Wednesday, October 18, 2017

#HaniBelanjaBuku - Toasty

Aku selalu adakan sesi belanja buku setiap kali Fixi terbitkan novel terbaru (untuk novel BM saja buat masa ni) di Twitter aku @HaniAmy . Aku start buat dari awal tahun 2017 dan masih lagi buat sampai sekarang atas sebab seronok pulak buat orang happy dapat buku percuma.

Selalunya aku akan bagi sedikit gift untuk diselitkan dalam parcel hadiah buku tu. Pernah dulu aku bagi gula-gula ceri, keychain, fridge magnet, etc. Tapi dalam sesi yang lepas, aku ada buat bookmark ala trofi. Untuk round pertama, aku buat bentuk roti yang aku namakan sebagai Toasty.


Tiga buah novel untuk setiap tajuk (novel Langkah dan Parcel) dan aku dapat lima orang pemenang dan mereka agak bertuah sebab dapat 'trofi' tersebut.

Trofi belanja buku kali ni aku buat macam pemenang boleh kumpul buat collection la. Ada tujuh jenis kesemuanya (yang aku dah pun fikirkan macam mana rupa depa) dan aku guna sandwich sebagai pemula. Sebab tu pemenang haritu dapat roti comel ni. Next session, apa pulak tak tau.

So dalam entri ni, aku saja la nak tunjukkan cara untuk korang buat sendiri Toasty ni. Mana tau ada yang berminat?

Barang-barang yang perlu ada:

  • jarum + benang + gunting
  • pen lakar + tracing paper
  • kain felt biasa (coklat cair dan cream) 
  • kain felt - adhesive type (merah dan kuning) 
  • brads hitam 
  • gam UHU (jika perlu) 

Sebagai pemula, korang lukis la dulu bentuk yang korang nak. Tak payah nak lawa sangat, cukup ada rupa roti tu. Kalau korang tanya cara aku, aku lukis dulu kat kertas biasa, lepas tu trace balik guna tracing paper ikut setiap bahagian warna yang aku akan guna nanti. Contohnya, bahagian roti yang tengah saiznya kecil sedikit berbanding dengan bahagian luarnya. 

Lepas dah lukis, gunting setiap bahagian kertas tu dan mula lukis kat atas kain felt pulak. Jangan lupa gunting kain tu! Maka, jadilah macam ni... 

Lepas tu, susun jadi macam ni: 

Korang dah boleh start menjahit. Guna jenis jahitan sembat untuk satukan kedua-duanya.

Seterusnya, cucukkan pin kat position untuk letak mata kat muka roti tu. Pastikan lubang tu dapat muat kaki pin brads tu nanti. Bagi yang terer kendalikan pisau, boleh je guna pisau. Ikutlah mana yang korang selesa. Jangan rabak sampai berlubang besar sangat sudahlah. Lepas dah cucuk brads, jangan lupa untuk bengkokkan lebihan pin kat belakang kain.

Lepas dah kemas kedua-dua mata, boleh la satukan dua-dua bahagian tadi. Gunakan jahitan insang pari untuk kemaskan sekeliling roti.

Lepas dah siap tu, letak tepi dulu. Sekarang, kita concentrate kat kain felt yang ada adhesive tape kat belakang. Kalau korang tak jumpa kain ni, boleh je guna kain biasa, tapi jangan lupa sediakan gam UHU sekali!

Cuma guna dua warna: merah dan kuning. Merah untuk mulut, dan kuning untuk butter. Ini ikut kreativiti korang la nak bentuk macam mana pun. Aku buat roti ni tersenyum lebar, dan butter petak je. Lepas tu, tampal!

Comel ke idok? Happy toasting!

Friday, June 09, 2017

Zine Diari Seorang Pencuri isu #1

Salam semua!

Seperti ada di antara semua tahu, aku ada menulis sedikit di ruangan Wattpad dan Diari Seorang Pencuri adalah projek menulis aku yang masih on-going. Aku sendiri tak tahu ending pengembaraan kami itu memandangkan ceritanya adalah berdasarkan permainan Dungeons & Dragons (D&D) yang aku main bersama geng The Natural Ones.

