kanan.
Tak ada orang.
Mona terus menyusur ke laluan lain, tidak mengikut laluan denai yang ada di situ.
Kata Atuk Husin, laluan masuk ke ‘dunia sebelah’ berada di antara Bukit Broga dan laluan masuk ke Gunung Tok Wan.
Mona mengikut lakaran peta yang dilukis oleh Atuk Husin tempoh hari. Diharapkan laluannya masih sama kerana ketika Atuk Husin pergi ke sana dulu adalah pada tahun 2012. Kini sudah tahun 2062.
Sedang Mona berjalan merentasi sebatang pokok besar, tiba-tiba jalan itu menembusi ke tanah lapang yang ditumbuhi lalang yang berwarna biru.
Mungkin ini ‘dunia sebelah’ yang Atuk Husin katakan.
Mona berjalan lagi mengikut peta. Ketika dia hampir dengan kawasan bunga yang dicari, Mona terkejut dan terlopong. Kawasan itu tidak seperti yang dikatakan oleh Atuk Husin. Namun tempat itu telah dibina beberapa pondok. Di sekitarnya juga tidak bersemak-samun seperti yang diceritakan Atuk Husin.
Sesusuk tubuh kurus tinggi menghampiri Mona. Bentuk wajahnya lonjong. Matanya di sebelah kanan seperti besar membengkak, manakala mata kirinya pula mengecil seperti buah ceri mengecut.
“Siapa kau?” tanya makhluk itu.
“M-Mo-Mona,” jawab Mona dengan suara yang bergetar.
“Aku Silmat. Sana itu Aivot dan yang itu pula Kasvot.” Silmat menuding jarinya pada dua rakannya.
Aivot adalah makhluk seperti manusia kerdil, namun kepalanya yang berlubang itu menampakkan bentuk otaknya yang berwarna kuning. Badannya pula kecil dan sedikit bongkok. Makhluk bernama Kasvot itu pula berbadan gempal bulat dan kulitnya mempunyai kesan tampal-tampal seperti Frankestein.
Lambat-lambat, dua makhluk yang bersembunyi itu keluar dan menghampiri mereka berdua.
“Jangan risau. Kami cuma pelik. Sebelum ni kami jarang melihat makhluk seperti kau berada di sini. Terakhir kali... mungkin berpuluh tahun dahulu. ”
“Ya, betul. Di sini, cuma kami bertiga saja.”
Mona memandang sekeliling. “Mana yang lain?”
“Kami lari dari kampung. Kampung kami telah diserang oleh makhluk jahat. Mereka mahu meluaskan jajahan mereka,” cerita Kasvot.
Mona mengangguk dan terdiam.
“Marilah kita ke pondok ku. Kita boleh makan-makan,” pelawa Kasvot.
“Ya, mari ke pondok ku. Kita boleh minum-minum,” pelawa Aivot.
“Ke pondok ku juga. Kita boleh bersuka-ria,” pelawa Silmat sambil berjoget menggoyangkan badannya.
Mona tertawa kecil melayan karenah ketiga-tiga makhluk pelik itu.
“Baiklah, baiklah.”
Ketiga-tiga makhluk tadi mengiringi Mona. Sampai di tanah lapang berhadapan sebuah pondok berwarna oren, mereka berhenti.
“Ini pondok aku, biar aku keluarkan makanan. Kita makan di sini.”
Kasvot pantas berlari masuk ke dalam pondoknya.
“Di sebelah sana itu pondok aku. Biar aku keluarkan minuman. Kita minum di sini.”
Aivot pula berlari masuk ke dalam pondoknya yang terletak bersebelahan dengan pondok Kasvot.
Mona memandang pada Silmat.
“Lepas makan dan minum nanti, kita boleh bersuka-ria!” kata Silmat sambil menggoyangkan badannya lagi.
Mona tertawa kecil dan mengukir senyum pada makhluk itu.

*****

Semenjak Mona berada di ‘dunia sebelah’ ini, dia merasakan peralihan masa di situ beransur amat pantas. Tahu-tahu saja, hari sudah semakin gelap ketika dia selesai menjamu selera.
Dan kini, ketiga-tiga makhluk pelik itu sedang bersuka-ria sambil berdansa entah tarian apa dipersembahkan pada Mona. Mona sekadar bertepuk tangan memberikan rentak untuk mereka menari.
Tak lama kemudian, mereka berhenti dan duduk berhampiran dengan Mona.
“Begini la kami setiap hari. Kami bangun, cari makanan di hutan, kemudian kami makan dan setelah selesai, kami akan bersuka-ria sebelum kami masuk tidur,” kata Silmat.
Aivot dan Kasvot cuma mengangguk mengiyakan kata-kata Silmat.
“Kami sudah mahu tidur. Kalau kau mahu tidur, kau boleh baring di situ.” Kasvot menuding pada sebuah pondok kosong tidak berdinding berhampiran dengan tempat mereka duduk sekarang. “Pondok itu selalu kami buat untuk duduk melepaskan lelah setelah pulang dari hutan.”
Mona menoleh pada pondok tersebut dan mengangguk faham.
“Kamu semua tidur la. Mesti penat kan?”
Ketiga-tiga makhluk itu mengangguk dan mula bangun dari duduk. Mereka berjalan pulang ke pondok masing-masing untuk tidur.
Setelah mereka hilang di sebalik dinding pondok mereka, Mona melihat jam di tangan. Baru jam 12:15 pagi di dunia sebenar. Patutlah dia masih belum mengantuk. Mona mencapai beg galasnya dan mengeluarkan jurnal milik Atuk Husin. Dia menyelak halaman bunga Kukka Sairaudet.
Baik aku cari bunga ini sebelum mereka jaga. Nanti apa pulak kata mereka kalau aku tak ada kat pondok ni.  
Mona lantas bangun sambil memakai beg galasnya dan mula berjalan mengikut lakaran peta berpandukan lampu picit kecil yang dibawanya.