Sempena setahun aku menulis pengembaraan kami tu, aku ada keluarkan siri Diari Seorang Pencuri (DSP) dalam bentuk zine. Isu #1 dah pun diedarkan secara percuma pada awal Mei lalu. Jadi kepada sesiapa yang mahu, boleh la bagi detail pengeposan (nama penuh, alamat, dan nombor telefon) di e-mel aku: haniamy.shah@gmail.com dengan subject title: [Zine Diari] atau boleh je DM aku di Twitter @HaniAmy .


InsyaAllah aku akan bikin isu #2 dalam bulan Julai (paling cepat). Kalau korang nak kedua-duanya, boleh la bagitau aku dan drop je dulu detail korang, so nanti bolehlah aku pos terus.

Disebabkan aku malas nak ambil untung, aku isytiharkan kedua-dua isu #1 dan #2 ini adalah percuma!

Saturday, December 31, 2016

Diari Seorang Penulis

Salam semua!

Lama tak menulis blog. Semuanya salah diri sendiri sebab tak ada benda nak update dah. Selain itu, aku lebih selesa melepak di Twitter.

Projek baru? Aku ada menulis beberapa cerpen dan erm... novel, mungkin? Ada yang tahu aku ada menulis novel bertajuk Paranormal dan Paranoia yang diterbitkan oleh Fixi. Dalam diam, aku ada juga menulis di laman Wattpad.

Aku sekarang sibuk menulis Diari Seorang Pencuri yang diadaptasi dari permainan Dungeons & Dragons (D&D) yang aku dan rakan-rakan main saban bulan. Selain itu, aku juga ada menulis cerpen dalam Bebola Buih, juga di Wattpad. InsyaAllah kalau ada rezeki lebih dan sokongan daripada pembaca, aku nak bukukan Diari Seorang Pencuri ala-ala zine gitu. Tengoklah macamana sambutannya di Wattpad tu.

Terima kasih kepada yang membaca dan menyokong aku selama ini.
Moga Tuhan merahmati dunia akhirat kamu.

Sunday, November 16, 2014

QataRia -- Day 01

15 November 2014 – Sabtu

Aku ingat yang aku kunci jam pukul 6:30 pagi, tapi… haram~ tak jaga. Aku jaga kejap dalam mamai, padam alarm dan tidur balik. Sampailah Mama serbu bilik dan jerit, “Bangun! Subuh!” Aku terus terjaga dengar alarm komando Mama. Dalam mamai, aku ingat yang aku dah terlambat. Rupanya baru berlalu 4 minit je dari alarm yang aku set malam sebelumnya.

Aku jenis seorang yang kemas barang sekadar cukup keperluan untuk aku stay di satu tempat tu nanti. Kali ni, aku ke Doha selama 10 hari, tapi aku bawa baju hanya cukup untuk 5 hari je. Aku fikir, aku nak recycle baju yang aku bawa tu nanti. Habis mandi, terus basuh dan gantung dalam bilik air. Aku fikir aku mampu jimatkan space dalam luggage untuk barang-barang yang bakal aku beli di sana nanti. Harap begitulah apa yang dirancangkan.

Sampai di KLIA, check-in luggage semua dan tukar duit RM1000 ke matawang Qatar Riyal, aku ingat nak bersarapan kat Burger King je. Malangnya, kat Burger King KLIA tak menyediakan hidangan set sarapan. Jadi, aku beli set nugget yang disediakan bersama french fries dan air. Dari jauh, aku nampak kapalterbang yang bakal aku naiki. Emirates Airways. Tengok jam, lambat lagi nak berlepas. Koman-koman, aku ada dalam sejam setengah untuk berjalan-jalan dalam KLIA sebelum masuk ke dalam kapalterbang.

Tepat jam 11, depa dah announce panggil penumpang kapalterbang yang akan berlepas ke Dubai. Masuk je dalam kapalterbang, jumpa budak kecik mesra alam. Pandang je, senyum. Pandang je, senyum. Haih, letih! Comel sangat! Tak ada apa yang menarik sepanjang perjalanan selama hampir 7 jam tu. Mula-mula, aku baca buku yang aku bawa – novel Paper Town karya John Green. Lepas aku dah pening baca dalam gelap, aku pun layan cerita kat skrin. Tak ada cerita best sangat pun. Tak banyak seleksi macam aku pergi ke Doha pada musim lepas dengan Etihad Airways. Aku belek habis semua list yang ada, akhirnya aku layan Tom & Jerry. Bila dah habis, layan Ben 10 Omniverse, kemudian Gumball, lepas tu siri Community. Memang dah tahap bosan habis dah masa tu.

Bila sampai di Dubai Airport, sini mencabar sikit, aku jalan-jalan la lagi sementara nak tunggu jam 4:50 petang (jam 10 malam waktu Malaysia). Lepas tu, jumpa satu kedai buku ni. Agak menarik la pasal ada buku yang cambest untuk dibaca. Pusing-pusing-pusing-pusing, masuk bahagian buku kanak-kanak. Ah, pulak~ aku kenan dengan beberapa buku. Ada Fairy Tales, Nursery Rhymes, Bedtime Story… banyak lagi la koleksinya! Buku hardcover dan setebal novel Kelabu (aku tak tau nak refer buku apa lagi). Satu buku cuma 56 tapi dalam matawang Dirham. Aku dah gosok muka banyak kali. Money Exchange ada kat depan kedai tu je.

Ah, nak beli sekarang ke nanti?

Aku check wallet. Aku cuma ada RM70± je. Aku tak sure Ringgit-Dirham beza berapa, jadi aku abaikan dulu. Tapi time nak blah dari kedai tu memang aku dok toleh banyak kali gak la. Nampaknya, aku kena beli masa aku nak balik Malaysia nanti la. Harap-harap duit Qatar Riyal aku nanti ada banyak lebih.

Sekali lagi, aku makan french fries Burger King., sebab semua cafe yang terdekat jual sandwich yang gila bapak ah mahal. Tapi fries depa besar~ tak macam kat Malaysia. Aku dah mengah nak makan. Silap betul pergi order set besar. Memandangkan ada masa lagi sejam sebelum berlepas, aku hadapkan je.

Jam 4:50 dah. Kat sini peralihan waktu tak macam kat Malaysia. Nak kata macam Sabah-Sarawak pun tak, sebab Isyak masuk waktu pukul 6:30 petang (dalam jam 11:30 waktu Malaysia).

Lepas masuk kapalterbang, aku terus tidur. Mengantuk gila. Bila terjaga, dan-dan je waktu makan. Aku memang dah lapar gila dah! Roti dengan meatloaf tu memang selamat masuk dalam perut. Kacang dengan satu lagi sandwich keju aku rembat masuk dalam beg. Manalah tau nanti lapar (lagi). Sampai saja di Doha, check Visa, ambil luggage apa semua setel, terus ambil teksi untuk ke hotel yang dah di-book sebelum nak datang sini.

Al-Nakheel Hotel.

Aku memang dah penat habis masa sampai sini sebab kalau ikut waktu Malaysia, dah lewat malam dalam pukul 12 gitu. Dengan lenguh bontot dan kaki, aku gagahkan gak melangkah ke bilik aku yang berada di tingkat 4. Nasib ada lif. Sampai je, aku kemas barang mana yang patut di bilik air, di meja solek bagai, dan terus mandi. Rasa macam nak lena je kat dalam tub tu tapi aku takut aku lasak sangat (bajet macam tidur kat atas katil) pastu tenggelam lemas, jadi lepas mandi tu, terus baring.

1:30 pagi di Malaysia.
8:30 malam di Doha.

Saya dah penat.
Selamat malam, semua.