*****

Bunga Kukka Sairaudet yang berwarna merah keunguan sebesar bunga raya di atas bukit itu dilihat dengan mata yang penuh dengan sinar harapan. Pantas dia berlari mendekati pohon renek itu.
Dengan berpandukan peta lakaran Atuk Husin, kini Mona berjaya mencari penawar untuk penyakit SLE. Penyakit yang sedang dihidapi oleh ramai orang di Malaysia, bahkan di dunia samada mereka sedar atau tidak. Dia perlu menyelamatkan pesakit yang menderita penyakit itu. Dia tidak mahu penghidap penyakit SLE ini mati seperti ibunya yang meninggal ketika usia muda.
Disebabkan tahap imunisasi tubuh pesakit SLE adalah rendah, penyakit lain mampu menyerang mereka terutamanya pada organ buah pinggang dan hati.  
Beberapa kuntum bunga Kukka Sairaudet dipetik dan dimasukkan ke dalam bekas plastik. Mona juga sempat memotong sedikit batang pohon Kukka Sairaudet. Mungkin boleh dijadikan rentas untuk ditanam nanti. Setelah itu, Mona berjalan turun dari bukit kecil itu untuk pulang.

*****

Sampai saja di di tanah lapang, kelihatan tiga makhluk pelik itu sedang berdiri sambil menoleh ke arah Mona.
“Mana kau pergi?” tanya Aivot dengan suara mendatar.
“Tak ke mana. Jalan-jalan,” jawab Mona, cuba untuk menyembunyi gentarnya.
“Kau pergi ke atas bukit itu, ya?” tuduh Kasvot.
Mona terdiam. Tuduhan Kasvot ada benarnya.  
“Apa kau buat kat sana? Curi bunga kami, ya?”
Suara Silmat meninggi membuatkan Mona tersentak.
“Kalau kau nak tahu, makhluk jahat yang telah memusnahkan kampung kami tu serupa dengan kau. Habis pokok-pokok ditumbangkan. Tanah habis diratakan. Habis segala tumbuhan di kampung kami satu masa dulu dirobek rakus. Dan kini... bunga kami pula yang mahu mereka curi? Mereka harus mendapat pembalasan!”
“Ya, segala kejahatan mereka akan dibalas. Segala bencana telah mereka hadapi. Tanah runtuh, banjir lumpur... hah! Dasar makhluk jahat!” marah Aivot.
“Kita mesti bunuh dia!” Kasvot mencelah. Tangannya mencapai senjata berbentuk seperti sabit.
Damn it!
Mona terundur beberapa langkah.
“Kejar dia!” arah Silmat. Dia juga mencapai senjata berbentuk seperti lembing.
Tanpa teragak-agak, Mona terus memecut langkah seribu. Dia berlari ke arah lapangan lalang biru di atas bukit itu. Dia sempat menoleh ke belakang. Tiga makhluk pelik itu masih mengejar Mona dan sedang berlari mendaki bukit itu sedaya-upaya mereka.
Mona pantas memasuki celahan pokok, tempat di mana menjadi sempadan hijab antara dunia mereka dan dunia manusia. Dia terus berlari beberapa langkah sebelum dia terhenti untuk mengecap nafas dan menoleh lagi ke belakang.
Selepas Mona ghaib di sebalik celahan pokok di sempadan, ketiga-tiga makhluk itu berhenti mengejar. Mereka memandang Mona dengan pandangan yang tidak puas hati. Lantas, Silmat menuding jarinya ke arah Mona.
“Kau ingat Mona! Kami bersumpah sekiranya ada makhluk seperti kau mampir ke mari untuk bunga sakti kami, kami akan bunuh mereka!”
Suara Silmat bergema sehingga ke dunia nyata.
Mona sekadar memandang mereka dan kembali berjalan keluar dari situ. Jam di tangan ditilik. Pukul 6 petang. Mungkin sempat untuk dia turun dari Bukit Broga sebelum waktu Maghrib. Dalam lelah nafasnya, Mona berhati-hati menuruni kawasan itu bersama beberapa pengunjung yang lain.

*****

Setelah hampir 30 tahun berlalu, penyelidik-penyelidik di pelusuk dunia kini sedang giat memperluaskan penyediaan penawar dari bunga Kukka Sairaudet. Rentasan tunas yang dibawa pulang dahulu kini baru berbunga. Ya, satu proses yang agak lama.
Walaupun Mona telah menemui bahan penawar penyakit itu, tak mungkin Mona akan memberikan info keberadaan asal bunga Kukka Sairaudet itu. Nak-nak pula selepas tiga makhluk pelik itu bersumpah untuk membunuh jika ada manusia datang ke dunia mereka lagi.
Jika mereka dapat tahu, mungkin dunia makhluk bertiga itu akan dijajah, seterusnya dimusnahkan lagi semata-mata nafsu kita sebagai manusia yang hanya tahu mementingkan diri kita sendiri. Tengok saja di sekeliling kita. Tanah baru dibuka tapi pembangunannya terlalu rakus sehingga menjejas ekosistem tanah.

Jadi, Mona telah tekad di dalam dirinya. Rahsia bunga itu akan dia simpan rapi hingga ke hujung nyawanya. 

This is Hani