Thursday, June 26, 2014

Cerpen: Rezeki Plat Kereta


Aku tahu, tak ada bersangkut-paut pun antara rezeki dengan plat kereta ni. Macam kau percaya nombor plat kereta yang kemalangan tu mampu membawa tuah kalau kau tikam nombor. Itu tahyul! Tak betul!
Pagi masa nak pergi kerja, masa tengah drive tu habis semua kereta (dan pemandunya) aku maki. Aku jadi macam cepat marah dan piss off semua benda masa tu.
Drive slow kat lane laju, tengok plat; Pahang.
Makan jalan orang pastu dah masuk lane baru reti nak bagi signal, tengok plat; Johor.
Keluar simpang melulu tak tengok kiri-kanan, tengok plat; Penang.
Masa nak cari parking, habis tiga kotak parking dia rembat, tengok plat; Terengganu.
Haih, geramnya aku!
Tapi siapa sangka kemarahan aku tu akan diredakan oleh sesuatu dari kurniaan Tuhan?
Satu hari suntuk aku asyik dapat sesuatu yang aku tak jangkakan. Masa tengah breakfast kat mapley, makan-minum aku tu dibayar oleh seseorang. Bukan makan benda mahal pun, takat megi goreng dengan segelas teh o' ais, bukan aku takleh nak bayar pun! Tapi mungkin niat orang tu nak bersedekah, nak pula bulan Ramadhan lagi beberapa hari nak tiba, jadi aku ucapkan jela 'terima kasih' walaupun tak tahu siapa yang bayar bil aku tu. Dah habis makan, aku pun masuk kerja.
Semasa kerja, agak pelik la sebab selalunya orang tak ramai yang lalu-lalang kat tingkat dua bangunan kompleks tu, melainkan kalau hari cuti umum atau cuti sekolah. Tapi dalam kesunyian tu, datang seorang perempuan yang membeli buku di kedai. Banyak dia beli. Lepas perempuan tu setel je bayar, datang lagi sorang perempuan, pun beli banyak jugak. Total semua sales mencecah RM300 pada tengahari tu. Jarang sekali kejadian macam ni berlaku pada hari biasa tapi ia terjadi pada hari ini! Bila dah petang, kau jangan nak tanya la berapa sale aku untuk haritu. Memang banyak. Boleh beli tudung Fareeda dua helai, you!
Mungkin ini rezeki aku. Aku senyum je.
Bila difikirkan semula, ni semua pasal aku jarang ingat kat Tuhan kot, lebih-lebih lagi bila time marah. Mungkin inilah caranya Tuhan mahu tunjukkan yang Dia selalu ada dekat dengan aku. Mungkin Tuhan nak aku terus bersyukur ke hadrat-Nya dan jangan pernah lupa kepada-Nya, sebab itulah dia turunkan rezeki dan ke-happy-an dalam bentuk macam ni. Harus bersangka baik walaupun buruk macamana sekali pun apa yang kita hadapi tu.
Masa nak balik, sampai je kat tempat aku parking kereta pagi tadi, tengok-tengok kereta aku kena double-park. Usha cermin depan, takde pulak namecard ke apa-apa untuk aku contact pemilik kereta tu. Pandang kiri-kanan-depan-belakang, takde siapa pun yang macam kisah dengan aku. Tanya abang kedai burger tu, kot-kot dia tau siapa pemilik kereta tu, dia angkat bahu sebab dia baru je sampai dan baru bukak kedai.
Sejam kemudian, seorang perempuan gedik sampai dengan langkah kaki yang macam nak terpeletok pasal pakai kasut high heel tinggi sangat. Tu la… tak reti pakai high heel, jangan pakai. Tengok aku, snickers buruk ni jela aku mampu sarung pun.
"Eh, lama ke tunggu? Sorry la. Pegi karok tadi..." kata perempuan gedik tu sambil picit butang unlock. Cit-cut! bunyinya.
Karok? Kau double park kereta aku, kau kata kau pergi karok?! Kat belakang Mydin tu banyak parking kosong, kau nak gak double park kereta aku?! #^%*&!
Tu semua sekadar dalam hati, yang aku buat cuma senyum dan jawab, “Heh, takpe.”
Hmm… double park kereta orang, tengok plat; Melaka.
Aku harap Tuhan ampunkanlah dosa-dosa aku maki-hamun semua orang harini. Ada hikmahnya ni... aku yakin.

This is Hani